Monday, January 21, 2008

Sinar Permata Merah

Permata merah
yang selama ini kelam
digenggam pekat malam
sepi kemilaunya
pudar serinya

Permata merah
yang terlepas dari genggaman
menempuh siang di awal zaman
bersinar cahayanya
berkilau pancarannya

Permata merah
kembali menghias alam maya
membelit jari manis teruna
yang kaya cinta
yang kaya bahagia

Monday, January 14, 2008

Hadiah

Tatkala kegembiraanmu menyerlah
mengimpikan nikmat sebagai hadiah
berkilauan seketul permata merah

Namun takdir menetapkan tulah
sesungguhnya permata yang beracun
amat manis perisanya
sentuhannya yang pertama
akan abadi mengalirkan bisa
menikam setiap rasa dengan seksa
menggigit luluh setiap saraf dengan azab
sedang kau masih bernafas tercungap-cungap
sinar cahayamu kan semakin malap
dan pintu liang lahadmu
semakin hampir mendakap

Sungguh
bagimu kala itu
sudah tiada jalan kembali
tatkala berlian yang di tangan
membakar jemarimu hingga melecurkan
permata merah yang kau sangka damai
adalah syaitan yang kau sangka tuhan
dan iblis yang dipujanya
adalah neraka bagi kalian!

Selamat hari jadi

Pengkhianat

Sebutir berlian biru
sekian lama kugenggam
cahayanya tak pernah kelam
sinarnya tak pernah kusam

Nyaris terlepas dari genggaman
tatkala mengejar pelangi
yang menyinar di titisan hujan
menyilaukan pandangan

Sebutir jed merah
kemilau menyinarkan seri
yang membawa setiap mimpi
hidup di dunia realiti
dan rupa-rupanya seri tu
masih sekadar pelangi

Dan sebutir jed merah
di sebalik seri zamrud
diam dalam sepi
memperkosa budi
meranapkan mimpi
berkecai menjadi candi
lalu membentuk nisan
sebagai hadiah hari jadi
sambil ketawa
ia menguburkan bahagia
abadi dalam derita

Dan sebutir berlian biru
masih belum menjadi cincin
membalut jemari
menyentuh di hati

Friday, January 11, 2008

Cemburuku

Tidakkah kau tahu
bahawa cemburuku
tanda sayang padamu?

Tidakkah kau tahu
bahawa aku mahu
kau hanya untukku?

Tidakkah kau tahu
bahawa telah sarat hatiku
dengan cinta kepadamu?

Atau mungkin sekali
yang lebih kau ingini
supaya aku tidak peduli
kepada siapa
kau serahkan hati
dan diri?

Sunday, January 06, 2008

Oh Bulan

Oh bulan
di pucuk kayu
purnama yang dirindu
menyemai sendu

Oh bulan
yang purnama
andai kau sudi
jatuh ke riba

Oh bulan
dari sini
kaulah cahaya
bukan mentari

Tuesday, December 18, 2007

Terlupa Agaknya?

Selamat pagi!
Dah gosok gigi?
Mari join aku kat sini
minum kopi
makan roti
sambil sembang-sembang
tentang yang akan datang
jangan pula kau jemu
kerana aku amat rindu

Yang aku dengar-dengar
di TV dan akhbar
kau dah jadi orang besar
kau yang sampai dulu
masa banjir di situ
dan kau yang balik dulu
semasa mereka berpusu-pusu
mencari tapak tinggi
selepas kau pergi

Kopi ni aku belanja
roti ni pun aku sponsor
sama macam kereta kau juga
malah gaji dan elaun bulanan
termasuk kau punya cukai pintu dan cukai jalan
semua tu aku yang bayarkan
sampai anak bini aku kebuluran
kau tak percaya?
Pergilah tanya pejabat LHDN berdekatan

Masa kau papa kedana
tapi nak berbini tiga
aku bagi pinjam sepuluh ribu
dan sekarang
perempuan tu pun dah kembali janda
duit aku mana?

Taat Setia

Selamat pagi!
Dah gosok gigi?
Mari join aku kat sini
minum kopi
makan roti
sambil sembang-sembang
tentang yang akan datang
jangan pula kau jemu
kerana aku amat rindu

Oleh sejarah telah disurat
Taat dan setia dianggap azimat
Oleh lumrah menjadi adat
Hanya yang setia menjadi sahabat

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau berlumur lumpur di bendang
Sahabat setia jadi tak sudi.

Thursday, December 13, 2007

Sesat Hanyut

Sebenarnya
kita sudah tersesat
walau masih belum jauh
tapi kita masih hanyut
peta yang semakin kusam
terus reput di dalam peti
walau tangan terus mendayung
arus dan ombak yang mengemudi
tanpa tahu apa yang dicari

Monday, December 03, 2007

Kepada

Kepada mereka yang sedang berdengkur
jangan sampai mimpi indah
menjadi igauan hingga ke kubur

Kepada mereka yang berangan-angan
jangan sampai cita-cita
menjadi impian yang bertaburan

Kepada mereka yang gelak ketawa
jangan sampai kisah sedih
menjadi komedi si penglipur lara

Kepada mereka yang pekak dan buta
jangan sampai anak cucu
menjadi hamba di tanah merdeka

Kepada mereka yang lantang menggegar
jangan sampai tahi sendiri
tersangkut di celah gelegar

Dan kepada dewa-dewa
yang melihat makhluk sambil menunduk
jangan sampai beku membatu
hingga berubah menjadi berhala

Monday, November 26, 2007

Cinta Laksana Air

Cinta itu air laksananya
boleh dingin menggetarkan
boleh hangat melecurkan
ada ketikanya
ia membeku sekeras batu
dan ada ketikanya
ia mendidih tanpa kau tahu

Bagaimana mungkin kedinginan cinta
mahupun kehangatannya yang membara
dapat dirasa dingin panasnya
selagi tubuh belum direndam
selagi hati belum karam?

Gersang kemarau datang melanda
lalu air itu sudah kering
dan saki baki titis yang tinggal
berkeladak semakin gering

Sunday, November 25, 2007

Mencari Cahaya

Merenung bulan
mencari cahaya
ada sinar dari langit
ada sinar di pasir

Esok lusa
purnama menjadi sabit
sebahagiannya hilang
bersama cahayanya

Ada malap
semakin malap
semakin purnama lenyap

Kau cari cahaya
lalu merenung bulan
kerana kau tak mungkin
dapat merenung mentari

Monday, October 29, 2007

Memandang Aku

Aku lihat aku
sedang memanjat meja
yang penuh kertas penting
lalu kuserakkan hingga bertabur

Aku lihat aku
membaling segala benda
kadang hingga pecah berkecai
harta yang umpama tiada nilai

Aku lihat aku
pada diri putera dan puteriku
betapa perlunya sabar
betapa perlunya akal
betapa perlunya korban

Dan aku lihat senyuman ayahanda
dan aku tatap seri wajah bonda
dan aku lihat aku
pada setiap diri mereka.

Saturday, October 20, 2007

Nombor


Tiga puluh malam tunggang terbalik
dua puluh rakaat disempurnakan
setiap malam secara berjemaah lagi
lepas solat boleh lagi mentekedarah
tak ada masalah

Dua rakaat di waktu dhuha
usai takbir raya yang sayu
juga dalam jemaah
tambah lagi dengan khutbah
pakai baju baru cantik-cantik lagi
pun tak ada masalah
tak banyak kerenah

Tujuh belas fardu seharian
bukan dua puluh
bukan berjemaah
kadang-kadang berlenggeng tak berbaju
ada masalah?

Dua puluh berjemaah boleh buat
Dua berjemaah campur khutbah boleh buat
Tujuh belas yang fardu?

Tuesday, October 09, 2007

Bila Esok Raya


Ayam di reban riuh berkokok
lembu di kandang hiruk-pikuk
manusia yang di rumah
telondeh-londeh kain sarungnya
bila TV dan radio mengumumkan
"Esok hari raya!"

Selamat berhari raya kepada mereka
yang mengacau dodol dengan peluh berjujuran
yang mengepung ayam lintang-pukang di reban
yang menambat lembu tunggang terbalik di laman
yang masih menganyam dan sibuk merebus ketupat
yang menggulai rendang sambil rancak mengumpat
yang berperang mercun terpekik terloncat-loncat
yang berarak membawa panjut ke rumah kekasih

dan
yang menitiskan air mata sambil mengira tasbih
menangisi Ramadan yang pergi
mengharapkan usia yang berbaki

Selamat dirayakan pula kepada mereka
yang menghitung baki jari yang tinggal
yang menyuap lemang di katil hospital
yang tak pernah lapar di bulan Ramadan
yang bumbung rumahnya hanyalah batu nesan
yang bakal beranak tanpa perkahwinan

Kepada dia yang suka sarkas
sudah banyak tahun melepas
barangkali singa dan rimau yang ganas
sudah terlepas bebas

Kepada kamu yang mengira duit
dan sampul angpau yang membukit
aku terlupa nak kasi ingat
tahun ni kau belum bayar zakat


BíáR SYáWáL MáHúPúN RáMáDáN
DóSáKú TáK MéNGéNáL BúLáN
MáKá SéPúLúH JáRí KúSúSúN
SéGáLá KHíLáF MóHóN DíáMPúN
SéTúLúS íKHLáS DáN LúHúR Dí HáTí
☺ SéLáMáT HáRí RáYá ÄíDílFíTRí ☺
MääF ZäHïR & BäTïN SëïKHLäSNYä

BêRHâTî-HâTî Dî JâLâN RâYâ

Friday, October 05, 2007

Ramadan Semakin Pergi

Ramadan semakin pergi
dan aku ditinggalkan
masih begini

Syaitan akan bebas
sedang iman masih rapuh
dan nafsu terus puas

Ada gembira di hati
menyambut aidil fitri
dan melihat Ramadan pergi
itukah tanda hati suci?

Semoga segala keberkatan
terkumpul sepanjang Ramadan
menjadi perisai dan persediaan
sepanjang kehidupan


~23 Oktober 2006~

Thursday, October 04, 2007

"Ipoh mali"

Dan bukannya sia-sia
bila mereka berkata
"Ipoh mali"

Yang duduk di belakang stereng
manja melirik sambil menjeling

Yang melintas jalan sesak
menghentikan kenderaan yang tadi menggasak

Yang menyeru pelanggan di gerai buah
sesekali menyelak kain yang terbelah

Yang berseragam merah hitam depan kelab
manis dan ghairah jelas di cahaya malap

Dan bukannya sia-sia
bila mereka berkata
"Ipoh mali"
mujur lagi
masih ada takut dan sedar
dan Ramadan ini masih segar
walau nafsu ini terus tegar.

Monday, September 24, 2007

Kebenaran

Kepada seorang wanita
mereka bertanya tentang cinta
dan setiap pasang mata
memandang ke dada

Kepada sorang lelaki
mereka bertanya tentang cinta
dan tatkala mata tercari-cari
cinta sudah pun menguasai diri

Rintihan Garfield


Nun jauh di dasar hati
Ada cinta yang masih bersemi
Namun hanya dipandang mata
Ingin disentuh berjarak jua

Sunday, September 23, 2007

AZHAZ


Lestari cita rasa ini diajar zaman
Enap dalam kemelut perasaan
Erti yang belum diketemukan
Namun tidak semua impian
Akan menjadi kenyataan

Lampir riwayat yang mengembara
Ingin lena di mahligai cinta
Namun tidak semua cita-cita
Akan menjadi nyata

Wednesday, September 19, 2007

Masihkah Hati Kepada Ramadan

Baru seminggu berlalu
belum puas rakaat dihitung
belum kering rezeki di karung
namun sinar panjut sudah memancar
berkilau di hati yang gusar
menitip risau menanti Syawal
dan setiap pahala yang berkerumun
langsai terjual