Sudahkah sempurna perbekalan
untuk menghadapkan wajah berdosa
kepada golongan yang pada anggapanmu kerdil
seolah lemah tidak bermaya
Cukupkah perisai sebagai benteng
melindungi diri dari asakan berani
golongan kerdil yang berkeyakinan diri
Sempatkah anggotamu menepis menangkis
hamburan cemuhan dan caci maki
golongan kerdil yang tiada kuasa
sekadar punya mukjizat akli
Telingamu sudah menjadi tuli
matamu kabur di siang hari
akibat peganganmu yang umpama rembulan
bersinar berzaman-zaman ke bumi
dari sumber cahaya mentari
Wahai sinaran rembulan
purnamamu menerangi malam gelita
tetapi tidak menjadi pedoman perjalanan
tidak juga menjadi penunjuk kebenaran
Sedarkah wahai sinaran rembulan
bahawa kau kini
sekadar perhiasan?
~Penglipur~