Wednesday, June 27, 2007

Aku Ingin Jadi Seketul Batu

Aku ingin jadi seketul batu
Di dasar sungai dingin membeku
Dibelai arus sungai berlalu
Lembut seakan membelai diriku

Di dasar sungai ini aku akan bersendirian
Tidak disakiti dan tidak menyakitkan
Dan aku gembira sendiri melayarkan angan-angan
Kononnya aku seketul berlian
Di sinilah aku bermastautin selamanya
Saban hari arus mesra sungai ini menyapa
Sambil mengulitiku penuh manja
Seolah didakap belaian kasih dan cinta

Dasar sungai ini adalah duniaku
Arus sungai ini adalah kekasihku
Biarpun tiada ikan berenang menemaniku
Aku tidak sunyi kerana kesunyian itu duniaku
Biar begini selama-lamanya
Menjadi seketul batu yang kaku di dasar sungai ini... aku rela
Bagiku duniaku penuh cinta
Yang tidak berhenti walau seketika

Wahai arus sungai berlalu
Berjanjilah yang kau akan setia padaku
Dan akan membelai diriku setiap waktu
Kerana aku tahu padamu aku tidak ragu-ragu
Aku ingin jadi seketul batu
Oleh arus sungai ditemani selalu
Dibelai dimanja dinyanyikan merdu
Lalu terukirlah gembira ditubuhku

Semoga kemarau panjang tidak tiba
Bersama cemburunya menghancurkan cinta kita
Seandainya kemarau tiba jua
Aku akan terdampar kontang
Dalam penantianku untuk kau kembali datang


~Batusungai~
13 Mei 1992

No comments: