Saturday, May 31, 2008

Batu

Mata putih
kerana Batu Puteh
tapi tak sedih

Sebab masih ada batu
yang lebih kematu
hanya satu

Dalam kepala dia
masih di sana
tak dengar kata

Thursday, May 29, 2008

Sebutir Bintang Supernova

Sebutir bintang itu
sudah lama mati
namun cahayanya
tetap menyinarkan seri

Sedang purnama megah
bintang itu menjadi teman
lalu setiap jari yang menuding
beralih haluan

Setiap sinar cahayanya
menjadi teladan dan pedoman
setiap percikan apinya
menjadi sempadan dan panduan

Sinar sebutir bintang mati
menjadi kemilau kepada yang insaf
sekadar perhiasan kepada yang alpa
bahawa setiap bintang
pasti melalui supernova
dan kepada Ilahi
setiap diri pasti kembali


Gambar dikebas tanpa minta izin dari Linolumixa

Wednesday, May 28, 2008

Rindu

Orang-orang tua
dalam sebuah kampung
di Pulau Pinang

Sedang rindu amat
pada Si Badut
yang sudah lama hilang

Rakan-rakan sarkas
yang lincah meloncat
semakin jadi bangang

Penonton sarkas
makin azamat bersorak
makin tambah malang

Dan orang-orang tua
rindukan Si badut
dari Pulau Pinang

Tepi! Tepi!

Berikan aku jalan
kerana laluan ini sempit
untuk mengisi badanmu

Berikan aku ruang
kerana bangku ini kecil
untuk menampung punggungmu

Berikan aku cangkat
supaya mereka dapat melihat
rias wajahku

Dan akan kuberikan engkau
tilam empuk dan bantal gebu
supaya kau tidak terus lena
di tengah-tengah laluanku
takut nanti kurempuh
dan kau tergolek
macam anjing
yang tak ada gigi
atau macam kera
yang baru belajar menaip.

Tepi!
Tepi!
Duduk di tepi!
Tidur di tepi!
Mati di tepi!
Mati!

Friday, May 16, 2008

Kepada Guru-Guru


Kepada guru-guru
yang dikasihi dan dihormati

Sungguh aku amat merindui
kaliber dan kebijaksanaanmu
kepimpinan dan bimbinganmu
ketegasan dan kelembutanmu
wawasan dan impianmu
pendirian dan ketulusanmu

Andai dibebani ke atas aku
apa yang dibebani ke atasmu
nescaya aku kan punah ranap
tenggelam meninggalkan debu

Andai ditimbang di dadaku ini
apa yang ada di dalam dadamu
nescaya aku kan terbang hilang
sedang kau membuahkan ladang

Kepada guru
yang dikasihi dan dihormati
ampunilah diriku ini
pada setiap lisan yang mencaci
pada setiap tulisan yang mengeji
sungguh kegagalanku memahami
adalah kegagalanku mempelajari
setiap titis ilmu yang kau beri.

Tuesday, May 13, 2008

Hari Ini

Hari ini
tiga puluh sembilan tahun dulu
Melayu dan Cina saling berseteru
dan darah tumpah
hingga bumi lencun basah

Hari ini
selepas tiga puluh sembilan tahun
aku masih panggil dia Cina
dia masih panggil aku Melayu
aku masih bercakap pelat dia
dia masih tak lancar berbahasa aku

Hari ini
selama tiga puluh sembilan tahun
sejarah hari ini
masih belum boleh dirai
dan antara kita
masih membara api