Thursday, April 26, 2001

Percayalah

Percayalah
Walau sezarah pun tidak terlintas
Untuk mencambahkan rasa
Sebuana kasih bersaudara
Bukan itu yang dipinta

Percayalah
Mengukir luka berdarah di hati
Disimpang jauh sekali
Berhembus khabar perihal hati
Bukan dari mulut ini

Percayalah
Meracun mati kelopak rasa
Hampir kontang kudrat upaya
Bergadai jiwa bercincang raga
Demi menghantar rasa ke pusara

Percayalah
Luluh sutera berganti kertas
Mengurung rasa menampan bebas
Pecah ruyung bertabur sagunya
Namun kering kudrat bergadai noda

Percayalah…

Sunday, April 22, 2001

Luntur

Kuning tugu itu luntur dimamah hujan
Ternampak lapis karatnya
Berserpih danur berdebu dugal

Pagar yang makan padi bersemai
Ditempel serindit pulang senja
Mati dihempap rezeki terlarangnya

Jijiknya hati nurani ini
Memincang senyum berpancing senyum
Mencantas tawa berumpan tawa
Memancung peri berjoran peri

Sementelah dikenali
Dipancung mati tidak
Dicincang azab tidak
Dipijak-pijak tidak sekali-kali

Bagai diri ini
Umpama najis khinzir segumpal di kaki
Justeru sebegitu hina sekali

Saturday, April 21, 2001

Kesali Pertemuan Ini

Kesali pertemuan ini
Kerana bersamanya datang hakisan
Yang melunturkan tugu kesetiaan
Terbina begitu lama dari jerih kepedihan

Kesali pertemuan ini
Datang menyemai benih kasih dan cinta
Lalu di hati melakar torehan luka
Tiap kali di hamparan sua dan bicara

Kesali pertemuan ini
Di paksaan rela menurut ke mana pun pergi
Mencuri cebisan babak mimpi-mimpi
Merobohkan setia berderai menjadi candi

Runtunan kasih murni yang terbit tulus
Bercambah menyuburi taman kudus
Fahamilah peri ini yang kian pupus
Demi meracun kelopak yang mulus

Tiada kebencian pada pertemuan ini
Sekadar sesalan tidak bersudi
Kekosongan itu isikanlah
Untuk mendidik erti pasrah
Agar dirimu dan hatiku tidak berdarah

Fahamilah
Takdir ini bukan kemahuan