Ubadah Bin Somit RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang:
"Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."
Ya Tuhan Penerima Taubat
betapa timbunan dosa-dosaku
dan betapa janji-janjiMu
maka campakkanlah walau setitis
di hatiku yang kian hitam
rasa gentar kepada dosa
rasa takut pada neraka
Ya Tuhan Penerima Taubat
begitu banyak dugaan syaitan
menyiram subur benih kesesatan
maka campakkanlah walau setitis
di hatiku yang kian hitam
kelazatan kepada iman
kerinduan pada amalan
Ya Tuhan Penerima Taubat
ada sinar di hujung jalan
dan ada keliru di persimpangan
maka campakkanlah walau setitis
di hatiku yang kian hitam
hidayahMu yang bercahaya
agar bisa kucari dan kutemui
jalan kembali yang Kau reda