Thursday, April 12, 2007

Berikan Aku

Berikan aku kesetiaan
biar aku rasa selamat
hidup di sampingmu

Berikan aku kasih sayang
biar aku rasa bahagia
menyerah diri padamu

Berikan aku ilmu
agar aku merelakan
perpisahan dengan dirimu

Wednesday, April 11, 2007

Kemuliaan Kedai Dobi

Dan kita sering berkata
bayi itu umpama kain putih
yang bakal diwarnai
yang bakal dikotori

Bukankah resmi kain
dicuci apabila kotor
dan ia takkan kekal bersih
dan ia takkan kekal putih

Lalu kedai dobi yang mana
menolak kain yang sudah kotor
menerima hanya kain yang bersih
hingga yang kotor makin mengotorkan
dan yang bersih semakin tak berguna

Alangkah baiknya
andai taukeh kedai dobi
menggantikan imam di masjid

Kau Tiada Beza

Kau lebih jelita
daripada dia
tetapi semakin tua
kau tiada beza

Sungguh kau mengghairahkan
menyalakan selera kehangatan
tetapi semakin tua
kau tiada beza

Berebut-rebut syahwat sedunia
kepingin sentuh dan raba
tetapi semakin tua
makin memudarkan selera
jadi berbanding mereka
kau tiada beza

Monday, April 09, 2007

Kesali Pertemuan Ini

Kesali pertemuan ini
Kerana bersamanya datang hakisan
Yang melunturkan tugu kesetiaan
Terbina begitu lama dari jerih kepedihan

Kesali pertemuan ini
Datang menyemai benih kasih dan cinta
Lalu di hati melakar torehan luka
Tiap kali di hamparan sua dan bicara

Kesali pertemuan ini
Di paksaan rela menurut ke mana pun pergi
Mencuri cebisan babak mimpi-mimpi
Merobohkan setia berderai menjadi candi

Runtunan kasih murni yang terbit tulus
Bercambah menyuburi taman kudus
Fahamilah peri ini yang kian pupus
Demi meracun kelopak yang mulus

Tiada kebencian pada pertemuan ini
Sekadar sesalan tidak bersudi
Kekosongan itu isikanlah
Untuk mendidik erti pasrah
Agar dirimu dan hatiku tidak berdarah

Fahamilah
Takdir ini bukan kemahuan

Pinjamkan Aku Kekuatan

kenapa perlu kupinjamkan kamu
apa yang telah sedia kau ada
namun terbenam dan tenggelam
dalam selimut sedih dan kelam

selak selimut itu segera
bangun dari tidur yang lena
sujud pada Allah Yang Esa
kerana seperti mereka
kau juga
akan pergi selama-lamanya

Saturday, April 07, 2007

Semakin Jauh

Tanyakan dalam tidur dan jaga
masihkah ada kasih dan rindu
biarpun setitis cuma

Ada bisikan menyapa hati
semakin sayup kedengarannya
semakin jauh langkahnya
bakal hilangkah di sebalik mimpi?

Derap langkah ini
semakin perlahan menyarut bumi
mungkin akan menghempaskan tubuh
di tanah gersang yang berdebu

Tatkala mentari masih menyinar
mimpi terus berlegar
menghias lena yang takkan sedar

Malamku Kini


Gelap yang menyelimuti buana
Tiada bezanya di sana mahupun di sini
Kecuali engkau

Dering dan getar telefon di meja
Di saat ini seakan sudah terkubur mati
Tiada pesanan yang dihantar mahupun diterima
Seperti kau sudah tiada lagi di sisi

Lunak suaramu yang berbisik di telingaku
Setiap kali kau berbicara di talian
Melafazkan rindu dan sayangmu
Sehingga aku terlena kesiangan
Kini tidak lagi kedengaran

Malam yang sering ditemani belaianmu
Biar sekadar dalam pesanan
Seakan dapat kurasakan

Masih dalam rindu dan rasa
Halus jemarimu di dadaku
Lembut usapanmu di rambutku
Basah bibirmu di bibirku
Kedap rangkulanmu di leherku
Hangat tubuhmu menyelimut tubuhku
Lena tidurmu di sisi tidurku
Jauh mimpimu menemani mimpiku
Gelap malammu digenggam malamku...

Bisakah aku bayangkan
Dan sudikah kau merelakan
Seakannya kau masih di sisiku
Dan kita saling rindu berpelukan...?

Friday, April 06, 2007

Pelawaan Hati

Mahukah kau menjadi purnama
Di langit malam menyinar cahaya
Memimpin haluan pada yang gelita
Menyemai rindu di hati yang kelana?

Atau kau sudi menjadi mentari
Membangunkan insan dari igauan dan mimpi
Membanjirkan laman dengan selaut rezeki
Menyemarakkan hangat yang berselimut api?

Mungkin kau rela menjadi samudera
Menghanyutkan rasa yang pijar membara
Mendamparkan kecewa di pantai melata
Sehingga kontang kederat upaya?

Tidakkah mahu menjadi puteri
Bertakhta utuh di singgahsana hati
Dibaluti sutera dipagari duri
Di mahligai permata menjadi nurani?

Perkhabaran untuk hati
Bahagiakanlah sanubari ini

Dian

Mahukah kau menjadi dian
panas dan memanaskan
musnah membakar diri
di atas kek hari jadi?

Benarkah kau menjadi korban
menerangi alam semesta
walaupun jamban sesempit ini
tidak pun seterang mana?

Apimu hilang dengan hembusan
tapi panasmu kekal terasa
lalu dalam kehidupan yang mana
kau korbankan diri semasa kau menyala?