Saturday, February 18, 2006

Titis Air Suci

Titis air suci
bertakung menjadi keji
menghimpun najis dan danur
hingga lewat kubur

Titis air suci
gugur di batas asing
lalu disiram air kencing
hingga berbekas kering

Titis air suci
masih minta berahi
maka biar ia subur
dalam taman yang luhur
mekar lewat kubur

Pasangan

manakan ada hitam
jika tiada putih
manakan ada gembira
jika tiada sedih

tidak akan ada senyum
melainkan dalam gembira
sedang tangisan boleh menitis
dalam ria mahupun duka

jadi masakan ada gembira
jika tiada sedih
titiskan air mata
kerana ia tanda kasih

Wednesday, February 15, 2006

Bebas

Sememangnya
sesuatu yang baik
banyak pantang larangnya
dan yang memuja kebebasan
bakal mencipta kesesatan

Friday, February 10, 2006

Deria Neraka

Lidah ini
melafazkan dusta
sedang sedikit pun tidak
memuji Yang Maha Esa

Mata ini
merenung syahwat
sedang sedikit pun tidak
mengerling ayat dan kalimat

Telinga ini
mendengar caci nista
sedang sedikit pun tidak
menggetarkan ilmu ke dada

Kaki ini
melencong di kegelapan
sedang sedikit pun tidak
menapak ke rumah Tuhan

Tangan ini
membaitkan puisi
dan sepatah perkataan pun tidak
menyebut nama Ilahi

Lalu pada anugerah Allah ini
apa lagi yang bererti
sedang setiap pancaindera
menempah tempat di neraka?

Wednesday, February 08, 2006

Kawan Yang Bermusuh

Tidakkah mereka tahu
apa yang Tuhan firmankan
bahawa sehingga ke akhir waktu
Yahudi dan Nasara terhadap kita menjadi seteru?

Bukankah sudah terbukti
dalam sejarah yang berulang kali
sesunggunya mereka tidak akan berhenti
terhadap kita menghamburkan caci maki?

Lalu apa yang dihairankan
di seberang laut terbiaknya kuman
sedang di tanah ini bermaharajalela syaitan
yang bertopengkan kemuliaan insan?

Pelik dengan musuh yang menyerang
seharusnya tidak sepelik
sahabat yang menikam dari belakang