Saturday, June 30, 2007

Masih Di Sini

Api yang membakar dirimu dulu
sudah pernah terpadam
meninggalkan debu yang sepi
namun aku masih di sini

Bara yang kembali membakar
marak menghanguskan rasa
hingga merentungkan jari-jemari
namun aku masih di sini

Tidurlah dengan nyenyak dan lena
mimpikan mahligai di sebalik gunung sana
andai jalanmu tersesat dan terhenti
kau boleh saja kembali
dan aku masih di sini

Deritamu

Ya sayang
aku tahu akan deritamu
dan aku tahu
akan dendam amarahmu
di sebalik senyumanmu
dan di sebalik gurau sendamu
ada kepahitan yang dugal
dan kesedihan bersalut kesal
membakar sekam kesumat
hingga membanjirkan keringat

Namun sayang
kau sering terlupa
tentang peri erti setia
dan tentang kemurnian cinta
sungguh masih ada tangan-tangan
yang akan menyambutmu dalam dakapan
dan masih ada jari-jemari
yang akan menyeka titis air di pipi

Deritamu sayang
sebenarnya sudah sedia dikongsi
lalu dalam keraguan apa lagi
kau terus menyemai benci
dan daripada siapa lagi
kau ingin terus bersembunyi?

Thursday, June 28, 2007

Langit dan Bumi

nun di langit
kita merenung bulan yang sama
sedang di bumi
kita menapak tanah yang berbeza

lalu di hati
yang manakah jadi pilihan
pada tanah yang dipisahkan lautan
atau pada sinar terang sang rembulan?

Umpama Lautan


Aku bukan paus yang perkasa
di dasar lautan menawan samudera
sesekali timbul menggegar dunia
akhirnya berajal di pinggan manusia

Bukan juga jerung yang garang
diserang menangkis ditangkis menyerang
seluruh dunia membina sarang
mengisi gentar yang bukan sebarang

Bukan pula udang dan ketam
menghias lautan di iklim malam
menyusur dasar di cahaya kelam
membina kuasa di bahtera yang karam

Sekadar menumpang di pinggir dunia
sambil menghitung dosa pahala
ibarat kuda laut sebesar hama
mengikut arus di lautan gelora

Ada kalanya hilang di pandangan
bersembunyi diam di karang-karangan
bersemadi kekal di dasar lautan
kepada takdir diserahkan kehidupan


~Najwa Aiman~
21 Jun 2005

Wednesday, June 27, 2007

Aku Ingin Jadi Seketul Batu

Aku ingin jadi seketul batu
Di dasar sungai dingin membeku
Dibelai arus sungai berlalu
Lembut seakan membelai diriku

Di dasar sungai ini aku akan bersendirian
Tidak disakiti dan tidak menyakitkan
Dan aku gembira sendiri melayarkan angan-angan
Kononnya aku seketul berlian
Di sinilah aku bermastautin selamanya
Saban hari arus mesra sungai ini menyapa
Sambil mengulitiku penuh manja
Seolah didakap belaian kasih dan cinta

Dasar sungai ini adalah duniaku
Arus sungai ini adalah kekasihku
Biarpun tiada ikan berenang menemaniku
Aku tidak sunyi kerana kesunyian itu duniaku
Biar begini selama-lamanya
Menjadi seketul batu yang kaku di dasar sungai ini... aku rela
Bagiku duniaku penuh cinta
Yang tidak berhenti walau seketika

Wahai arus sungai berlalu
Berjanjilah yang kau akan setia padaku
Dan akan membelai diriku setiap waktu
Kerana aku tahu padamu aku tidak ragu-ragu
Aku ingin jadi seketul batu
Oleh arus sungai ditemani selalu
Dibelai dimanja dinyanyikan merdu
Lalu terukirlah gembira ditubuhku

Semoga kemarau panjang tidak tiba
Bersama cemburunya menghancurkan cinta kita
Seandainya kemarau tiba jua
Aku akan terdampar kontang
Dalam penantianku untuk kau kembali datang


~Batusungai~
13 Mei 1992

Sebenarnya


Sebenarnya
masih ada rasa
yang jauh tertanam
menyemai cinta

Sebenarnya
masih ada rindu
yang subur tersiram
membenih sendu

Sebenarnya
masih ada mahu
yang kembang dan mekar
menanti dirimu

Monday, June 25, 2007

Terpulang Kepada Siapa?


Sekiranya insan menaburkan kekotoran
terpulang kepada siapakah
yang akan kembali menyucikan?

Dan sekiranya insan menyemai kesucian
terpulang kepada siapakah
yang akan menuai keagungan?

Lalu sepanjang titip langkah wira
akan adakah mata air penawar dahaga
dan segala mimpi yang menghias malam
yang mula bernafas setelah mentari tenggelam
akan lenyapkah bila siang kembali
membawa bahang yang tak bererti?

Jadi untuk apakah kau menilai sesuatu
yang belum tentu ada hala tuju
yang belum pasti ada nilai ilmu
yang masih kabur mencari jalan Tuhanmu?

Thursday, June 21, 2007

Kepada Hati


Masih ada rasa yang subur
yang disangkakan sudah berkubur
dan sewaktu di bawah langit asing
rindukah ini yang mengikut seiring?

Wajah yang sudah dibingkai
tersenyum dalam santai
sinar apakah yang berkilau di mata
dan sinar itu untuk siapa?

Jangan tipu aku lagi
rasa yang sudah berprasangka
umpama lahar yang membara
diam dalam didihan
panas dalam timbunan
keras sesudah dihamburkan
dan selepas itu
sekadar menjadi tanah kuburan

Tuesday, June 19, 2007

Biar Bersedih


Tak mengapa kalau bersedih
kerana kita sekadar insan
punya hati dan perasaan

Biarkan air mata menitis
kerana tawa yang berpanjangan
bisa mengundang penyesalan

Hamburkan segala emosi
kerana yang terpendam
bisa menyuburkan dendam

Lalu sandarkan kepalamu di sini
biar rambutmu kubelai satu persatu
dan bahumu kudakap di dalam tubuhku
dan pipimu kuusap berteman syahdu
sementara menanti malam berlalu

Monday, June 18, 2007

Akan Kautahu

Akan kau tahu
bila takdir menjadi nyata
dan hakikat menampakkan rupa

Akan kau tahu
bila nasib kedinginan
dan setiap langkah
menuntut pengorbanan

Akan kau tahu
bila realiti kembali
di dalam jaga dan mimpi
setiap belok menjadi pasti

Akan kau tahu
bila sampai waktu
kau harus sabar menunggu
pasrah dengan takdir Tuhanmu

Bicara Bulan dan Bintang

Bicara bulan dan bintang
tatkala kaki berpijak
di rumput terbentang

Bicara bulan dan bintang
sedang kepala tertunduk lena
di awal siang

Bicara bulan dan bintang
semasa awan mendung
berarak datang

Bicara bulan dan bintang
hingga terlupa tentang diri
yang masih terbaring di padang

Thursday, June 14, 2007

Semalam

Debar yang sama
menjungkit rasa
semalam

Rindu yang lena
terkejut jaga
semalam

Rasa yang berlabuh
menebar sauh
semalam

Dan sesekali
benih yang terbenam
mekar dalam diam

Wednesday, June 13, 2007

Bicara

Tahukah kau tentang Sulaiman
yang merajai tanah dan lautan
yang memimpin jin dan insan
yang sentiasa sujud pada Tuhan?

Terdengarkah kau tentang Daud
yang melentur besi menjadi lembut
dan sungai berhenti mengalir
bila suaranya melagukan syair?

Kenalkah kau kepada Ayub
yang terlantar seumur hidup
luluh daging di tubuh yang longlai
dalam bernafas diri terkulai?

Lalu kerajaan mana yang kau perintahkan
dan semerdu mana lagu yang kau nyanyikan
dan separah mana pemnyakit yang kau deritakan
hingga alpa kepada Tuhan?

Monday, June 11, 2007

Kebaikan Yang Terselindung

Ada ketikanya
sutera yang membalut tubuh
terlindung dalam anyaman

Terkadang perlu
berlian yang merungkai emas
tidak berkilau dipanah lampu

Yang nyata pasti
dalam kebaikan yang dingin
tidak mungkin berbahang kejahatan

Thursday, June 07, 2007

Hari Kian Pergi

Mengapa begitu sugul sekali
melihat beredarnya mentari
dan beburung yang menyanyi
semakin menyepi

Sudah pun faham di akal
biarpun di fikiran majal
telah ditetapkan ajal
dan tiada yang kekal

Dan mentari akan pergi
tenggelam di sebalik bumi
hari kian pergi
tak kembali

Selamat Pengantin Baru Perdana Menteri

Ada cahaya kemilau seri
Ke atas dunia membawa berita
Ada ceria menyambut hari
Ketua negara menjadi raja

Bunga manggar mekar mewangi
Seluruh negara menghias kota
Kami berdoa ke hadrat Ilahi
Moga sejahtera rakyat jelata

Sudah terikat janji dan nikmat
Sejahtera selalu suami dan isteri
Dicurahi rahmat sepanjang hayat
Selamat pengantin baru Perdana Menteri

Monday, June 04, 2007

Sudah Tentu, Sayang


Sudah tentu, sayang
akan terbit sunyi
dalam rasa yang sepi
setelah kau pergi

Sudah tentu, sayang
akan gugur tangis
pada hati yang terhiris
dalam rintik gerimis

Sudah tentu, sayang
akan tinggal kenangan
atas nama persahabatan
bila aku ditinggalkan

Sudah tentu, sayang
akan bertali arus doa
mengemis rahmat Yang Esa
untuk menempah syurga

Hari Ini

Hari ini
suria masih terbit pagi
insan masih menagih rezeki
ada sibuk dalam sesak
ada gembira dalam duka
ada tangis dalam tawa

Selagi ada kudrat
selagi itu ada upaya
dan selagi itu ada tekad
dalam mencari rezeki yang berkat

Lalu beruntunglah jiwa yang tulus
yang sentiasa mengingati mati
sedang dunia yang dikejar
takkan ikut ke Padang Mahsyar

Adapun di alam fana
tidak berakhir di alam barzakh
hingga tertunai azab dan nikmat
dalam perhitungannya di akhirat

Sunday, June 03, 2007

Jangan Ada Walau Setitis

Setiap nista yang dihambur
hingga bersepah bertabur
jangan ada walau setitis
sisa maaf yang belum ditangis

Dan setiap caci dan keji
yang berbaur dalam iri hati
jangan ada walau setitis
sisa maaf yang belum ditangis

Pada setiap yang diumpat
yang subur disirami hasad
jangan ada walau setitis
sisa maaf yang belum ditangis

Kepada si munafik yang kekesalan
yang menggunting dalam lipatan
jangan ada walau setitis
sisa maaf yang belum ditangis

Saat yang diberi amaran
bukan untuknya
malah untuk kalian
kerana hanya dia
yang bisa memadamkan
setiap kalian yang mengukir nama di neraka
atas ihsan dirinya...

Bawa Denganmu

Sepuluh naskhah mukjizat
pasti menyebut namamu
dalam setiap kalimat

Seratus lembaran surah
pasti mendoakanmu
dalam gandaan barakah

Setiap jiwa yang berhutang hikmah
asbab dirimu mereka kian berani
menghadap hakim di mahkamah

Bawa denganmu
semua itu adalah jariah
yang kau hulur dari hati
yang membelamu abadi
dan jalan yang kau lalui
akan disusuri lagi
oleh semua kami
pasti...

Bukan Aku Bersamamu

Titis air yang kian tergenang
akan kutakung di tapak tangan
bila ketikanya menjelma
akan kusiramkan ke pusara

Dan doa yang saban hari berdesir
ditemani resah dan khuatir
rupa-rupanya membenihkan getir
dalam hembusan petang silir-semilir

Duhai segala yang di dalam emosi
segala yang diingati
segala yang berjanji
segala yang bermimpi
kini
kita bicara tentang mati

Duhai rasa yang bercambah hiba
siang ini ada mendung
malam ini ada murung
hari ini hujan gerimis
hari ini awan menangis

Duhai masa yang beredar
dalam dada ini ada debar
dan setiap anggota makin ketar
semangat ini kian longgar

Jangan kaburi pandangan mataku
sebelum diselubung wajahmu
walau akan berhenti nadi yang berdenyut
walau akan ranap dahan yang kupaut

Ya Tuhan Yang Pengasih
jangan putuskan belasMu
jangan hentikan kasihMu
dan dalam azab derita
limpahkanlah hidayah dan reda