Selamat datang wahai cinta
ke alam khayal sang pujangga
yang setiap langkahnya ada kisah
untuk dihikayat menjadi warkah
Selamat bersama wahai cinta
mencari erti di alam nyata
meneroka fantasi di dalam mimpi
mencipta hakikat di alam realiti
Selamat datang wahai cinta
sebarkan sayang di seluruh buana
semoga insan mendakap kasih
umpama bidara dilurut selasih
Walaupun aku masih di dunia
aku ingin sekali melihat syurga
yang padanya ada limpahan bahagia
yang padanya tiada secalit nestapa
Walaupun aku masih di dunia
seakan sudah kurasai neraka
yang padanya penuh azab siksa
yang padanya penuh duka sengsara
Sudah lenyapkah timbang rasa
ditelan tamak dan haloba
dan sudah pudarkah kasih cinta
yang menyelimuti teruna dan dara?
Betapa rahmat telah pupus
dibakar serakah yang rakus
lalu terdampar setiap jiwa
terperangkap di jurang neraka
Dan walaupun aku masih di dunia
keindahan ini bukan syurga
kecelakaan ini bukan neraka
sedang setiap detik yang pergi
membawa aku ke liang pusara...
Harum kelopakmu
Membenihkan rindu
Di kalbu
Tegap tangkainya
menjunjung mahkota
yang berduri noda
luka yang terpahat
terus diingat
terus terlihat
Haruskah diampuni
sedang hati sudah berdarah
berkudis dan bernanah?
Ringan tangan ini
mujur lagi nafsu mengalah
dan akal memerintah
Nyaris lagi
hendak mencampakkan amanah
ke lubuk yang berdarah
Ya Ilahi Robbi
berikan hidayah
kurniakan hikmah
Kata-kata
Tidak bertempat
Mulutnya cabul
Anak-anak
Dibiarkan melarat
Itu dusta
Akal singkat
Bicara nafsu
Itu derhaka
Bara api yang digenggam
akhirnya terlepas lalu tenggelam
di dasar lubuk yang paling dalam
menggelapkan apa yang sedia malam
Lalu haruskah dibicarakan
tentang apa yang kau makan
sedang aku yang kelaparan
sudah kenyang dengan minuman?
Atau molekkah ditanya
tentang jujur dan dusta
sedang setiap kali berbicara
hati dan lidah menyemai nista
Halaukan merpati itu
racuni makanannya
bersihkan kawasan ini
Semaikan pujian
dibajakan ikhlas
dituaikan nilai.
Apa sebenarnya yang mereka mahu?
Bila diri dihias sebegitu
sedang pabila mata lelaki bertamu
ke atas kulit terdedah antara bukaan baju
mereka seakan mencemuh dan ingin berlalu
justeru senyuman menjadi seteru
dan yang ikhlas dianggap tipu
Lalu apa sebenarnya yang mereka mahu?
Memanggil perhatian yang tidakkan datang
atau sekadar berlagak jalang?
Terkadang ada yang perasan
bahawa pada setiap senyuman
kononnya ada kejahatan…