Monday, August 28, 2006

Gemilang


Aku jumpa jalur gemilang
tertiarap di jalan lengang
putihnya sudah usang
merahnya tidak garang

Jalan lengang ini sunyi
siangnya sepi
malamnya gempita
tawanya harta
tangisnya harta

Ada muntah di longkang
ada orang terbongkang
ada teruna mengerang
ada gadis telanjang

Thursday, August 24, 2006

Erti Merdeka

Apakah yang aku rasa
tatkala laungan merdeka bergema
dan penjajah membebaskan kita?

Apa yang dijajah
apa pula yang diperintah
hingga kepada mereka kita menyampah?

Apa yang berbeza
di bawah kekuasaan mereka
dan di bawah kekuasaan kita?

Apa yang kerugian
kalau masjid tumbuh bak cendawan
sedang aku melayan angan-angan?

Kita Kaya Fiesta

Selesai sudah Festival Filem Malaysia
menjulang Sharifah Amani dan Gubra
selepas meraikan Akademi Fantasia
sambil menanti Anugerah Era

Meriah amat
bising azamat
teringat nambat
di dalam solat

Ada lagi yang menanti
kita kaya fiesta lagi
sambut dengan bangga
sambut sampai gila

Aku jumpa jalur gemilang
tertiarap di jalan lengang
putihnya sudah usang
merahnya tidak garang

Sunday, August 13, 2006

Dulu, Kini dan Mungkin Selamanya

Kau sembah berhala
dan menafikan Allah Yang Maha Esa
dulu, kini dan mungkin selamanya

Kau tolak Muhammad
dan Islam yang membawa rahmat
dulu, kini dan mungkin selamanya

Kau pula pernah bersyahadah
Tiada Tuhan Selain Allah
dan Muhammad Rasulullah
kini kau berpaling tadah

Aku kenal kamu berdua
masih percaya pada berhala
dan yang muslim dahulunya
kini sudah menderhaka

Dan aku masih kenal kamu berdua
dulu, kini dan selamanya

Moga kau tidak mengajakku pergi
bersama kalian di alam abadi
hanya kerana
aku kenal kamu berdua
dulu, kini dan mungkin selamanya


Saturday, August 12, 2006

Untuk Kamu


Sofa nenek di ruang tamu
seakan kain buruk dapur ummimu
dan permaidani Persia nenek di bilik
seakan sejadah yang dibentang terbalik

TV besar yang atuk suka
kini sudah bertukar warna
dan dinding rumah yang selari
kini umpama lukisan Salvador Dali

Harta abah semakin tenggelam
membayar apa jua yang jahanam
mungkin suatu hari boleh muflis
dan abah terpaksa pula mengemis

Namun demi kamu semua
abah akan bayar walau dengan nyawa
hanya satu yang ummi dan abah pinta
kepada Tuhan, jangan derhaka

Friday, August 11, 2006

Kau Iblis

Akukah yang kau tidak mahu
atau sesuatu yang tiada padaku?
Benar kuharap luahan suaramu
nyatakan supaya aku segera tahu

Tidakkah kau rasakan hangat cinta
yang sudah sekian lama membara
atau mungkin kau begitu dungu
emosimu pekak, tuli dan bisu?

Mungkinkah ada ehsan
dalam sisa perikemanusiaan
atau kau sudah menjadi syaitan
yang memusuhi segala kebaikan?

Pada zahir dirimu
sememangnya kau nombor satu
lalu begitu sudi dan rela
Sang Iblis sujud kepadamu hanya

Sunday, August 06, 2006

Kemaluan Yang Tidak Malu

Kemaluan yang tidak malu
sudah lumrah
selalu

Bibir manis gadis manja
nikmat dikucup
sesiapa saja

Payudara atau lurah punggung
bagi jari-jemari lelaki
untung

Dan kemaluan yang tidak malu
tujah dengan syahwat
kalau mahu

Dunia Belum Berakhir


Biar mereka kata
kiamat sudah hampir
tidakkah mereka fikir
bahawa dunia belum berakhir?

Nafas yang dihela setiap pagi
muzik yang dilayan setiap hari
lisan menuturkan puji dan keji
itukah tanda dunia tiada lagi?

Peha gebu yang ditenung
tubuh sasa yang mendukung
buih arak yang laju di rengkung
itukah dunia yang sudah rentung?

Untung yang dikaut licin dek si hartawan
ihsan yang dirayu kembara di perantauan
dan si miskin mengais rezeki kelaparan
itukah dunia yang tiada harapan?

Tapak hiburan yang segar dibaja
gadis belasan yang suka dimanja
taukeh judi yang semakin kaya
itukah maksud berakhirnya dunia?

Belum
dunia masih belum berakhir

Saturday, August 05, 2006

Keamanan Kita

puisimu ini buatku sebak
tapi telah lama hatiku terdetak
sungguhkah keamanan ini bagi kita rahmat
atau murka Tuhan yg memutuskan segala rahmat?
dan darah pekat yang di bumi mereka
mungkinkah penebus dosa dan neraka?
sedang kita terus lena
dalam tidur dan jaga

Tuesday, August 01, 2006

Hitung

Setiap yang bernyawa
pasti akan mati
dan setiap yang mati
akan diadili

Lalu yang dihitung
membawa seribu erti
dan yang beruntung
menanti ajal berkunjung

Lalu yang digalas
membawa seribu seksa
sedang masih di dunia
terasa panasnya neraka