Wednesday, March 21, 2007

Kau Hantu!

Pandai sungguh tipu daya
meleraikan ikatan janji
hingga hilang cantik pekerti
sekadar tinggal cantik rupa
itu pun kian luput diratah usia
makin berkedut menghampiri pusara
bau di badan makin meloyakan
sebusuk tanah yang mengambus
sekaku batu yang menimbus
lalu yang berselera menjilat tubuh
sekadar cacing dan ulat yang hodoh
tak mungkin ada lelaki bodoh
yang mahu sangat melampiaskan nafsu
biarpun sekadar menerapkan sepatu
tak mungkin
kecuali kalau jadi hantu
sebagaimana perangaimu dulu
dan perangaimu kini
masih tak sedar diri

Tuesday, March 20, 2007

Dayang

Seandainya
aku seorang raja
di tangan kananku kuasa
di tangan kiriku harta
akan kupilih dayang
di pelabuhan petang
akan kulabuhkan cinta
di kering dermaga

Benih cinta permaisuri
yang menyusur malam sepi
semakin meninggalkan siang
semakin melenyapkan sayang

Lalu syaitan manakah
yang sesat dalam menghukum
bahawa dayang penghias istana
takkan mungkin menjunjung takhta
sedang di hati seorang raja
dayangnya sepohon cinta?

Friday, March 16, 2007

Bagusnya Aku

Hari-hari ada lagu semangat
cerita tentang kejayaan
cerita tentang kemegahan
cerita tentang kekayaan
cerita tentang kemenangan

Hari-hari berdendang menyanyi
lirik lagu sendat memuji
puji diri sendiri
puji negara sendiri
puji perdana menteri
puji para menteri

Hari-hari telnga mendengar
hari-hari mata melihat
hari-hari hati meluat
hari-hari makin melarat
hari-hari galak bermaksiat

Pujilah lagi!
Pujilah!
Puji!

Tari

Rentak tari ini begitu rumit
aku tak berdaya mengikutnya
pada gaya
pada rasa

Tidak kutahu tempo berubah
ke kiri atau ke kanan
hilang rentak
hilang jejak

Ada sakit dalam sendi
setiap lengguk penuh seksa
tiada melodi
tiada isi

Tuesday, March 13, 2007

Kejam

Memperkosa gadis yang masih dara
hingga bertabur zuriat tak berbapa
atau merodok perut seorang tua
hingga mati sebelum terseksa

Mungkin menghadiahkan kepada bapa
sepak terajang setaraf muka
atau membelai tubuh bonda
dengan puntung rokok yang merah menyala

Membalas cinta dengan tuba
membalas sedih dengan ketawa

Friday, March 02, 2007

Hari-Hari Buat

Hari-hari fikir nak tambah iman
Hari-hari solat tunggang-terbalik atas sejadah
Hari-hari tunggang terbalik romen betina murah
Hari-hari baca bismillah sebelum makan
Hari-hari mencarut memuji-muji setan
Hari-hari dengar orang mengaji di TV
Hari-hari tengok perempuan telanjang di PC

Hari-hari buat
selagi tak mati
fikir macam mana nak tambah iman

Tuesday, February 27, 2007

Kau Tiba

Sudah sampaikah masanya
kau datang menyapa
sedang aku masih telanjang
sambil ketawa girang?

Tangan kamukah itu
yang merenggut nyawaku
membakar panas tapak tangannya
hingga menggelupur setiap anggota?


Suara kamukah yang menengking
dalam ketika ini yang runcing
tiada hormatkah walau secebis
tiada belaskah walau setitis?

Sungguh aku masih dalam telanjang
sedetik pun jua tak berlapang
terbuka dalam terang
menanti gelap yang datang

Friday, February 23, 2007

Dalam Sehari

Subuh tadi
sujud mencium bumi
kepala di tapak kaki
memuja Ilahi
merendah diri
mengharap bakti
memohon ampun atas dosa
memohon syurga atas neraka
hingga hati kecut insaf
ketar jari jemari menyelak mashaf

Petang sebelum pulang
ada lagu berkumandang
ada arak yang ditatang
ada ajnabi yang dipegang
insan berubah jadi binatang
jalan lurus jadi berliku
seribu zuriat azazil menyeru
sahut bersahut dengan rela
tidak takut pada dosa
tidak gentar pada noda

Jangan sentap nyawaku
selepas petang menjelang

Wednesday, February 21, 2007

Ilusi

Di mana letaknya rasa
sedang tidak nampak di mata
atau terdengar di telinga
sekadar terluah di kata-kata


Ada permainan dalam emosi
yang mengusir jati diri
yang menyuburkan sangsi
yang memalsukan mimpi

Sekadar ilusi yang membikin keliru
antara tawa dan sendu
antara rimas dan rindu
antara kasih dan nafsu
antara kau dan aku

Jenin & Puteri



Jadilah puteri
walau sesaat
dalam mimpi

Junjung persadaku
walau sedetik
dalam dakapanku

Titahkan kasih
walau setitis
buat hatiku

Kemudian kau pergi
pulang ke kayangan
tinggalkan Si Jenin
terkial-kial mencari jalan

Gagal

Mungkin yang membaca
gagal memahami makna
atau mungkin yang menulis
gagal menyampaikan maksud
atau kedua-duanya sekaligus
gagal menyurat yang tersirat
dan dalam kedua-duanya
hanya ada KEGAGALAN

Gagal menyampaikan
bisa menyesatkan
dan sifatnya bodoh

Gagal memahami
bisa besar diri
dan sifatnya angkuh

Biar jadi seperti Buddha
tapi jangan sembah Buddha

Tuesday, February 20, 2007

Jadi Malas

Ada hati yang tiada rasa
ada rasa yang tiada peka
ada otak yang tiada fikir
ada fikir yang tiada makna

Resmi takdir
harus diterima seadanya
dan sering kali juga
menerima bererti melepaskannya

Lalu jadilah malas
hendak fikir pun malas
hendak rasa pun malas
hendak kata pun malas

Suka hati engkaulah
aku sudah penat memberi kasih
sudah penat memberi sayang
sudah penat memberi cinta
sudah penat memberi harga

Jangan ganggu aku lagi!

Bodoh Setia

masih membara dalam rasa
walaupun didusta
walaupun diseksa
maka
bodoh atau setia?

masih mahu dirindu
walaupun sudah diganti
walaupun sudah dilupai
maka
bodoh atau setia?

boleh kekal terus bodoh
walaupun kau fikir itu setia
boleh kekal terus setia
walaupun itu sebenarnya bodoh

Thursday, February 15, 2007

Naluriku Benar

Naluriku selalu bergetar hebat
setiap kali ada rasa
tentang dusta

Naluriku seakan lemas tenggelam
setiap kali yang menemanimu
adalah selain daripada aku

Naluriku sudah mati berkubur
bila terjaga dari tidur
menyedari kejahilan yang makin subur

Seharusnya sudah kutahu lama
yang sekelilingmu
penjana dusta

Yang Dikendong

Yang dikendong
dah lama berciciran
dan yang dikejar
rupa-rupanya kebodohan

Atau sebenarnya
selama ini buta
mungkin naluri
tersilap merasa

Acap kali menghitung silap
yang disangka syurga
sebenarnya neraka
dalam jurang paling hina
dalam jurang paling seksa

Lupa Diri

Ada yang tak tahu
menghargai penghargaan
lalu yang berharga
menjadi jenaka

Ada yang tak nampak
kerdip bintang di langit
hingga mendambakan rasa
pada kehodohan purnama

Ada yang ketawa
kerana berjaya melukakan
hingga tak sedar
kelemasan dalam onar

Wednesday, February 14, 2007

Terima Kasih

Terima kasih
kerana menjadi api
menyalakan kembali harapan
yang dulu kian mati

Terima kasih
kerana menjadi malam
mengembalikan padaku mimpi
menggantikan igauan seram

Terima kasih
kerana menjadi hujan
mendinginkan cinta dan rindu
yang hampir hangus kepanasan

Terima kasih
kerana walaupun seketika
sepalit bahagia
cukup untuk menawar
seabad derita

Dalam Senikata

Pelangi petang
kata Sudir dahulu
muncul dengan seri
tapi pastinya akan hilang

Pasti kau di saat ini
berselindung di balik wajahnya
begitu kata Mega
bila menceritakan dusta

Ada luahan yang tertahan
sebegitu lama tersimpan
nyaris dimuntahkan

Antara Sayapmu


Tebar sayapmu mengasyikkan
hingga kugenggam bara menjadi abu
tanpa sedar

Ada butir-butir yang bersinar
antara pelepah yang bak sutera
ada permata yang kulihat
tanpa sangkar

Bila tebar sayapmu disapa angin
kau hilang sepi
dan permata yang kujaga dengan nyawa
kau bawa pergi

Yang Sia-Sia

Benih rasa yang disemai
tiada sinar
tiada hujan
lalu layu mati

Nafas yang dihela
ada debar
ada getar
tapi tiada nadi

Sabar yang digalas
dalam penantian
dalam harapan
berkecai menjadi candi

Aku Silap... Sebenarnya...

Aku fikir
aku faham erti cinta
sehinggalah
aku bertemu dengannya

Aku fikir
setiap duka ada gembira
sehinggalah
aku tersedar di dalamnya

Aku fikir
aku sudah lupa membenci
sehinggalah
aku kembali sendiri

Aku tahu kini
berlian yang disiram dan dibaja
takkan mungkin
tumbuh menjadi bunga
dan minyak penuh yang ditatang
takkan mungkin
bisa mendinginkan bahang

Terima kasih
kerana menjadi perhentian
untuk aku singgah
menghilangkan dahaga
biar pun sementara

Friday, February 09, 2007

Dari Detik Yang Berlalu

pilu benar puisi ini
menggambarkan hati yg sepi
menyesali harapan yang runtuh
menangisi impian yang roboh

tapi tak apa
kerana masakan ada suka
jika tiada duka
dan masakan ada bahagia
jika tiada derita...

Thursday, February 08, 2007

Makin




Makin banyak
botol arak bertaburan
bersepah-sepah di jalan

Makin senang
bersetubuh dengan perempuan
setiap hari tukar pasangan

Makin susah
mengatur langkah di jalan
mengelak daging babi buangan

Makin ghairah
setiap kali ke luar rumah
melihat lembah dan lurah

Monday, February 05, 2007

Dalam Kata-Kata

Namamu masih jelas menitip mimpi
auramu masih gelora di naluri
nafas yang kau hela saban hari
inap diam dalam benih yang hampir mati

Firasatmu tidak kosong
ada maksud masih bersarung
haiku yang kupinta diselam
anjur surat bak bertanam
masih gelita dalam kelam
igau malam belum tenggelam

Curigakah yang menjadi nadi
isbat yang kau tetapkan sendiri
nukilkanlah di hati ini
teduhkan jiwa ini yang panas
agar aku tenggelam lemas
kiranya banjir yang kau kurniakan
usah perahu yang kau risaukan

Sunday, January 28, 2007

Belum Putus Asa

Kesunyian yang semakin memeriahkan sepi
menambat kedua-dua sayapku
menutup kedua-dua mataku
hingga aku menjunam ke bumi

Tatkala melayan sepi di tempat ini
dia berada entah di mana
bersama dia yang masih rahsia
bersembang berdua tentang duniawi

Aku mahu beri gembira dan bahagia
aku mahu beri harap dan cahaya
tapi bagi yang sudah punya
ada yang tak perlu berlebihan

Tapi aku belum putus asa
belum buat tika ini
masih ada saki baki
harapan sebesar biji sawi
cuma aku tak pasti
hingga bila bertahan begini
(Petikan entri 16 Julai 2005)
Aku tak percaya
pabila orang berkata
kau hanya berdusta

Aku tak percaya
bahawa kau sekadar memperguna
mengambil kesempatan dari cinta

Aku tak percaya
yang aku kau perguna
sebagai teman sunyi sekadar sementara

Namun aku lebih tak percaya
kalau keluhuran yang kubaja
akan kaubalas dengan tuba

Aku tak percaya
yang kau akan sanggup mempersenda
apa yang kurasa

Thursday, January 18, 2007

Cantik

Memang cantik dia
lirik matanya menikam
hangat kulitnya mencengkam
debur nafasnya seram

Memang cantik dia
di mataku jadi ghairah
di telingaku jadi resah
dan aku mahu amat
menyentuh tubuhnya nikmat
sambil melayan syahwat

Kalau padamu ini lucah
dan mencabul tatasusila
maafkanlah aku
kerana sungguh aku tak mampu
terhadapmu membendung nafsu

Saturday, January 06, 2007

Kubur

Selain telaga minyak
yang digali makin dalam
boleh jadi kubur

Selain lebuh raya
yang diturap saban hari
boleh jadi kubur

Selain pemerintah
yang di hadapannya orang bersopan
boleh jadi kubur

Selain sastera
yang cerita di sebaliknya
hanya diketahui ahlinya
boleh jadi kubur

Thursday, January 04, 2007

Jadi Dewa

Ada tekad hendak bersolat
bukan dalam jemaah
ada tekad hendak puasa
bukan yang sunnah
ada tekad hendak berzakat
sekadar sedekah

Sebeban kertas dicakar
sebeban lagi bergumpal di sampah
tapi semuanya layak dibakar

Ada dewa antara kami
menyemai ujub menjadi riya’
membaja riya’ menjadi takbur
dan Firaun yang mati
hidup kembali
suruh disembah bak Ilahi

Wednesday, January 03, 2007

Selain Insan

Masih ada cencorot
merayap meniti malam
mengukir kuih mengikut rasa

Masih ada ayam
berkokok subuh menyuruh solat
sambil ekor bergelumang dot dot dot
(tak boleh sebut
nanti orang marah
konon tiada indah)

Marahkan paksa yang ditekan
tapi tangan yang mencengkam
busuk berdanur

Monday, January 01, 2007

Korban Tahun Baru

Korban Tahun Baru 1

Ada mercun yang meletup
sedang takbir sayu berlagu
ada titis arak yang tumpah
sedang darah korban tersimbah
ada pinggul berjoget dan gelek
sedang jemaah khusyuk mengadap Kaabah
ada “Happy New Year” bersorak-sorai
sedang “labbaikka-Allaah” berkumandang

Di samping lembu, kibas dan unta
ada gadis menjadi korban
ada teruna menjadi mayat
ada akal menjadi mabuk
ada jasad menjadi parah
ada nyawa tinggal jenazah

Sepikan masjid malam ini
meriahkan taman dan kelab
zikirkan cinta pujuk rayu
rela menggelupur Nabi Ibrahim
rela berkubur Nabi Ismail
dan meratap pilu Nabi Muhammad

Azam tahun baru dibenihkan
di atas tanah yang dibaja maksiat
kalau tak keparat yang menjadi buah
barangkali musibat menguntum ghairah
dan perut yang kelaparan
sendat dengan seksaan


Korban Tahun Baru 2

Ada mercun yang meletup
sedang takbir sayu berlagu
ada titis arak yang tumpah
sedang darah korban tersimbah
ada tubuh telanjang di sebalik tabir
sedang jemaah khusyuk menghitung zikir
ada “Happy New Year” bersorak gemilang
sedang “labbaikka-Allaah” berkumandang

Ada gadis menjadi lembu
bila daranya dikorbankan
ada teruna menjadi unta
bila arak yang menawar dahaga
ada insan menjadi kibas
bila nafsu menjadi buas

Azam tahun baru dibenihkan
di atas tanah yang dibaja maksiat
kalau tak keparat yang menjadi buah
barangkali musibat menguntum ghairah
dan perut yang kelaparan
sendat dengan seksaan

Sunday, December 31, 2006

Masih Bertanya

Kebenaran atas dasar kemanusiaan
yang tidak disandarkan pada ketuhanan
lalu kita terus bertanya
siapa yang benar
di celah onar

Yang menganggap dia seteru
kini boleh bersorak gembira
dan pada yang menganggap rakan
ada titis air mata

Sebelum sempat sujud Subuh
menyerahkan diri pada Yang Esa
jasad sudah tak bernyawa
roh sudah tiada

Perginya dalam persoalan
masih ada yang bertanya
ramai juga yang percaya
serahkan kepada Tuhan
biar Dia yang menentukan
sudah bukan lagi urusan kita
sudah bukan lagi kuasa insan

Tapi ingatlah
bahawa asas lumrah kehidupan
memang kaca bukan intan
tapi asal usul berlian
kalau tersepak di jalan
tak ada siapa yang nak simpan

Saturday, December 30, 2006

Entah

Entah di mana indahnya
kalau sekadar kata-kata
sekejap di belakang
sekejap di depan
tunggang terbalik
tegak tersungkur

Sekadar memendekkan sedepa
lalu jadi sejengkal
tak ke mana tingginya
malah tersangat dangkal

Tuang abjad atas kertas
melimpah sebaris saja
yang kering tetap kering
yang basah takkan kontang

Habis di mana indahnya?
Entahlah

Wednesday, December 27, 2006

Senja Sudah Tiba

Senja sudah tiba
membawa seram
membawa geram
menanti malam

Senja sudah tiba
melakar langit merah
sendawa kenyang
usai hari diratah

Senja sudah tiba
namun ada punggung masih kebas
menindih batu menatap mentari
melapik tanah menanti mati

Thursday, December 21, 2006

Rasa Hati



Jangan beri aku tubuh
melainkan dengan cinta
biar luruh segala rasa
biar badan punah binasa
biar putus nafas dan nyawa

Jangan beri aku nikmat
melainkan dengan cinta
sampai pedih tulang belikat
jauh terbenam tangkai azimat
dan bertaburan dendam kesumat

Apakah pada fikiranmu
aku hanya mahu nafsu
sedang rasa bisa menyala
sedang hati bisa merana?

Wednesday, December 20, 2006

Just Say No


If to you I am but a nuisance
and my love is but a grievance
then speak up the good riddance
just say no

If I am standing still in your way
or unknowingly hoping for an unwelcome stay
then fear not to chase me away
just say no

Guessing is so uncertain
obscuring hopes with prediction
nothing compares to unambiguous utterance
just say no

Monday, December 11, 2006

Pernah Dulu


Pernah dulu
dalam hatimu aku beradu
itu katamu

Suatu waktu
kucupan yang belum bisa syahdu
dan kau berlalu

Masih kini
aku tetap mencari-cari
rahsia hati

Mungkinkah hanya
akibat kucupan yang tiada rasa
kau berputus asa?

Pernah dulu
ada bara yang membakar rindu
hingga kini
masih pada dirimu

Ada Rindu

Ada dingin dalam rasa
sedingin suasana
ada bisik dalam suara
aku rindu padanya

Aku tak mau sepi begini
sedang engkau menjauhkan diri
begitu payah menahan hati
rinduku padamu setiap hari

Biar kau puas bersamanya
dan biar dia puas bermesra
biar anakanda dan bonda
jangan ada aku di antaranya

Pulut

Adat mengundang berpekerti
Adat bertandang berbahasa
Kami datang membawa budi
Bukan datang mencabar bahasa

Ada raja bersama kami
Ada istana hendak dibina
Memang ada harta milik kami
Tapi untuk kurnia permaisurinya

Hadir kami membelah bukit
Untuk tuan hajat dibawa
Datang kami membina masjid
Jangan tuan merobohkannya

Santun kami ada budinya
Sopan kami ada sabarnya
Pantun ini bukan isinya
Raja ini untuk permaisurinya

Garang sungguh pendekar Melayu
menggenggam tangan menjadi bara
Pantang sungguh anak Melayu
Menadah tangan meminta-minta

Pantang sungguh anak Melayu
Menadah tangan meminta-minta
Pantang sungguh anak Melayu
Menghalang niat membina istana

Menjunjung sirih memangku hati
Menatang rasa mengharap sudi
Menjunjung kasih setulus budi
Izinkan Raja bertakhta sehari

Wednesday, December 06, 2006

Suka Tahi


Lalat yang masih menghurung najis
sudah ditemani ulat tahi
saling berkenalan
sama-sama makan
yang satu sendawa
yang satu kenyang
yang nyata
sama-sama bangang
sehati dan sejiwa
sama-sama suka tahi
maka kalau tak keluar najisnya
masih lazat dijilat punggungnya
dan jika masih lagi kebulur
sama-sama menjilat dubur
jauh lagikah jarak mereka
untuk tiba ke lubang kubur?

Monday, December 04, 2006

Selera Aku

Biarpun bertaburan di tubuhmu
parut kudis yang menggerutu
menghias betis dan paha
aku masih berselera

Biarpun dikata orang
kau tak jelita dipandang
dan lehermu tidak jenjang
masih ada berahi yang datang

Biarpun gigimu tidak rata
dan suaramu tidak manja
namun siapa yang peduli
kalau ghairah sudah di hati

Aku punya selera
aku punya cita rasa
aku punya suka
kau orang peduli apa?

Keluarkan Aku

Keluarkan aku dari sini
tersepit antara gigi
naga gila yang lupa diri

Keluarkan aku yang kelemasan
dari genggaman yang menyesakkan
cengkaman ganas singa pondan

Keluarkan aku dengan belas
lumurkan dengan ikhlas
air liurmu yang masam pedas

Friday, December 01, 2006

Lalat


Ada lalat berterbangan
hinggap di tempat larangan
meninggalkan najisnya
meninggalkan danurnya

Yang dibuang dari istana
di laman orang berlagak raja
bagai kaduk naik junjung
bagai bekas besar yang kosong

Tidak ada malu
dalam lagak dan laku
lalu tiada harga
dalam setiap tutur kata

Dan umpama lalat berterbangan
hinggap di tempat larangan
ada najis padanya
ada danur padanya

Sunday, November 12, 2006

Sambutlah Salam

Masakan boleh dilukai
andai sudah kering darahnya
mengalir di tanah pusara


Sudah basah dasar hati
menakung air mata derita
yang banjirnya menghanyutkan rasa

Aku belum mahu mati
kecuali akan ada sendu
yang ditinggalkan perjalanan jiwaku

Tidakkah ikhlas bersambut
salam dihulur masih kehangatan
selagi masih ada kesudian

Friday, November 10, 2006

Siapa Kata?

Siapa kata
air yang dipukul
takkan terpercik ke muka?

Siapa kata
tangkai yang dilentur
takkan melibas semula?

Siapa kata
cili yang ditumbuk
takkan memedihkan mata?

Tuesday, November 07, 2006

Mahligaiku

Indah benar mahligai ini
ada marmar di tiang seri
ada kaca melapik kaki
tapi tiada permaisuri

Nyaman benar angin menyapa
selembut alunan sutera
sesegar bayu senja
tapi tiada belaian cinta

Cantik sungguh gerbangnya
berukir di tiap persada
tersergam pintu dibuka
hanya keluar, yang masuk tiada

Monday, November 06, 2006

Untuk Siapa

Hati yang sepi
ditinggal sendiri
semakin sunyi

Emosi yang karam
di larut malam
semakin kelam

Puteri yang tiada mahkota
masih di penjara istana
bebas dalam duri
belum menjadi suri

Mana ada merpati putih
yang berenang di air jernih
sedang sedikit lumpur dipalit
habis cacat lurah dan bukit

Saturday, November 04, 2006

Bukan

Bukan platonik
bukan juga simbiotik
rupa-rupanya sekadar plastik
(ff99ff)


Bukan kaca
dan bukan permata
barangkali sekadar polimer
(ffff66)


Bukan diri
apatah lagi hati
yang layak dihargai
(99ffff)

Monday, October 30, 2006

Simbiotik, Bukan Platonik

Tak perlu ada rasa antara kita
sekadar hubungan tanpa cinta
namun bukan sekadar kawan
antara lelaki dan perempuan

Tak perlu ada cinta di hati
tapi boleh saling merindui
namun bukan sekadar kawan
antara lelaki dan perempuan

Tak perlu hubungan platonik
antara kita sekadar simbiotik
namun bukan sekadar kawan
antara lelaki dan perempuan

Biar kita boleh bercumbuan
atau semahu-mahunya berkucupan
atau lemas bila saling berpelukan
tanpa perlu ada perasaan

Aku perlukan dirimu
dan mengharap kesudianmu
namun bukan sekadar kawan
antara lelaki dan perempuan

Berikan aku tanda
sama ada kau menerima
antara kita hanya simbiotik
tanpa perlu ada platonik
namun bukan sekadar kawan
antara lelaki dan perempuan