Thursday, May 25, 2006

Panas

Memang sekarang panas
ada bahang yang mengurung
ada api yang membakar
ada abu yang tercemar

Panas yang menyelimuti
walau ke mana pun aku pergi
dari malam ke pagi
senja dan dinihari

Begitu ironik fenomena
kerana panas yang kurasa
akibat dinginnya suasana
dinginnya mesra
dinginnya dia

Monday, May 22, 2006

Setiap Diri Kamu


ada beban yang terpikul
dalam setiap diri kamu
yang bakal menentukan
destinasiku

ada dunia yang menanti
kehadiran setiap kamu
yang bakal mencorakkan
alam kuburku

ada akhirat yang dijanjikan
untuk dihuni setiap kamu
neraka atau syurga
menjadi amanahku

Wednesday, May 17, 2006

Cikgu

Ramainya cikgu yang hadir
di dalam hidupku menyingkapkan tabir
ada yang kekal di dalam hayatku
ada yang sekadar singgah bertamu

Ada yang mengajar untuk pandai
dan mengajar menjadi pandai
juga mengajar menyekat pandai
atau mengajar nak tunjuk pandai

Segelintirnya sungguh berkuasa
sebahagiannya mempersetankan kuasa
ramai lagi yang melemparkan kuasa
tidak seramai yang tak kenal kuasa

Cikgu yang mati kerana aku
sanggup mati selepas aku
rela mati bersama aku
takkan mati selagi ada aku

Cikgu yang hidup kerana aku
mungkin hidup kerana aku
takut mati kerana aku
berani mati tanpa aku

Friday, May 12, 2006

Bahtera Telah Berlayar

Ombak dan pantai tetap berbicara
bulan tetap bersinar di angkasa
bintang tetap memimpin nakhoda
bahtera yang berlabuh sudah tiada

Kerdip sinar di tengah lautan
sesekali melambung perasaan
kadang tenggelam di dasar kenangan
kadang terapung di arus pengalaman

Bahtera sudah berlayar pergi
megah layarnya membawa diri
entah ke mana destinasi
entah siapa yang mengemudi

Kalau nakhoda masih merindu
pelabuhan ini tetap menunggu
pantai ini masih merayu
ombak ini masih berlagu

Wednesday, May 03, 2006

Angkuh

Apakah yang tiada di dunia ini
yang ada di syurga firdausi
sedangkan semuanya dapat kubeli
dengan hartaku yang tetap berbaki?

Yang mana satu perlu kupandu
antara berbelas kereta mewahku
di jalan lurus mahupun yang berliku
untuk ke syurga yang kau sebut-sebut itu?

Sebesar mana tandingannya
antara puluhan mahligai dan singgahsana
yang kumiliki seluas saujana
dapat dibandingkan dengan di syurga?

Sesungguhnya
hartamu bisa membeli dunia
kereta mewahmu bisa menjelajah benua
mahligai dan singgahsanamu bisa mengekang cuaca

Demi sesungguhnya
hartamu tak bisa menebus mati
kereta mewahmu tak bisa membawamu lari
mahligai dan singgahsanamu tak bisa menembok diri
tatkala Izrail bertandang nanti