Saturday, January 10, 2009

Siapa Yang Diperangi?

Atas nama ketakutan
kita semai keberanian
dan atas keberanian
kita melunaskan dendam

Lalu dendam menjadi manisan
buat menawar dahaga
darah pekat yang membasah bumi
menjadi pembuka selera

Takutlah akan ketentuan Tuhan
apabila kita saling membunuh
Islamkah yang menjadi musuh
atau bangsa yang mereka cemuh?

Friday, January 02, 2009

Yang Pergi, Yang Menanti


Siapa sebenarnya
yang menghitung hari
yang akan pergi
atau yang menanti?

Satu kerusi
dah pasti kosong
yang satu lagi
belum tentu lopong

Bulan tiga
dah makin dekat
tiga bulan
dah rasa lambat

Selagi boleh
ambil segalanya
selagi boleh
samun semuanya

Kali Ini Kita Berjalan Gelap

Perjalanan kali ini
meniti malam pekat
berbekal cahaya pelita
berteman ribut gelora

Biar ke mana dipandang
legat jauh ke hadapan
toleh ke kiri dan kanan
entah apa yang bergentayangan

Kalau yang di hadapan itu menanti
aku usul bila tiba
kalau yang di hadapan itu merempuh
aku tahan selagi berdaya

Dan kalau yang di hadapan itu jurang
langkah ini biar perlahan
tapi yang pasti bukan cahaya
kerana sebegitu ia gelap-gelita