Saturday, September 30, 2006

Tiga Godaan

Bintil-bintil dihujungmu
masih menggiurkan aku
kemantapan bentuk bulatmu
masih menyelerakan aku
memang aku ingin menyunyutmu
biar kering-kontang isimu

Dua bibirmu yang bertaut rapat
bila kusentuh terasa hangat
bila terhidu kepingin kujilat
bisa kubayangkan betapa nikmat

Dan lapis alurmu yang teramat sulit
di tengah-tengahnya nikmat diapit
berikan sabar di hati yang sakit
ghairahku kini sudah membukit

Besarnya godaan
di siang Ramadan!

Friday, September 29, 2006

Dahaga


Beratkah dosa yang tergalas ini
hingga Ramadan yang berlalu
seakan tidak bertamu?

Keringkah air mata di bahang noda
hingga kesyahduan ayat Tuhan
tidak mengalirkan keinsafan?

Bebalkah sudah akal dan hati
hingga peluang amalan yang terbentang
seakan tidak mengundang?

Semakin jauhkah syurga Firdausi
hingga panas neraka
seakan dekat terasa?

Wahai Tuhan yang memegang nyawaku
janganlah kau matikan aku
dan jangan matikan isteri dan anak-anakku
selagi belum mengalir dari tubuh kami
darah yang pekat dengan taubat kepadaMu

Wednesday, September 27, 2006

Ramadan Budaya

Ramadan telah tiba
gemerlapan rumah dan singgahsana
banyak sungguh panjut dan pelita
masjid masih gelap-gelita

Ada ajnabi berkucupan
ada makhluk mabuk berkeliaran
ada sawang menyelimut Quran
belum dirantaikah iblis dan syaitan?

Si musafir tak boleh menjamu dahaga
nanti seluruh negara berita dijaja
jadi togoklah arak penuh di meja
yang nampak diam yang tahu selamba

Ramadan ini bulan perpaduan
masjid dan disko bersefahaman
pabila pintu masjid dikunci
pintu disko dibuka sebagai ganti

Tuesday, September 26, 2006

Ramadan Yang Tampan

Bukankah yang kutahan ini
angin perut yang sendat sekali
yang sentiasa nak break free
yang letusannya sentiasa berbunyi?

Dan kenapa mereka semua
gemar benar menayang muka
sehingga aku sering dalam terpaksa
mengekang angin yang keras kepala?

Mungkin berkat Ramadan
menjadikan aku semakin tampan
kerana hanya di bulan ini
pejabatku semakin kerap dikunjungi
oleh mereka yang gemar berjenaka
barangkali sebab tak ada kerja

Aku nak blah cepat
dan kutakungkan dalam pejabat
angin perut yang pekat
biar di hidung mereka ia melekat!

Thursday, September 21, 2006

Bosan


Nun di seberang meja
berlabuh roti jala
belum terluak lagi

Ada bekas di sebelahnya
masih belum dibuka
mungkin kuah kari

Di sini ada bunyi
menari dan menyanyi
berpesta dalam perutku
menjejeh air mulutku

Selama terkurung di sini
perut kelaparan
hati kesakitan
hanya telinga yang kekenyangan

Tuesday, September 19, 2006

Emosi


Kalau ada api yang membakar
leburkan hati ini yang calar
biar mengalir nanah
biar mendidih darah

Suarkan bara yang menyala
hingga pijar segala rasa
biar rentung hati
biar hancur diri

Lalu siramkan embun kasih
walaupun perit pedih
akan sembuh luka
akan tumbuh cinta

Sunday, September 17, 2006

Semakin Jauh


Semakin kurang kata-kata
semakin sunyi suara
dan antara kita
tiada lagi bicara

Semakin kabur pandangan
semakin kosong perasaan
jangan biarkan kekeringan
emosi yang penat dipertahan

Sekujur jasad cinta
terlindung di sebalik fatamorgana
yang semakin berjarak
dan semakin jauh

Monday, September 11, 2006

Selamat Ulang Tahun


Terbit matahari bertambah usia lagi
setahun berlalu menempuh hidup baru
masa berganti masa menjadi dewasa
menghadapi dugaan dunia

Selamat ulang tahun wahai puteri remaja
pelihara diri nama baik keluarga
jagalah kehormatan dan keperibadian
jangan tersesat jalan hidup

(KORUS)
Perjalanan hidup di depanmu
penuh bayangan bahagia
jangan leka walau seketika
tabah dan tenang menghadapinya

Selamat ulang tahun wahai puteri jelita
semakin jelita manis menawan sukma
ingat pada Tuhanmu bersyukur selalu
kepadaNya kita kan kembali


~lagu ciptaan 1986~

Saturday, September 09, 2006

Langit Bersulam Sutera


Seandainya
aku punya langit bersulam sutera
dan mahligaiku bertatah berlian permata
mungkinkah aku disanjung
dipuja sentiasa
disegani semua yang ada dalam dunia?

Namun
walau ku tak punya langit bersulam sutera
dan mahligaiku pun tidak bertatah permata
aku tetap bersyukur ke hadrat Maha Esa
kerana aku dijadikannya sebagai manusia


Lagu untuk putera dan puteriku

Tuesday, September 05, 2006

Dia

Walaupun hodoh
masih berjodoh
dan zuriatnya
dah lebih dua

Lagaknya bangsat
jodoh tetap melekat
mungkin dia pemakai tangkal
atau suaminya memang bebal

Angkuhnya membakar
merah dan pijar
bahangnya bak lahar
sebab itu dia sering nanar

Hatinya tenggelam
di danur yang dalam
membusuk dengan nanah
dibungkus kahak dan ludah

Janganlah ada doa
yang mengharap aniaya
sebelum kau kembali
dan sedar siapa diri

Nyanyikan Rasa

Nyanyikan aku lagu cinta
tanpa ujub dalam rasa
nescaya akan tersemai mesra

Nyanyikan aku lagu kasih
tanpa riak yang membenih
nescaya akan meracun pedih

Nyanyikan aku lagu sayang
tanpa takabbur yang berdendang
nescaya bahagia diundang

Lalu betulkan setiap yang khilaf
atas dasar insaf
jangan sampai keindahan
dikaburi kehodohan