Sunday, May 29, 2005

Puteriku Sayang

Puteriku sayang bidadariku
jangan kau anggap lelaki seteru
sesungguhnya mereka pelindung dirimu
asal kau pandai memilih yang mana satu

Puteriku sayang permata hati
jangan samakan semua lelaki
dan bukannya abah tidak mengasihi
yang penting wahai puteriku, kesejahteraan ummi

Puteriku sayang penyinar bahagia
demimu kan kugadaikan nyawa
setiap yang ada kukorbankan segala
walau dituntut dari jurang pusara

Puteriku sayang kasih abadi
kau kan jadi ibu nanti di suatu hari
pastilah kau juga kan jadi isteri
ingatlah, syurgamu di tangan suami

Puteriku sayang seri kehidupan
pilihlah lelaki yang menggenggam iman
pastinya dia sangat berlainan
di dalam dunia menongkah zaman

Puteriku sayang jangan keliru
sudah lenyap agama di zamanmu
dalam berjuta hanya ada satu
itulah lelaki yang menjadi pelindungmu

Puteriku sayang cinta hatiku
jangan tersesat jalan hidupmu
ingatlah bahawa mati tetap mencarimu
ingatlah kepada Tuhan kembali setiap anggotamu

Puteriku sayang pelita hati
sejahterakan ummi sampai ke mati
jangan derhaka kepada suami
maafkan ayahanda wahai puteri...

Saturday, May 28, 2005

Kepada Puteraku Yang Dikasihi

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
hadirmu satu kejutan
walaupun sudah dijangkakan
seakan lazim dalam sebutan
lalu kunamakan dirimu Aiman

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
dewasamu pantas mealpakan waktu
tanpa sedar aku tak larat lagi mendukungmu
namun abah dan ummi tak selamanya di sisimu
kelak kamikan pergi jua selama-lamanya meninggalkanmu

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
andai terpisah abah dan ummi
jangan gelisah bertanya hati
ingatlah puteraku sematkan di hati
sesungguhnya kasih ibu kasih abadi

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
sebagai putera sulung yang dewasa
sejahterakanlah ummi hingga ke akhir hayatnya
maafkanlah kami akan kepahitan yang kau rasa
realiti ini wahai puteraku, bukan dipinta

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
panas api tak semestinya bernyala
dingin air tak semestinya gelora
hembusan angin takkan selamanya menyapa
dan duniamu itu takkan abadi selamanya

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
adik-adikmu amanat kami
sekiranya kami melangkah pergi
lalu beban dirimu dan adik-adik selagi di sini
untuk memanjangkan rahmat Tuhan ke pusara kami

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
memberilah engkau pada yang sudi
menerimalah engkau seikhlas hati
jadikan sabar pedoman diri
jadikan Islam pegangan yang abadi

Sesungguhnya
bukan mudah putera yang kukasihi
membezakan khayalan dan realiti
dalam kehidupan yang sementara ini...

Thursday, May 26, 2005

Ada Ketikanya

Ada ketikanya
air mataku menitis
kerana sakit hati
akan gurauan jahatmu

Ada ketikanya
air mataku menitis
kerana teramat benci
akan sindir cacimu

Ada ketikanya
air mataku menitis
kerana marah yang membara
akan perlakuan layananmu

Namun setiap ketika
air mataku menitis
bila terkenangkan tentang kita
dan setiap yang telah kulalui bersamamu....

Wednesday, May 25, 2005

Mahligai Yang Runtuh Akhirnya

Mahligai yang bertahun dibina
yang disemai dengan kasih dan cinta
lalu disiram dengan keringat derita
dan dipagari dengan tembok setia
ada retak rupa-rupanya

Yang telah dihalalkan dengan kebencian
akan menjadi kenyataan memeritkan
bukan sengaja jadi pilihan
tapi atas dasar perikemanusiaan

Inilah kebangsatan ketamadunan insan
yang mengembalikan kesedaran
kepada syaitan
lalu bermastautin menjadi rakan....