Friday, March 27, 2009

Lembuku Aku Yang Jaga


Nanti aku akan mati
jangan sekali-kali kau lahirkan
lembu-lembu sebodoh dirimu
yang menyambung zuriat Melayu

Biarlah aku yang sebat
biar aku yang belasah
layan kau bak lembu pawah
atau kau mahu aku serahkan tali ini
ke tangan Rajoo dan Minachi
ke tangan Chan Yue dan Mee Yee?

Saturday, March 14, 2009

Pterocarpus indicus


Kalau ada sumur di ladang
Boleh kami menumpang mandi
Kalau sena gugur tumbang
Boleh kami berdemo lagi

Kerana pulut santan binasa
Kerana sena batu berkecai
Kerana mulut badan merana
Kerana raja rakyat bercerai

Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa hamba gantikan
Kalau tumbuh si pokok sena
Taukeh racun jadi jutawan

Kalau tuan mudik ke hulu
Belikan kami bunga kemboja
Kalau tuan pecahkan batu
Mesti tuan dah tak ada kerja

Friday, March 13, 2009

Walaweh! Sekolah Dah Cuti!

Sekolah dah start cuti seminggu
bapak dan mak dah siapkan kain baju
kereta di luar dah sedia menunggu
"Honey, it's time for our bulan madu!"
Tapi camne?

"Anak-anak yang buas tu semua
kita export dia orang balik ke desa
biar di sana dia orang panjat pokok
biar di sungai dia orang terjun tiruk
biar dia orang kejar lembu dan kambing
biar dia orang main di bendang berguling-guling
biar atok dan tok wan jadi cikgu disiplin

"Kita berdua balik ke Kuala Lumpur
sekarang baru kita boleh nyenyak tidur
dan rumah kita yang macam pasar ikan dulu
sekarang aman damai sejahtera seminggu!"

Horey...! Sekolah dah cuti...!!!
Mak bapak pula yang terover happy...!!!

Monday, March 09, 2009

Pagi Ini Hujan Turun


Pagi ini hujan turun rebas
tanda pintu langit terbuka luas
ada rahmat yang diturunkan
ada nikmat yang dikurniakan

Bahawa agar alam semesta ini sempurna
Allah menghantarmu untuk isi dunia
ada khabar yang gembira
ada khabar yang nestapa

12 Rabi’ul Awwal ini kembali
Subuh Isnin ini juga kembali
kejahilan ini juga kembali
tapi kau tetap pergi

Ya Rasulullah yang ke atasmu kesejahteraan
ke atas dirimu salawat dan rahmat Tuhan
titis air matamu membanjiri bumi
nasib umatmu hangus dijilat api

Dari singgahsanamu ya Rasulullah
perhatikanlah aku yang kian resah
inikah sunnahmu yang benar
itukah ajaranmu yang sebenar?

Pada manusia inikah ilmumu diperturunkan
atau insan itukah yang menyambung lisan
dan diakah yang harus kutaat
dan merekakah yang kuanggap sesat?

Yang bersalawat kepadamu di pagi hari
dan memaki hamun insan di petang hari
menjunjungmu di mata pedang
menjunjungmu di dalam perang

Yang tampak menafikanmu saban masa
tampak asuhanmu dalam amal dan bicara
tunduk pada yang memusuhi
tegar pada yang menyebelahi

Salawat dan salam kepadamu Ya Nabi
perhatikanlah aku yang menghampiri mati
aku mahu ikut jalanmu
aku mahu tuntut ilmumu

Salawat dan salam Ya Rasulullah
temanilah aku nanti di hadapan Allah
begitu banyak jalan kembali
semoga benar jalan yang ini.

~12 Rabi'ul Awwal 1430~