Monday, March 09, 2009

Pagi Ini Hujan Turun


Pagi ini hujan turun rebas
tanda pintu langit terbuka luas
ada rahmat yang diturunkan
ada nikmat yang dikurniakan

Bahawa agar alam semesta ini sempurna
Allah menghantarmu untuk isi dunia
ada khabar yang gembira
ada khabar yang nestapa

12 Rabi’ul Awwal ini kembali
Subuh Isnin ini juga kembali
kejahilan ini juga kembali
tapi kau tetap pergi

Ya Rasulullah yang ke atasmu kesejahteraan
ke atas dirimu salawat dan rahmat Tuhan
titis air matamu membanjiri bumi
nasib umatmu hangus dijilat api

Dari singgahsanamu ya Rasulullah
perhatikanlah aku yang kian resah
inikah sunnahmu yang benar
itukah ajaranmu yang sebenar?

Pada manusia inikah ilmumu diperturunkan
atau insan itukah yang menyambung lisan
dan diakah yang harus kutaat
dan merekakah yang kuanggap sesat?

Yang bersalawat kepadamu di pagi hari
dan memaki hamun insan di petang hari
menjunjungmu di mata pedang
menjunjungmu di dalam perang

Yang tampak menafikanmu saban masa
tampak asuhanmu dalam amal dan bicara
tunduk pada yang memusuhi
tegar pada yang menyebelahi

Salawat dan salam kepadamu Ya Nabi
perhatikanlah aku yang menghampiri mati
aku mahu ikut jalanmu
aku mahu tuntut ilmumu

Salawat dan salam Ya Rasulullah
temanilah aku nanti di hadapan Allah
begitu banyak jalan kembali
semoga benar jalan yang ini.

~12 Rabi'ul Awwal 1430~

Wednesday, February 18, 2009

Purnama Baru Dua Kali


Tahun ni
baru dua kali bulan purnama
tapi purnama sudah gerhana
macam poket aku juga

Negeri Perak bertukar MB
artis lelaki bertukar bini
artis perempuan kahwin lari
artis janda masih mencari

ADUN Selangor heboh telanjang
Dewan Rakyat yang lintang-pukang
rakyat Selangor tercengang-cengang
SYABAS juga yang terus kenyang

Harga petrol dok naik turun
harga barang tak turun-turun
harga perempuan dok makin turun
anu jantan dah tak boleh turun

IJN nak kena beli
airport nak tambah lagi
bisnes minyak dok tambah rugi
sakit jantung orang kat Sime Darby

Tahun ni
baru dua kali bulan purnama
nanti purnama kali ke tiga
Malaysia tukar ketua negara

Monday, February 16, 2009

Tuhan Tidak Mungkir Janji



Setiap jalan ini
walau ke mana beloknya
walau di mana simpangnya
pasti menemui mati

Bukankah yang terbaik itu
adalah yang paling pasti?
Lalu yang sebaik-baik insan
adalah yang bersedia untuk mati

Lantas insan yang bahagia teruja
tidak sabar hendak bertemu Tuhannya
janganlah dihalang dia pergi
kerana di sanalah kebahagiaan abadi

Atas nama Tuhan
yang kepadaNya kita kembali
jika demikian telah disuratkan
sungguh Tuhan tidak memungkiri janji

Friday, February 13, 2009

My Angel Valentine

zwani.com myspace graphic comments


Oh my Angel how so I wish
that I could ask from you a gift
and that such gift in my heart shall shine
for you in my lifetime to be my Valentine
and unto me you give your love
and unto you by me be loved
but of such am I a person
who could not endure rejection
for I know that none shall share
and to none such love shall you spare
of the one love to him you give
and only from him the only love you live
so shall I foresake the beautiful dream
and let all your dreams flourished by him

Sayonara my Angel Valentine...

Saturday, January 10, 2009

Siapa Yang Diperangi?

Atas nama ketakutan
kita semai keberanian
dan atas keberanian
kita melunaskan dendam

Lalu dendam menjadi manisan
buat menawar dahaga
darah pekat yang membasah bumi
menjadi pembuka selera

Takutlah akan ketentuan Tuhan
apabila kita saling membunuh
Islamkah yang menjadi musuh
atau bangsa yang mereka cemuh?

Friday, January 02, 2009

Yang Pergi, Yang Menanti


Siapa sebenarnya
yang menghitung hari
yang akan pergi
atau yang menanti?

Satu kerusi
dah pasti kosong
yang satu lagi
belum tentu lopong

Bulan tiga
dah makin dekat
tiga bulan
dah rasa lambat

Selagi boleh
ambil segalanya
selagi boleh
samun semuanya

Kali Ini Kita Berjalan Gelap

Perjalanan kali ini
meniti malam pekat
berbekal cahaya pelita
berteman ribut gelora

Biar ke mana dipandang
legat jauh ke hadapan
toleh ke kiri dan kanan
entah apa yang bergentayangan

Kalau yang di hadapan itu menanti
aku usul bila tiba
kalau yang di hadapan itu merempuh
aku tahan selagi berdaya

Dan kalau yang di hadapan itu jurang
langkah ini biar perlahan
tapi yang pasti bukan cahaya
kerana sebegitu ia gelap-gelita

Monday, December 01, 2008

Kekasih Gelora Cinta

Kekasih
bahtera ini sudah berlayar jauh
dua belas tahun lautan ini ditempuh
pernah ombak beralun melonjak ketawa
pernah badai mengganas menyabung cinta
pernah terumbu karang mencabar sempadan bahtera
kita tempuh apa saja

Cinta
entah di mana dermaganya
entah bila berhentinya
mudah-mudahan nakhoda ini
berkemudi di haluan Nabi
menuju reda Ilahi

Gelora
bahtera yang dilambung taufan
lantas masih kekal haluan
dan tiada karam di perjalanan
demikian menjadikan bahtera cinta
semakin teguh menempuh gelora

Bahtera
biar ia dilanda taufan dan badai
biar ia di lautan tenang berbuai
sungguh jauh lebih baik
daripada tidak langsung diduga

Tuesday, November 25, 2008

Ajar

Tunggu sampai habis
dengar sambil tulis
itu cara belajar

Cakap segala semua
tunjuk segala cara
itu cara mengajar

Kalau silap sekali
perbetulkan sekali
periksa berkali-kali

Kalau betul sekali
lama-lama diperhati
ingat sampai mati

Pelajar itu insan
guru itu insan
kedua-duanya bukan Tuhan

Tuesday, October 21, 2008

Katamu


Masanya hampir tiba
dan ia menjadi rahsia
katamu
untuk menghindar luka


Masa untuk bahagia
dan mekar kelopak cinta
katamu
antara kau dan dia



Untuk kau dan dia
aku mengundur diri
kataku
untuk kebahagiaan abadi

Tuesday, October 14, 2008

Pelangi


Hujan membawa kedinginan di hati
lalu membeku setiap titis emosi
maka tinggal terkurung setiap rasa
membelingas mata menunggu masa

Teduhkan hujan lebat ini buat seketika
biarkanlah terpancar cahaya dari pelangi
agar dapat kupandang tunak ke langit
dan mengukirkan di bibir kering senyuman abadi

Duhai pelangi
berikanlah aku sedikit sinar warnamu
buat kuhias seluruh diriku
dan kuwarnai seluruh jiwaku
dengan warna-warna indahmu

Duhai sayang
sungguh takkan mungkin kau kusentuh
biarpun setiap gunung-ganang ini kurempuh
dan kau tak mungkin kumiliki
biarpun perjalanan hidupku nanti terhenti mati

Duhai warna-warna pelangi
kau tinggal sebagai warna-warni hidupku
yang selama ini kelabu
dan kau tinggal sebagai pelangiku
yang di kayangan sana menjadi ratu

Tuesday, September 16, 2008

Ramadan Akan Pergi

Langit malam sudah terang menyala
kerana dihiasi purnama
dan Ramadan separuh yang berlalu pergi
tak mungkin berganti

Lalu sudahkah dihitung amalan
sepanjang separuh bulan
dan sudahkan dihitung dosa
yang ditebus dengan pahala?

Sesungguhnya aku dalam kerugian
dan kerugian itu sangat nyata
andai Izrail datang bertandang
apakah yang bakal kubawa pulang
sedang Ramadan tahun ini
sudah terbentang menghampar peluang?

Monday, August 25, 2008

Takkan Sampai


Aku sangat mencintaimu
sehingga aku nyenyak lena
langsung aku lalai terlupa
untuk mencintai diriku

Dan benarlah cinta itu buta
kerana dalam gelap-gelita
sungguh tidak kusedar
kau sedang parah terluka

Lantas setiap darah yang menitis
dari torehan kejam jemariku
begitukah asbab kau menangis
menjadikan aku seorang pengemis

Sudah sampai sini, sayang
perjalananku terhenti
nyata tidak kesampaian

Tuesday, August 19, 2008

Sampai Sini

Yang selalu mendongak langit
Sering mukanya diberak burung
Yang tunduk memandang bumi
Jarang sekali jatuh tersandung

Monday, August 18, 2008

Namun...


Bila bulan telah lenyap di angkasa
dan bintang tidak bersinar lagi
mentari yang memancarkan seri pagi
pudar sinarnya ditelan nestapa


Lalu tinggalkan cahaya bulan dalam ingatan
buat teman sepanjang hayat
sungguh tiada yang tidak tersurat
melainkan padanya pasti ada hikmat






Maafkan aku dewi
walau aku teramat ingin memujamu
dan aku teramat ingin membelaimu
hingga aku kepingin benar mendakapmu
namun...

Namun...

Namun...

Sunday, August 17, 2008

Makin Jelas Lagi Nyata

ketemu dia
ketemu aku

pakai jamnya
tiada gelangku

balas pesannya
buang pesanku

itu semua
depan aku

syaitan yang mana
yang tidak menipu?

Saturday, August 16, 2008

Jelas Lagi Nyata

zwani.com myspace graphic comments

Sudah jelas lagi nyata
masanya sudah tiba
malah tempohnya sudah terlangkau lama
api yang dulu bermula dengan nyala
membakar rasa kasih dan cinta
akan dipadamkan gelita
hingga takkan bersisa bara
kebejatan rasa yang meracun jiwa
kebodohan akal yang menyendat kepala
kealpaan waras yang rindukan bahagia
kini kupindahkan kepadanya
cukup sudah menyiram sengsara
biar tamat sampai sini saja

zwani.com myspace graphic comments

Thursday, August 14, 2008

Masih Bertahan

Menanti dengan harapan
sambil di hati
masih bertahan

Melihat di dunia maya
sambil di hati
mengharap sapaan

Melawan kehendak membara
sambil di hati
memendam rasa

Biar aku kau ingati
bukan sebagai
orang yang pentingkan diri

Masih bertahan...

Wednesday, August 06, 2008

Menjemput Bahtera Kembali Berlabuh

Ada debaran dalam dada
menahan getar dahulu
yang lenyap sekian lama

Kufikir ia telah pergi jauh
di seberang laut berlabuh
sedang pelabuhan ini yang gersang
tinggal sepi semakin kontang

Bahtera belum lagi karam
di tengah samudera gelora
terlindung sebalik mega
ditelan sepi malam

Pelabuhan ini buatmu
dan hanya untukmu
belum ada bahtera berlabuh
belum ada yang melempar sauh

Hanya menanti kau berlabuh
kembali dalam dakapan
kembali dengan harapan

Friday, August 01, 2008

Langit Bersulam Sutera

Seandainya aku punya
langit bersulam sutera
dan mahligai
yang bertatah berlian permata
mungkinkah aku disanjung
dipuja sentiasa
disegani semua yang ada dalam dunia?

Namun walau ku tak punya
langit bersulam sutera
dan mahligaiku pun
tidak bertatah permata
aku tetap bersyukur
ke hadrat Maha Esa
kerana kudijadikanNya
sebagai manusia


~Lagu ciptaan: 1985~


Entri lama di sini

Wednesday, July 30, 2008

Wahai Kekasih Jelita

Selamat berbahagia
wahai kekasih jelita
tertutuplah sudah
sebahagian pintu dosa

Semoga dirahmati
wahai kekasih jelita
bersabar mengharung jalan berduri
yang membawamu ke pintu Firdausi

Selamat berbulan madu
wahai kekasih jelita
suburkan iman dalam zuriatmu
demi dunia dan akhiratmu






Semoga diberkati
wahai kekasih jelita
kita semua menuju mati
tiada yang terkecuali

Andai sekali lagi bergelora
wahai kekasih jelita
bahtera cinta biarkan karam
namun jangan imanmu turut tenggelam

Dan jangan kau pandang
mereka yang hanyut terlalai
sedang masih ada tangan yang menadah
mengharap untukmu rahmah dan barokah
lantas jangan kau hampakan mereka

Selamat berbahagia
wahai kekasih yang jelita
penuh rela...

Tak Dapat Nak Tolong

Apa agaknya yang berlaku
nun jauh di bawah sana
nampak ada ramai orang
masing-masing telanjang

Mereka mengerumuni sesuatu
nampak macam lombong
mungkin baru nak memperkosa
wanita malang dari Amerika

Kalau aku dapat terjun
dari pesawat yang laju ini
pasti aku akan terbang
dan membantu wanita malang

Tetapi aku takut tinggi
lagipun sedang dilayan pramugari
jadi kalau dia diperkosa
beruntung sajalah mereka

Friday, July 25, 2008

Ahah! Lah!

MUZAKARAH?
dah sudah
tapi tak tentu arah

MUQABALAH?
juga sudah
masih mencari arah

MUBAHALAH
yang ni belum
bila nak berlangsung?

Thursday, July 24, 2008

Bukan Jangan

Muqabalah

bukan berbalah
bukan juga muzakarah
bukan cari salah
bukan nak menyergah

jangan marah-marah
jangan bertelagah
jangan tabur fitnah
jangan tuju musibah

semuanya "bukan"
semuanya "jangan"
itu pun "bukan"
buat itu "jangan"

baik tak payah.

Wednesday, July 23, 2008

Nak Apa lagi?

Melampaunya dia
dah diberi tepak
dimintanya junjung

Sedar tak diri?
Diberi tumpang
hendakkan tanah
nak rasa pelempang?

Yang Si Buta Hati
nak kaya sorang
daripada pendatang
dimintanya sedepa
dapatnya sekangkang
dah tu
kuat pula temberang
konon nak gemilang

Yang Gila Kuasa
demam malam dan siang
kalau tak jaja bontot orang
jaja cerita sendiri telanjang

Monday, July 21, 2008

Pertemuan Sulit Kita

Kita kenal sudah lama
malah pernah bersenggama
dan pernah jatuh talak tiga
tapi baru-baru ini
kita menjalin cinta semula

Kita ketemu dalam sulit
bercerita tentang masa depan
yang masih tak ketentuan
dan kau hunus kerismu gagah
di bawah sinaran rembulan

Betapa kita karam dalam nikmat
betapa kita mengecap lazat
biar buah cinta kita bertunas
dan kita namakan dia...

....UMPAS....

Thursday, July 10, 2008

Daun

Aku ingin jadi daun-daun di pohon
agar kau dapat jadikan aku
tempat berteduh dari panas mentari
tempat berpayung dari butiran hujan
tetapi aku tak bisa melawan musim berganti
lalu aku gugur sehelai demi sehelai ke bumi
namun aku tetap mencurah bakti
di telapak kakimu aku menjadi permaidani
menahan dirimu dari tusukan duri
tatkala kau melangkah berhati-hati
mahupun berlari pantas mengejar mimpi
selagi pohon ini masih hidup
subur atas tanah yang kau baja
teguh atas bumi yang kau jaga
selagi kau mahu
selagi kau mahu
selagi kau mahu...

Friday, June 13, 2008

Boleh Percaya Ke?

"Aku takkan berkahwin lagi!"
dan kemudian
dia ganti bini

"Aku takkan naikkan harga!"
dan kemudian
semua orang papa-kedana

"Aku takkan buat pilihan raya!"
dan kemudian
Speaker Parlimen tak ada kerja

"Sampai hujung tahun ini
takkan naik harga lagi!"
dan kemudian...

Saturday, May 31, 2008

Batu

Mata putih
kerana Batu Puteh
tapi tak sedih

Sebab masih ada batu
yang lebih kematu
hanya satu

Dalam kepala dia
masih di sana
tak dengar kata

Thursday, May 29, 2008

Sebutir Bintang Supernova

Sebutir bintang itu
sudah lama mati
namun cahayanya
tetap menyinarkan seri

Sedang purnama megah
bintang itu menjadi teman
lalu setiap jari yang menuding
beralih haluan

Setiap sinar cahayanya
menjadi teladan dan pedoman
setiap percikan apinya
menjadi sempadan dan panduan

Sinar sebutir bintang mati
menjadi kemilau kepada yang insaf
sekadar perhiasan kepada yang alpa
bahawa setiap bintang
pasti melalui supernova
dan kepada Ilahi
setiap diri pasti kembali


Gambar dikebas tanpa minta izin dari Linolumixa

Wednesday, May 28, 2008

Rindu

Orang-orang tua
dalam sebuah kampung
di Pulau Pinang

Sedang rindu amat
pada Si Badut
yang sudah lama hilang

Rakan-rakan sarkas
yang lincah meloncat
semakin jadi bangang

Penonton sarkas
makin azamat bersorak
makin tambah malang

Dan orang-orang tua
rindukan Si badut
dari Pulau Pinang

Tepi! Tepi!

Berikan aku jalan
kerana laluan ini sempit
untuk mengisi badanmu

Berikan aku ruang
kerana bangku ini kecil
untuk menampung punggungmu

Berikan aku cangkat
supaya mereka dapat melihat
rias wajahku

Dan akan kuberikan engkau
tilam empuk dan bantal gebu
supaya kau tidak terus lena
di tengah-tengah laluanku
takut nanti kurempuh
dan kau tergolek
macam anjing
yang tak ada gigi
atau macam kera
yang baru belajar menaip.

Tepi!
Tepi!
Duduk di tepi!
Tidur di tepi!
Mati di tepi!
Mati!

Friday, May 16, 2008

Kepada Guru-Guru


Kepada guru-guru
yang dikasihi dan dihormati

Sungguh aku amat merindui
kaliber dan kebijaksanaanmu
kepimpinan dan bimbinganmu
ketegasan dan kelembutanmu
wawasan dan impianmu
pendirian dan ketulusanmu

Andai dibebani ke atas aku
apa yang dibebani ke atasmu
nescaya aku kan punah ranap
tenggelam meninggalkan debu

Andai ditimbang di dadaku ini
apa yang ada di dalam dadamu
nescaya aku kan terbang hilang
sedang kau membuahkan ladang

Kepada guru
yang dikasihi dan dihormati
ampunilah diriku ini
pada setiap lisan yang mencaci
pada setiap tulisan yang mengeji
sungguh kegagalanku memahami
adalah kegagalanku mempelajari
setiap titis ilmu yang kau beri.

Tuesday, May 13, 2008

Hari Ini

Hari ini
tiga puluh sembilan tahun dulu
Melayu dan Cina saling berseteru
dan darah tumpah
hingga bumi lencun basah

Hari ini
selepas tiga puluh sembilan tahun
aku masih panggil dia Cina
dia masih panggil aku Melayu
aku masih bercakap pelat dia
dia masih tak lancar berbahasa aku

Hari ini
selama tiga puluh sembilan tahun
sejarah hari ini
masih belum boleh dirai
dan antara kita
masih membara api

Monday, April 21, 2008

Peredaran


Suatu ketika dulu
Yap Ah Loy mendarat di sini
tatkala Melayu meneroka hutan belantara
Yap Ah Loy menerjah lumpur di muara

Terbina atas kasiterit mineral
dan kebanjiran peneroka harta
Kuala Lumpur yang berselut lumpur
berkembang menjadi lubuk harta
satu per satu jiwa dirantai
satu per satu gadis digapai
satu per satu teruna lalai
satu per satu iman terlerai

Di sini bermastautinnya
katak, cacing, siput dan kerang
dan procambarus clarkii
yang paling lasak antara cengkerang
berkongsi hidup dengan insan
berkongsi hidup dengan bangsawan
berkongsi hidup dengan hartawan
sama-sama didakap syaitan

Kalau di Haiti menjamah lumpur
Kuala Lumpur menyalut lumpur
makan hati sampai ke kubur
dalam kubur masih menggelupur
dalam tidur bising berdengkur
dalam longkang jiwa ditabur
dalam hotel kehormatan dilabur

Betapa sukarnya
di Kuala Lumpur
menyemai iman yang subur

Tuesday, April 08, 2008

Ipoh Mali

baru saja kembali
dari Ipoh
Ipoh mali?
Tidak lagi

masih penat
bukan melayan syahwat
jauh memandu
laju

penat bersemangat
bila aku tahu
semasa Pesta Buku
duit masuk lebat

so Bos?
aku tengah senyum ni
tolonglah suapkan nasi
ke perut kami

Friday, April 04, 2008

Budimu

Pertama
Kau buat aku kenal
tentang seorang anak Rembau
yang sebelum ini
kusangkakan orang pulau

Kedua
Kau membuka pintu
yang selama ini tertutup rapat
baru aku tahu
harta negara siapa yang dapat

Ketiga
Kau mencuci bersih
namanya yang dulu cemar
kini aku fikir
Dr. M sentiasa benar

Keempat
Kau jadikan bahasa
alat kedaulatan memujuk Melayu
kini anak-anak kita
masih tak faham makna “Thank You”

Kelima
Rembau ada jutawan Melayu
Hartaku adalah hartamu
Dr. M masih tetap nombor satu
Dan aku tak reti nak cakap “Thank you” untukmu

Thursday, April 03, 2008

Yang Seorang Di Sana

Ribuan kilometer
kau seorang
mendustakan harapan

Yang dekat di mata
ribuan perempuan
mengharapkan noda

Ratusan insan
berlumba-lumba ke sana
demimu seorang

Sedang di sini
ribuan perempuan
kunjung bertandang
di celah kangkang


Website Yusof Family.

Saturday, March 29, 2008

Pintu Besi Yang Berkarat

Pintu ini daripada besi
berat beban hendak membukanya
ketat pekat dengan karat
dinding seakan disadur melekat

Tapi kutolak terbuka dengan gagah
dengan jerih susah payah
dengan kudrat penat lelah
lalu semakin lama semakin ia terdedah

Tatkala ia hampir luas terbuka
telah melangkah pergi pula
tetamu yang menanti sekian lama
lalu karat sendi yang berkecai
sekadar habuk besi tak bernilai

Masih belum kukatup pintu ini
sedang dari jauh masih terlihat
langkah kaki yang pergi
semakin jauh ke kaki pelangi
mencari erti


p/s: Banyak kisah dan gambar yang menarik tentang pintu kat sini.

Sunday, March 23, 2008

Kau

Hadirlah ke mahligaiku
dengan kasih dan cinta
berhias senyuman mesra
dan tenungan yang menggoda
akan kuhidangkan buatmu
setia
buat bekal rasa
dan bahagia
buat penawar dahaga

Kau bukan puteri kayangan
yang bertakhta di awan
sekadar gadis idaman
yang pergi jauh
dan mewasiatkan kenangan

Tuesday, March 18, 2008

Khabar

Seiring kicauaun burung pagi
yang menyambut kehadiran mentari
ada khabar mengetuk pintu
membenihkan sendu yang ditenggelami rindu

Sekadar mengukirkan kembali
senyuman yang sudah lama mati
cukuplah buat perhiasan
hari-hari yang kepanasan

Bila mentari terbenam di tirai petang
rasa ini sudah bertunjang
cukuplah buat teman yang hilang
mengukir bahagia yang tetap dikenang...

Saturday, February 23, 2008

Aku Tahu Kau Tak Percaya

Aku tahu kau tak percaya
kalau kukatakan
sungguh aku masih ada rindu
dan masih ada cinta

Aku tahu kau tak percaya
walau dada ini setelus kaca
dan terlihat hatiku sendat
dengan wajah-wajahmu

Aku tahu kau tak percaya
dan aku sama sekali
takkan memaksa

Monday, January 21, 2008

Sinar Permata Merah

Permata merah
yang selama ini kelam
digenggam pekat malam
sepi kemilaunya
pudar serinya

Permata merah
yang terlepas dari genggaman
menempuh siang di awal zaman
bersinar cahayanya
berkilau pancarannya

Permata merah
kembali menghias alam maya
membelit jari manis teruna
yang kaya cinta
yang kaya bahagia

Monday, January 14, 2008

Hadiah

Tatkala kegembiraanmu menyerlah
mengimpikan nikmat sebagai hadiah
berkilauan seketul permata merah

Namun takdir menetapkan tulah
sesungguhnya permata yang beracun
amat manis perisanya
sentuhannya yang pertama
akan abadi mengalirkan bisa
menikam setiap rasa dengan seksa
menggigit luluh setiap saraf dengan azab
sedang kau masih bernafas tercungap-cungap
sinar cahayamu kan semakin malap
dan pintu liang lahadmu
semakin hampir mendakap

Sungguh
bagimu kala itu
sudah tiada jalan kembali
tatkala berlian yang di tangan
membakar jemarimu hingga melecurkan
permata merah yang kau sangka damai
adalah syaitan yang kau sangka tuhan
dan iblis yang dipujanya
adalah neraka bagi kalian!

Selamat hari jadi

Pengkhianat

Sebutir berlian biru
sekian lama kugenggam
cahayanya tak pernah kelam
sinarnya tak pernah kusam

Nyaris terlepas dari genggaman
tatkala mengejar pelangi
yang menyinar di titisan hujan
menyilaukan pandangan

Sebutir jed merah
kemilau menyinarkan seri
yang membawa setiap mimpi
hidup di dunia realiti
dan rupa-rupanya seri tu
masih sekadar pelangi

Dan sebutir jed merah
di sebalik seri zamrud
diam dalam sepi
memperkosa budi
meranapkan mimpi
berkecai menjadi candi
lalu membentuk nisan
sebagai hadiah hari jadi
sambil ketawa
ia menguburkan bahagia
abadi dalam derita

Dan sebutir berlian biru
masih belum menjadi cincin
membalut jemari
menyentuh di hati

Friday, January 11, 2008

Cemburuku

Tidakkah kau tahu
bahawa cemburuku
tanda sayang padamu?

Tidakkah kau tahu
bahawa aku mahu
kau hanya untukku?

Tidakkah kau tahu
bahawa telah sarat hatiku
dengan cinta kepadamu?

Atau mungkin sekali
yang lebih kau ingini
supaya aku tidak peduli
kepada siapa
kau serahkan hati
dan diri?

Sunday, January 06, 2008

Oh Bulan

Oh bulan
di pucuk kayu
purnama yang dirindu
menyemai sendu

Oh bulan
yang purnama
andai kau sudi
jatuh ke riba

Oh bulan
dari sini
kaulah cahaya
bukan mentari