Monday, November 05, 2012

Rindu Kamu

Dan aku rindukan...
kenakalan gayamu
kepetahan bicaramu
tawa jenakamu
dan apa jua
tentang kamu
sungguh aku rindu
teramat rindu padamu

Dan aku paling rindu
pada ungkapan cinta
dan kata-kata sayang
daripada kamu
untuk aku...

Friday, August 31, 2012

Camouflage

Jangan menyangka
di air tenang tiada buaya
sedang di sebalik ketenangan
bersembunyi kekejaman

Dan jangan dipuja
cantik jelita pada rupa
sedang di sebalik topeng keindahan
bermaharajalela wajah kehodohan

Lantas lontarkan kebodohanmu
kembalikan waras akalmu
pada yang terang lagi nyata
setelah Tuhan membuka hijabNya

Sungguh Allah Maha Adil
dan sama sekali tidak menganiaya
biarlah sepi sampai ke mati
biar sakit memamah diri
biar banjir caci dan maki
sungguh itu aku lebih rela
daripada dicampak ke neraka
akibat mati hati yang buta

Sunday, August 12, 2012

Sunting

Samakah mimpi cintaku ini
dengan mimpi cintamu
dan mahukah kau menawarnya
dengan realiti di jari manismu?

Lantas
aku tidak mungkin tidur lena
kerana telah aku sedari
sungguh realiti itu lebih bahagia
daripada sekadar mimpi cinta

Sunday, July 29, 2012

Jangan Biarku Keseorangan

Jangan biarku keseorangan
menyusur pasir pantai
hingga tiba di laut
lantas menahan ribut
nanti aku hanyut
tenggelam kelemasan
menggapai tempat berpaut
apa sahaja yang tergenggam
apa sahaja yang kucengkam

Jangan biarku keseorangan
kerana aku teramat takut
sesat dalam ribut
tenggelam dalam kalut

Sunday, July 22, 2012

Apa Sebenarnya Sayang?

Apa sebenarnya sayang
yang menutup pintu hatimu
dan seluruh jiwa ragamu
daripada kehadiranku
dan keikhlasanku
cinta dan rinduku
kasih dan belaianku
ketulusanku
kemurnian hatiku
semuanya hanya untukmu
sekadar untuk menyirami
dengan cinta dan rindu
berkongsi tawa dan sendu
kekal berdiri di sisimu
hingga ke akhir hayatmu...?

Apa sebenarnya sayang...?

Sunday, July 01, 2012

Kepada Yang Dicintai

Sememangnya...
kau bukan
yang pertama

Tetapi pasti...
aku mahu kau
jadi yang terakhir

Friday, May 18, 2012

Buat Kali Kedua

Ya Tuhan
pernah dahulu aku mengadu
dalam diri diselaputi dosa
dan kini aku kembali
dengan pengabdian diri yang hina
buat kali yang kedua

Maka kali ini Ya Tuhan
atas pengajaran yang Kau berikan
berikanlah aku segenap kekuatan
kerana demiMu sesungguhnya
Kau tahu aku tiada daya upaya
untuk pasrah melepaskannya...

Sunday, May 13, 2012

Untukmu Mama

Sudah terlalu lama Mama
Kau hanya asyik memberi
Hingga kau sudah terlupa
Bagaimana rasanya menerima

Dan sudah sekian amat lama
Kami hanya asyik menerima
Hingga kami tidak mengerti
Nikmat puasnya memberi

Selamat Hari Istimewa
Buatmu satu-satunya
Mama...

Wednesday, May 02, 2012

Dan Akhirnya...

Dan akhirnya
yang terikat dengan lafaz
berakhir jua dengan lafaz
dan setiap yang tumbuh antaranya
adalah amanah yang abadi selamanya

Dan akhirnya
ternyata lidah teramat lembut
dan kelembutan itu yang jadi talinya
lantas apa yang terikat dengan cinta
biarlah terurai dengan cinta jua

Dan akhirnya
setiap kesan yang membenih
dari ungkapan lafaz yang pedih
bukan pokok yang terseksa
tetapi tunas yang baru mengenal dunia...

Thursday, April 26, 2012

Goodnite...

Goodnite my dearest
for the day ends here
but my love for you
shall stay forever

Goodnite my love
I hope you sleep tight
and when morning comes
let me be first in your sight

Goodnite my sweetie
I wish I was there beside you
and I wish that every night
you share the same dream that I do

Tuesday, April 24, 2012

Manis Selamanya...

Kau manis sangat hari ni
Walau tiada senyum di muka
Dan tak berkumandang irama tawa
Namun kau masih amat manis sangat hari ni
Macam krim dalam roti...

Aku rindu teramat padamu...
Rindu teramat...
Tapi aku tetap terpaksa
Ucap Selamat Tinggal kepadamu
Walau kau tak pernah faham dan tahu
Rasa hatiku padamu
Namun kau tetap bagiku
Sang Siput Comey seumur hidupku

Sunday, April 22, 2012

Sudah Sekian Lama Duhai Sahabat

Sudah sekian lama duhai sahabat
semuanya kupendam kusimpan sendiri
tak dapat nak kukongsi

Sudah sekian lama duhai sahabat
aku buat apa yang aku buat
tanpa kau memberi nasihat

Namun beban ini kini semakin membukit
saban hari dan masa semakin perit
dan aku semakin sakit

Sungguh masih jelas aku ingat
pada nasihat dan marahmu
pada tenang rias wajahmu
pada lembut bisik suaramu
pada kuat teguh semangatmu
yang sebelum ini selama ini
kau kongsi denganku percuma rela
kau hulurkan tanpa diminta
hingga tiada siapa yang tahu
akan tangis senduku

Sudah sekian lama duhai sahabat
aku amat rindu padamu
hingga aku pernah sampai sanggup
menurut jejakmu...

p/s: Ila hadhratin nabiya Muhammadin SAW wa ila khushuushan 'ala arwaaha Farhana Miza Mohd Faris... Al-Faatihah

Saturday, April 21, 2012

Kau Manis Sangat Hari Ni

Kau manis sangat hari ni
senyum meleret sampai ke pipi
dan kasut comel menyarung kaki
renungan mata yang macam berapi

Tapi...
yang aku paling suka sekali
gelak tawamu yang menghibur hati
tanda kau gembira kembali
sudah ada kebahagiaan di hati
walaupun ketika tu
aku yang ada kat situ

Maka untukmu... aku tumpang happy
kau memang manis hari ni
macam krim dalam roti... Aharks!

Sunday, March 11, 2012

Separuh Terbuka

Separuh pintu maksiat
tertutup bila menikah

Tapi aku nampak
separuh daripadanya
masih luas ternganga!

Thursday, March 08, 2012

Sang Siput Comey

Sinar ini telah kembali
Intan berkilau memancar seri
Tugu diri yang dulu rebah
Inayat tiba memimpin gagah

Nun jauh di dalam hati
Obor cinta menyala kembali
Ruwatlah diri menggenggam api

Hati sudah melapangkan pintu
Ada sinar menanti tetamu
Yang jauh bersemi di dasar hati
Adalah cinta yang tulus suci
Tapi sekadar dipandang mata
Ingin disentuh berjarak jua

Friday, March 02, 2012

Masih

Walau apa pun alasanmu
dan sehina mana pun
kau perlakukan aku
dan biarpun aku
dipermainkan semahumu

Masih
sememangnya masih...

Thursday, March 01, 2012

Jelita

Sesungguhnya dia
sungguh amat jelita
dan dia tidak tahu
betapa Jelitanya dia
Sang Siput Comeyku
yang menakluk cintaku

Monday, February 20, 2012

Seperti Aku

Seperti aku
kau punya hati dan rasa
lantas mengapa
hatiku kau toreh luka?

Seperti aku
cintamu amat bermakna
lantas mengapa
cintaku kau campak tanpa harga?

Seperti aku
kau juga manusia
lantas mengapa
kau layan aku bak sampah yang hina?

Sunday, February 19, 2012

Buta Sebab Kemilaunya

Rupa-rupanya
berlian yang berkilau selama ini
hanyalah kaca yang berbaki
dari serpihan botol racun
yang berpalit dengki

Sungguh bagai dikata
bahawa cinta itu buta
lantas duhai Sang Siput Comey
tunjukkanlah kepadaku
keluhuran kemilau cinta abadi
yang tulen sejati

Monday, September 19, 2011

Pokok

Adakah benar sebegini
Yang cinta amat menyakitkan
Dan cinta yang menyambung kita
Cinta juga yang memisahkan?

Lantas inilah jalan hidup
Sepohon kayu yang patah dahannya
Namun terus gigih tumbuh
Mencari cahaya...