Tuesday, February 27, 2007

Kau Tiba

Sudah sampaikah masanya
kau datang menyapa
sedang aku masih telanjang
sambil ketawa girang?

Tangan kamukah itu
yang merenggut nyawaku
membakar panas tapak tangannya
hingga menggelupur setiap anggota?


Suara kamukah yang menengking
dalam ketika ini yang runcing
tiada hormatkah walau secebis
tiada belaskah walau setitis?

Sungguh aku masih dalam telanjang
sedetik pun jua tak berlapang
terbuka dalam terang
menanti gelap yang datang

Friday, February 23, 2007

Dalam Sehari

Subuh tadi
sujud mencium bumi
kepala di tapak kaki
memuja Ilahi
merendah diri
mengharap bakti
memohon ampun atas dosa
memohon syurga atas neraka
hingga hati kecut insaf
ketar jari jemari menyelak mashaf

Petang sebelum pulang
ada lagu berkumandang
ada arak yang ditatang
ada ajnabi yang dipegang
insan berubah jadi binatang
jalan lurus jadi berliku
seribu zuriat azazil menyeru
sahut bersahut dengan rela
tidak takut pada dosa
tidak gentar pada noda

Jangan sentap nyawaku
selepas petang menjelang

Wednesday, February 21, 2007

Ilusi

Di mana letaknya rasa
sedang tidak nampak di mata
atau terdengar di telinga
sekadar terluah di kata-kata


Ada permainan dalam emosi
yang mengusir jati diri
yang menyuburkan sangsi
yang memalsukan mimpi

Sekadar ilusi yang membikin keliru
antara tawa dan sendu
antara rimas dan rindu
antara kasih dan nafsu
antara kau dan aku

Jenin & Puteri



Jadilah puteri
walau sesaat
dalam mimpi

Junjung persadaku
walau sedetik
dalam dakapanku

Titahkan kasih
walau setitis
buat hatiku

Kemudian kau pergi
pulang ke kayangan
tinggalkan Si Jenin
terkial-kial mencari jalan

Gagal

Mungkin yang membaca
gagal memahami makna
atau mungkin yang menulis
gagal menyampaikan maksud
atau kedua-duanya sekaligus
gagal menyurat yang tersirat
dan dalam kedua-duanya
hanya ada KEGAGALAN

Gagal menyampaikan
bisa menyesatkan
dan sifatnya bodoh

Gagal memahami
bisa besar diri
dan sifatnya angkuh

Biar jadi seperti Buddha
tapi jangan sembah Buddha

Tuesday, February 20, 2007

Jadi Malas

Ada hati yang tiada rasa
ada rasa yang tiada peka
ada otak yang tiada fikir
ada fikir yang tiada makna

Resmi takdir
harus diterima seadanya
dan sering kali juga
menerima bererti melepaskannya

Lalu jadilah malas
hendak fikir pun malas
hendak rasa pun malas
hendak kata pun malas

Suka hati engkaulah
aku sudah penat memberi kasih
sudah penat memberi sayang
sudah penat memberi cinta
sudah penat memberi harga

Jangan ganggu aku lagi!

Bodoh Setia

masih membara dalam rasa
walaupun didusta
walaupun diseksa
maka
bodoh atau setia?

masih mahu dirindu
walaupun sudah diganti
walaupun sudah dilupai
maka
bodoh atau setia?

boleh kekal terus bodoh
walaupun kau fikir itu setia
boleh kekal terus setia
walaupun itu sebenarnya bodoh

Thursday, February 15, 2007

Naluriku Benar

Naluriku selalu bergetar hebat
setiap kali ada rasa
tentang dusta

Naluriku seakan lemas tenggelam
setiap kali yang menemanimu
adalah selain daripada aku

Naluriku sudah mati berkubur
bila terjaga dari tidur
menyedari kejahilan yang makin subur

Seharusnya sudah kutahu lama
yang sekelilingmu
penjana dusta

Yang Dikendong

Yang dikendong
dah lama berciciran
dan yang dikejar
rupa-rupanya kebodohan

Atau sebenarnya
selama ini buta
mungkin naluri
tersilap merasa

Acap kali menghitung silap
yang disangka syurga
sebenarnya neraka
dalam jurang paling hina
dalam jurang paling seksa

Lupa Diri

Ada yang tak tahu
menghargai penghargaan
lalu yang berharga
menjadi jenaka

Ada yang tak nampak
kerdip bintang di langit
hingga mendambakan rasa
pada kehodohan purnama

Ada yang ketawa
kerana berjaya melukakan
hingga tak sedar
kelemasan dalam onar

Wednesday, February 14, 2007

Terima Kasih

Terima kasih
kerana menjadi api
menyalakan kembali harapan
yang dulu kian mati

Terima kasih
kerana menjadi malam
mengembalikan padaku mimpi
menggantikan igauan seram

Terima kasih
kerana menjadi hujan
mendinginkan cinta dan rindu
yang hampir hangus kepanasan

Terima kasih
kerana walaupun seketika
sepalit bahagia
cukup untuk menawar
seabad derita

Dalam Senikata

Pelangi petang
kata Sudir dahulu
muncul dengan seri
tapi pastinya akan hilang

Pasti kau di saat ini
berselindung di balik wajahnya
begitu kata Mega
bila menceritakan dusta

Ada luahan yang tertahan
sebegitu lama tersimpan
nyaris dimuntahkan

Antara Sayapmu


Tebar sayapmu mengasyikkan
hingga kugenggam bara menjadi abu
tanpa sedar

Ada butir-butir yang bersinar
antara pelepah yang bak sutera
ada permata yang kulihat
tanpa sangkar

Bila tebar sayapmu disapa angin
kau hilang sepi
dan permata yang kujaga dengan nyawa
kau bawa pergi

Yang Sia-Sia

Benih rasa yang disemai
tiada sinar
tiada hujan
lalu layu mati

Nafas yang dihela
ada debar
ada getar
tapi tiada nadi

Sabar yang digalas
dalam penantian
dalam harapan
berkecai menjadi candi

Aku Silap... Sebenarnya...

Aku fikir
aku faham erti cinta
sehinggalah
aku bertemu dengannya

Aku fikir
setiap duka ada gembira
sehinggalah
aku tersedar di dalamnya

Aku fikir
aku sudah lupa membenci
sehinggalah
aku kembali sendiri

Aku tahu kini
berlian yang disiram dan dibaja
takkan mungkin
tumbuh menjadi bunga
dan minyak penuh yang ditatang
takkan mungkin
bisa mendinginkan bahang

Terima kasih
kerana menjadi perhentian
untuk aku singgah
menghilangkan dahaga
biar pun sementara

Friday, February 09, 2007

Dari Detik Yang Berlalu

pilu benar puisi ini
menggambarkan hati yg sepi
menyesali harapan yang runtuh
menangisi impian yang roboh

tapi tak apa
kerana masakan ada suka
jika tiada duka
dan masakan ada bahagia
jika tiada derita...

Thursday, February 08, 2007

Makin




Makin banyak
botol arak bertaburan
bersepah-sepah di jalan

Makin senang
bersetubuh dengan perempuan
setiap hari tukar pasangan

Makin susah
mengatur langkah di jalan
mengelak daging babi buangan

Makin ghairah
setiap kali ke luar rumah
melihat lembah dan lurah

Monday, February 05, 2007

Dalam Kata-Kata

Namamu masih jelas menitip mimpi
auramu masih gelora di naluri
nafas yang kau hela saban hari
inap diam dalam benih yang hampir mati

Firasatmu tidak kosong
ada maksud masih bersarung
haiku yang kupinta diselam
anjur surat bak bertanam
masih gelita dalam kelam
igau malam belum tenggelam

Curigakah yang menjadi nadi
isbat yang kau tetapkan sendiri
nukilkanlah di hati ini
teduhkan jiwa ini yang panas
agar aku tenggelam lemas
kiranya banjir yang kau kurniakan
usah perahu yang kau risaukan