Friday, October 14, 2005

Sepuluh Pertama Ramdhan

Semakin terang sinar rembulan
berlalu sepuluh pertama Ramadhan
sudah berlalukah keberkatan
kepada rahmat memberi laluan?

Sudahkah amalan mempelawa
menjemput al-Qadar bertandang tiba
atau sekadar merenung angkasa
mengira bintang di buana?

Sudahkah lengkap dihitung
zakat diri yang diuntung
sedang fakir masih termenung
bermimpikan aidil fitri yang murung?

Ada yang masih mengais di jalanan
dan menghirup air di perparitan
sedang kami berlazatan
dengan iftar yang dikurniakan

Ampunilah kami Ya Rahman Ya Rahim
kerana masih gelap di perjalanan
untuk sampai ke hujung jalan.

Thursday, October 06, 2005

Siapa

Sudah dibuka luas pintu syurga
dan ditutup rapat pintu neraka
lalu iblis tidak lagi beraja
dan syaitan tidak lagi merdeka
dibelenggu rantai yang membara

Lantas siapakah gerangan
yang kembali dengan kebiadapan
lalu membuka lebar pintu neraka
hingga terkunci ketat pintu syurga

Sujudkan kepala ini ke bumi
sentuhkan hidung ke telapak kaki
bekas-bekas dosa bertaburan
jangan sekali-kali dikutip kembali....

Perjuangan Yang Berulang

Sungguh tidakkan berakhir
Perjuangan yang semakin hampir
Berperisaikan jariah dan zikir

Sukarkah mengamalkannya
Sekadar berdiri mengadap Yang Esa
Di samping menahan lapar dan dahaga?

Tidak adakah kesal di hati
Saban tahun dalam perjuangan ini
Tidak pernah menang walau sekali?

Apakah kepuasan menjadi wajar
Menyangka kemenangan sudah tegar
Sedang usia masih menjalar?

Perjuangan ini tetap akan berulang
Selagi roh dan jasad belum pulang
Ke pangkuan Yang Maha Penyayang

Bukan kita yang menentukan peluang
Untuk menempuh Ramadhan yang mendatang
Dan suatu hari nanti kita pasti akan pulang
Sama ada dalam menang atau kecundang

Ramadhan Telah Kembali

Titiskan air mata
Sebagai tanda kesyukuran
Kerana usia masih bersisa

Tebus segunung dosa
Sedang dirantai iblis dan syaitan
Yang tinggal nafsu semata

Ramadhan telah kembali
Dengan ganjaran seribu bulan
Jangan persiakan ia lagi

Monday, October 03, 2005

Lautan Cinta Kita

Maafkan aku
kerana tidak hebat
mengucup bibirmu

Sungguh aku kepingin
bersamamu sekali lagi
mendakap malam dingin

Mentari masih lena
sedang kita asyik hanyut
dibuai cinta

Kau dan aku
di dasar lautan ini
masih lemas lesu