Saturday, August 25, 2007

Debaran Untukmu

Sungguh hampir terhenti nafas ini
bila fikiran dikaburi
oleh apa yang sudah makin bersebati
dalam ketakutan yang pasti

Aku fikir kau sudah menyambung perjalanan
menyusur jalan yang pernah ditempuh
oleh mereka yang terdahulu
dengan tenang dalam senyuman
dengan reda dalam aman

Aku fikir aku sudah karam lemas
sendirian melayan titis air tergenang
aku fikir aku akan jatuh terlentang
aku fikir aku akan ikut kau pulang
aku fikir tentang emosi yang mati
aku fikir tentang kau yang girang menanti

Terima kasih sahabat
walau dalam nazak dan pedihmu
kau mengingatkan aku tentang destinasi
yang sering aku lupakan
sambil mengerling simpang yang semakin hampir
sambil hati sudah bulat hendak membelok tanpa fikir
kau masih berdiri dalam ruhmu
menggenggam bekal yang tidak tercicir sedikit pun
sambil melambai kepadaku.

Thursday, August 23, 2007

Wahai Hati


Apa khabar duhai hati?
Kosongkah kau hari ini
atau masih berisi
dengan hasad dan dengki
yang memamah diri
atau ehsan dan ikhlas
yang sesak bernafas?

Setiap rasa yang tersemai semalam
ada yang suburkah antara mereka
membenihkan cahaya yang bernyala
lalu menyuluh khayal dan leka
bersinar menyuar melalui lisan
dibisikkan oleh syaitan
lalu rancak memperdaya?

Dan kemahuan yang menggenggam nafsu
masihkah pada merah dan ungu
menerjang jauh ehsan dan mulus
hingga melalaikan kebijaksanaan
lalu beralih menjadi dungu?

Wahai seketul hati
bagaimana mungkin akan kubuangmu
tanpa aku sendiri yang mati
dan bagaimana mungkin aku mati
tanpa mengadap Ilahi?

Gambar tu berjudul "The Last Judgement" oleh Luca Signorelli, dilukis pada lebih kurang 1500 SM Fresco Cathedral, Orvieto, Italy.

Monday, August 20, 2007

Kita

Kita minta pemerintahan sendiri
dan menjadikan peraturan hidup
berkiblatkan perlembagaan asing

Kita jadikan Islam rasmi
dan mencambahkan majlis sosial
bersifat sangat kasual

Kita jadikan bunga raya lambang
lalu menghias taman-taman awam
dengan bangku dan lampu suram

Kita angkat Bahasa Melayu menjadi tuan
sambil membiarkan bangsa Melayu
bersyair asyik sendirian

Hujan Dalam Hati

Hujan dalam hati
hingga banjir emosi
membasahi perasaan
tenggelam dalam kesakitan

Ada cahaya di sebalik awan
panahan mentari yang kepanasan
tersandung di lipatan langit
ditelan puncak bukit

Tulip yang dibelai angin
subur menanti dalam dingin
basah kerinduan
bisu kesunyian

Friday, August 17, 2007

Kata Pakar

Kata pakar ekonomi
matawang kita lemah
ekonomi kita gundah
mereka benar
kerana mereka yang pakar
bukan kita

Kata pakar gigi
ada lubang yang busuk
ngilu bersarang bubuk
mereka benar
kerena mereka yang pakar
bukan kita

Kata pakar kardiologi
arteri semakin tersumbat
darah mengalir semakin likat
mereka benar
kerana mereka yang pakar
bukan kita

Kata ustaz
jual beli itu halal
riba itu haram
perkahwinan itu halal
zina itu haram
madu itu halal
arak itu haram
mereka tak benar
kerana sungguhpun mereka yang pakar
tetapi kita jua yang benar

Betul kata cicak

Wednesday, August 15, 2007

Apa Yang Aku Ingat Tentang Mereka

Aku belum lahir tatkala kau berbakti
namun asbab baktimu maka aku di sini
sungguh ada tulus dan mulus pada kasih yang terbit suci
kepadamu Tunku kupohonkan rahmat Ilahi
Aku masih berhingus tatkala kau sudah pergi
namun asbab baktimu aku mampu hidup begini
dan asbab jasamu ayah bondaku masih tersenyum
sungguh kasih sayangku padamu kekal menguntum
selagi bulan, bintang dan mentari tetap menyinar
dan selagi nyawaku masih mekar
Besar sungguh habuanmu di sana
asbab dirimu yang ikhlas berjasa
nendaku mampu tunaikan rukun Islam ke lima
dan hari-hari anakandaku disinari TV berwarna
doa tulusku moga kau sejahtera di sana
Aku belajar dan aku kenal dirimu
aku bekerja dan aku kenal dirimu
aku ingat pada Dato Musa Hitam yang berani
dan pada Tun Ghafar Baba yang mengangguk setiap hari
dan Datuk Seri Anwar yang merengkuk dalam keji
dan pada kebebasan yang bertimbun menjadi ragi
begitu ada racun dalam madu
begitu ada putih dalam kelabu
begitu ada masam di hujung tebu
Scomi!
... dan bini baru....

Tuesday, August 14, 2007

Semut Hitam

Bila Aisyah berhijrah
Haji Kamaruddin dipenjarakan
Dan bila Ibrahim kembali benar
Dia syahid tanpa pembelaan

Setelah Saleh menjulang Suzie
dia hanyut terbuang dalam keji
Ketika Yusof menggenggam syiar
Kita campak hidayah ke luar pagar

Sudah tiadakah Yasir di zaman ini
Yang mati dalam cinta Ilahi
Dan cinta Sumaiyah yang setia abadi
Melahirkan Amar yang memancarkan suci

Semut hitam yang menjalar di malam pekat
rupa-rupanya sudah menggigit dan menyengat
sedang kita terus sesat

Monday, August 13, 2007

Helo Di Sana!

Malam nanti
bila alam menjadi sunyi
bila dunia dihias mimpi
aku akan telefon kau
dan kita sama-sama menggagau
mencari silau


Malam ini
helo di sana!
Kau sudah mati?
Atau cedera parah?
Atau sekadar munafik?

Yang mana pilihanmu?

Saturday, August 11, 2007

Aku Tak Kisah


Aku tak kisah
walau kau sekadar
bermain rasa

Aku tak kisah
walau kau sekadar
memalsukan cinta

Aku tak kisah
selagi kau sudi
menemani