Lena tidurmu kini
didakap cinta dan mimpi
sedang aku resah berjaga
ditemani sepi dan igauan ngeri
Bahagia hidupmu kini
dibelai impian kasihmu
sedang aku terus terbuang
mencari pelangi yang kian hilang
Demi Tuhan aku reda
atas sabar dan air mata
dan demi Tuhan aku rela
atas kurnia bahagia kepadanya...

Dulu
wajah paginya berukir sepi
pulang petangnya menadah lelah
lena malamnya sunyi berkisah
Kini
wajah paginya berhias seri
pulang petangnya dinanti indah
lena malamnya mencipta resah
Namun selamanya
selain dia yang dirias pelangi
masih ada yang lemas di taufan
sepi...
azab...
sengsara...
derita...
hidup bernafas kesal
lena sendirian kosong
mengidamkan mati dalam pilu
aku...

Duhai sahabat
betapa aku berharap
kau ada di sisiku
tatkala aku ketawa dan menangis pilu
Duhai sahabat
betapa aku mengimpikan
kau menyulam nada tawaku
dan menyapu titisan air mataku
Duhai sahabat
betapa aku dambakan
tanganku kau genggam
ketika aku hampir jatuh menjunam
Maafkan aku duhai sahabat
kerana aku tak pernah berkorban
untuk membayar keagungan dan pengorbanan
harga dan nilai persahabatan

Tidak mungkin
kutolak mentah kemaafan
andai ikhlas disulami keinsafan
Tidak mungkin
kubiarkan terus retak
jalinan suci kasih ibu dan anak
Dan takkan mungkin
kumampu mencipta alasan
untuk hidup dan mati sendirian

Apakah...
dosaku padamu
lantas kau toreh hatiku
hingga berdarah pilu?
Salahkah...
menghalang dirimu
dari terus hidup sengsara
agar kau boleh bahagia?
Mengapa...
kau kisar hidupku
semata-mata agar kau boleh
meneguhkan keras hatimu...?

Aku tahu
telah hancur hatimu
sebagaimana hancurnya hatiku
Izinkan kukutip
setiap keping hatimu
untuk kubasuh luka yang beku
Biar kucantum
setiap keping hatimu
biarpun masanya menelan usiaku
Agar kutahu
akan kembalilah bahagia
di dalam hatimu ia bertakhta
selamanya...

Aku...
hanya manusia biasa
yang tak jemu berusaha
memberimu cinta
yang luar biasa
Namun aku...
memang manusia biasa
yang amat tak sempurna
dan seringkali terlupa
betapa aku ini hina
Sungguh...
ini bukan mudah
nyata teramat payah
hanya kepadaMu ya Allah
aku pasrah berserah...

Tiada dosanya cinta
bagi mereka yang tahu
erti sepi dan rindu
yang sanggup berkorban
tanpa penat dan jemu
biarpun tidak dipandang
biarpun hina terbuang
Lantas...
jangan berputus asa
kerana tiada hidup
jika tiada cinta
dan tiadalah bahagia
jika tiada duka...

Sungguh diri amat hina
mengharap pada yang tak sudi
hingga hilang segalanya
Sungguh terasa amat sedih
tak dilayan dan dipeduli
sedang amat membara cinta
Sungguh diri amat keji
menanam harapan yang gelita
pada yang makin membenci
Dan aku tidak membencimu
namun aku amat benci diriku
kerana masih menyintaimu...

Dan sungguh ujian yang hebat
pabila Tuhan membuka ruang
untuk sebebas-bebasnya memilih
tanpa larangan dan halangan
sedang ketika itu
hati sudah bertaut kasih
walau bebas membuat pilihan
antara yang benci dan berkenan
tiada batasan
sungguh amat hebatnya ujian...

"Bila yang tertulis untukku
adalah yang terbaik untukmu"
namun takkan kumahu sama sekali
sekadar menjadikan itu semua
hanya sebagai kenangan terindah
kerana aku lebih mahu
"bila yang tertulis untukku
adalah yang terbaik untukmu"
untuk kujadikan itu semua
realiti yang indah
kebenaran yang nyata
kebahagiaan yang abadi
kenikmatan yang suci
tertulis bagi diriku dan zuriatku
terbaik bagi dirimu dan zuriatmu
abadi selama-lamanya...

Sedang...
Kau dibebani ribuan masalah
dan sebahagiannya adalah aku
Lalu...
Sampai masanya aku melangkah
buat mengurangi bebananmu
Moga...
Tiadanya aku sebagai musibah
bahagia kan menyerikan seluruh hidupmu

Sesungguhnya...
pabila dia yang layak kecundang
kau mudah biarkan menang
sedang kau yang berhak menang
kau mengalah dengan senang
Ketika itu...
nilai diriku ini bagimu
seakan tiada harga dan maruah
biarpun hanya sebesar zarah
bahkan dibuang umpama sampah
Tidakkah kau tahu...
yang berhak itu adalah kamu
yang layak itu adalah kamu
sedang dia tidak berhak
sedang dia tak lagi layak
Kupertaruhkan kepadamu...
harapanku yang menggunung
azab keperitan yang kuharung
sedang aku tercungap mendaki
kau hancurkan impianku di telapak kaki...

Perlukah begitu saja dipersiakan
segala kepahitan yang telah ditelan
segala keperitan yang ditempuh badan
segala azab yang menghiris perasaan
segala seksa yang menoreh fikiran
seakan semua yang dilalui itu
tiada harga walau sekecil debu?
Sungguh sangat mustahil
runtuhan deras titis hujan
atau pukulan hebat ribut dan taufan
boleh menerbitkan sinar pelangi
di langit malam yang kian sepi
Itulah ketentuanNya
khabar berita yang disampaikanNya
dalam pahit manis peristiwa
sebagai tanda-tanda amat bererti
untuk dimengerti dan difahami...

Dan aku rindukan...
kenakalan gayamu
kepetahan bicaramu
tawa jenakamu
dan apa jua
tentang kamu
sungguh aku rindu
teramat rindu padamu
Dan aku paling rindu
pada ungkapan cinta
dan kata-kata sayang
daripada kamu
untuk aku...

Jangan menyangka
di air tenang tiada buaya
sedang di sebalik ketenangan
bersembunyi kekejaman
Dan jangan dipuja
cantik jelita pada rupa
sedang di sebalik topeng keindahan
bermaharajalela wajah kehodohan
Lantas lontarkan kebodohanmu
kembalikan waras akalmu
pada yang terang lagi nyata
setelah Tuhan membuka hijabNya
Sungguh Allah Maha Adil
dan sama sekali tidak menganiaya
biarlah sepi sampai ke mati
biar sakit memamah diri
biar banjir caci dan maki
sungguh itu aku lebih rela
daripada dicampak ke neraka
akibat mati hati yang buta

Samakah mimpi cintaku ini
dengan mimpi cintamu
dan mahukah kau menawarnya
dengan realiti di jari manismu?
Lantas
aku tidak mungkin tidur lena
kerana telah aku sedari
sungguh realiti itu lebih bahagia
daripada sekadar mimpi cinta

Jangan biarku keseorangan
menyusur pasir pantai
hingga tiba di laut
lantas menahan ribut
nanti aku hanyut
tenggelam kelemasan
menggapai tempat berpaut
apa sahaja yang tergenggam
apa sahaja yang kucengkam
Jangan biarku keseorangan
kerana aku teramat takut
sesat dalam ribut
tenggelam dalam kalut

Apa sebenarnya sayang
yang menutup pintu hatimu
dan seluruh jiwa ragamu
daripada kehadiranku
dan keikhlasanku
cinta dan rinduku
kasih dan belaianku
ketulusanku
kemurnian hatiku
semuanya hanya untukmu
sekadar untuk menyirami
dengan cinta dan rindu
berkongsi tawa dan sendu
kekal berdiri di sisimu
hingga ke akhir hayatmu...?
Apa sebenarnya sayang...?

Sememangnya...
kau bukan
yang pertama
Tetapi pasti...
aku mahu kau
jadi yang terakhir
