Sunday, January 28, 2007

Belum Putus Asa

Kesunyian yang semakin memeriahkan sepi
menambat kedua-dua sayapku
menutup kedua-dua mataku
hingga aku menjunam ke bumi

Tatkala melayan sepi di tempat ini
dia berada entah di mana
bersama dia yang masih rahsia
bersembang berdua tentang duniawi

Aku mahu beri gembira dan bahagia
aku mahu beri harap dan cahaya
tapi bagi yang sudah punya
ada yang tak perlu berlebihan

Tapi aku belum putus asa
belum buat tika ini
masih ada saki baki
harapan sebesar biji sawi
cuma aku tak pasti
hingga bila bertahan begini
(Petikan entri 16 Julai 2005)
Aku tak percaya
pabila orang berkata
kau hanya berdusta

Aku tak percaya
bahawa kau sekadar memperguna
mengambil kesempatan dari cinta

Aku tak percaya
yang aku kau perguna
sebagai teman sunyi sekadar sementara

Namun aku lebih tak percaya
kalau keluhuran yang kubaja
akan kaubalas dengan tuba

Aku tak percaya
yang kau akan sanggup mempersenda
apa yang kurasa

Thursday, January 18, 2007

Cantik

Memang cantik dia
lirik matanya menikam
hangat kulitnya mencengkam
debur nafasnya seram

Memang cantik dia
di mataku jadi ghairah
di telingaku jadi resah
dan aku mahu amat
menyentuh tubuhnya nikmat
sambil melayan syahwat

Kalau padamu ini lucah
dan mencabul tatasusila
maafkanlah aku
kerana sungguh aku tak mampu
terhadapmu membendung nafsu

Saturday, January 06, 2007

Kubur

Selain telaga minyak
yang digali makin dalam
boleh jadi kubur

Selain lebuh raya
yang diturap saban hari
boleh jadi kubur

Selain pemerintah
yang di hadapannya orang bersopan
boleh jadi kubur

Selain sastera
yang cerita di sebaliknya
hanya diketahui ahlinya
boleh jadi kubur

Thursday, January 04, 2007

Jadi Dewa

Ada tekad hendak bersolat
bukan dalam jemaah
ada tekad hendak puasa
bukan yang sunnah
ada tekad hendak berzakat
sekadar sedekah

Sebeban kertas dicakar
sebeban lagi bergumpal di sampah
tapi semuanya layak dibakar

Ada dewa antara kami
menyemai ujub menjadi riya’
membaja riya’ menjadi takbur
dan Firaun yang mati
hidup kembali
suruh disembah bak Ilahi

Wednesday, January 03, 2007

Selain Insan

Masih ada cencorot
merayap meniti malam
mengukir kuih mengikut rasa

Masih ada ayam
berkokok subuh menyuruh solat
sambil ekor bergelumang dot dot dot
(tak boleh sebut
nanti orang marah
konon tiada indah)

Marahkan paksa yang ditekan
tapi tangan yang mencengkam
busuk berdanur

Monday, January 01, 2007

Korban Tahun Baru

Korban Tahun Baru 1

Ada mercun yang meletup
sedang takbir sayu berlagu
ada titis arak yang tumpah
sedang darah korban tersimbah
ada pinggul berjoget dan gelek
sedang jemaah khusyuk mengadap Kaabah
ada “Happy New Year” bersorak-sorai
sedang “labbaikka-Allaah” berkumandang

Di samping lembu, kibas dan unta
ada gadis menjadi korban
ada teruna menjadi mayat
ada akal menjadi mabuk
ada jasad menjadi parah
ada nyawa tinggal jenazah

Sepikan masjid malam ini
meriahkan taman dan kelab
zikirkan cinta pujuk rayu
rela menggelupur Nabi Ibrahim
rela berkubur Nabi Ismail
dan meratap pilu Nabi Muhammad

Azam tahun baru dibenihkan
di atas tanah yang dibaja maksiat
kalau tak keparat yang menjadi buah
barangkali musibat menguntum ghairah
dan perut yang kelaparan
sendat dengan seksaan


Korban Tahun Baru 2

Ada mercun yang meletup
sedang takbir sayu berlagu
ada titis arak yang tumpah
sedang darah korban tersimbah
ada tubuh telanjang di sebalik tabir
sedang jemaah khusyuk menghitung zikir
ada “Happy New Year” bersorak gemilang
sedang “labbaikka-Allaah” berkumandang

Ada gadis menjadi lembu
bila daranya dikorbankan
ada teruna menjadi unta
bila arak yang menawar dahaga
ada insan menjadi kibas
bila nafsu menjadi buas

Azam tahun baru dibenihkan
di atas tanah yang dibaja maksiat
kalau tak keparat yang menjadi buah
barangkali musibat menguntum ghairah
dan perut yang kelaparan
sendat dengan seksaan