Tuesday, May 19, 2009

Bukan Itu Tetapi Ini


Bukan Khatijah
tetapi Kathy

Bukan Salmah
tetapi Sally

Bukan Johan
tetapi Johnny

Bukan Mamat
tetapi Miki

Kusangkakan manusia Melayu saja
rupa-rupanya bukan
kerana bukannya 'Babi'
tetapi A(H1N1)
mengerti?

"Tak Melayu Hilang Di Dunia"


Dulu
berdaulat keris di tangan Melayu
Laksamana Hang Tuah bilang
"Tak Melayu hilang di dunia!"

Kemudian
dengan daulat keris Melayu
Hang Tuah bunuh Melayu Jebat
atas titah baginda
Sultan Melayu Melaka

Kini
Melayu Hang Tuah
pun hilang entah ke mana
dan Sultan Melayu Melaka
pun dah tak ada

Wednesday, May 13, 2009

Mereka Kata...


Mereka kata
empat puluh tahun masanya
buat diri bersiap
lantas sedia menempuh segala

Mereka kata
empat puluh tahun dulu
Melayu dan Cina berkelahi
lantas bersedia untuk mati

Aku kata
selepas empat puluh tahun
kita belum bersebati
antara kita masih membara api

Hari ini
masih ada yang lupa diri
dalam empat puluh tahun lagi
semua yang suka belacan dah mati
seorang pun tak berbaki

Friday, May 08, 2009

Ampunkanlah...


Mak...
aku tahu
andai aku buta
kau sanggup serahkan matamu
andai aku tuli
kau sanggup serahkan telingamu
andai aku mati
kau sanggup tebus dengan nyawamu

Mak...
bila aku beri permata
kau minta tapak tanganku
buat mengusap dahimu
Bila aku beri harta
kau minta aku bicara
buat penyejuk telingamu

Mak...
ampunkanlah dosa-dosaku
ampunkanlan caci makiku
ampunkanlah jegil mataku
ampunkanlah alpaku padamu
kerana aku tak lagi sanggup
mencemar suci darahmu
menyalit keji dagingku

Mak...
Anak derhaka ini rela sujud
sekiranya Tuhan mengizinkan...


SéLáMáT HáRí IBU

Saturday, May 02, 2009

Bukan Mereka Yang Mewah


Setiap titis peluh yang menitis
setiap gerak anggota yang mereput
setiap cebis kudrat yang diperah
mengalir bak lautan darah
menjunam ke lubuk mewah

Dan tinggallah mereka
yang berbantal lengan
yang bertilam rumput
yang berkelambu langit
yang berhidang pasir

Tulang-temulang ini
yang dibanting saban hari
diberi cuti sehari
dan rezeki yang dicari
menjadi hasil curi

Selamat hari pekerja
kepada mereka
yang berpenat-lelah
sedang bukan mereka
yang berakhir mewah

Monday, April 27, 2009

Sememangnya Bukan Yang Teratas

zwani.com myspace graphic comments

Sememangnya bukan yang teratas
dalam senarai cinta
lalu untuk apakah lagi
menjadi pengemis cinta?

Sememangnya bukan yang teratas
dalam senarai kasih
lalu akan apakah lagi
yang hendak ditagih?

Sememangnya bukan yang teratas
dalam senarai abadi
lalu akan apakah lagi
yang hendak dinanti?

Sememangnya bukan yang teratas
dalam senarai hatinya
lalu akan apakah lagi
yang kau harapkan daripadanya?

zwani.com myspace graphic comments

Wednesday, April 22, 2009

Jangan Biar Aku Kesal


Lalu selimutkanlah tubuhku
dengan hembusan nafasmu
agar hangat kulit yang terdedah
agar sembuh luka yang parah
lantas menggali dasar yang dangkal
biar terbenam hujung ke pangkal
dan pasakkan kakiku ke bumi
rantaikan anggotaku kanan dan kiri
justeru sekat hembus nafasku
kambus hingga kepalaku
jangan biar aku menyelami kesal
jangan tinggalkan aku menanti ajal

Siapa Bodoh?


Bodoh?
Sememangnya
apabila menyangka
masih ada sisa

Kesal?
Sudah berjuta kali
dan natijah kebodohan
mengikut sampai mati

Bijak?
Jangan terus alpa
celiklah mata
dari tidur yang lena

Buang?
Siapa yang sampah
siapa yang bersepah
siapa yang menyampah?

Wednesday, April 15, 2009

Jelinganmu


Jangan jeling padaku begitu
kalau kau tak mahu
mengandungkan zuriatku

Sememangnya jelinganmu
bisa buat aku kecundang
dan mampu buat kau telanjang

Jadi jangan jeling padaku
andai cadar yang berserabai
dan bantal yang terbarai
serta tilam yang bersepai
bukan tujuan asalmu

Menung Tiada Kasih Lagi


Menung
merenung kosong
dan diri terapung
di bawah mendung

Tiada
kata bersapa
bertukar bicara
dalam tidur dan jaga

Masih
dalam merintih
di situ ada benih
jangan bercambah kasih

Lagi
memujuk diri
biar disambut mati
jangan ada benci

Friday, March 27, 2009

Lembuku Aku Yang Jaga


Nanti aku akan mati
jangan sekali-kali kau lahirkan
lembu-lembu sebodoh dirimu
yang menyambung zuriat Melayu

Biarlah aku yang sebat
biar aku yang belasah
layan kau bak lembu pawah
atau kau mahu aku serahkan tali ini
ke tangan Rajoo dan Minachi
ke tangan Chan Yue dan Mee Yee?

Saturday, March 14, 2009

Pterocarpus indicus


Kalau ada sumur di ladang
Boleh kami menumpang mandi
Kalau sena gugur tumbang
Boleh kami berdemo lagi

Kerana pulut santan binasa
Kerana sena batu berkecai
Kerana mulut badan merana
Kerana raja rakyat bercerai

Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa hamba gantikan
Kalau tumbuh si pokok sena
Taukeh racun jadi jutawan

Kalau tuan mudik ke hulu
Belikan kami bunga kemboja
Kalau tuan pecahkan batu
Mesti tuan dah tak ada kerja

Friday, March 13, 2009

Walaweh! Sekolah Dah Cuti!

Sekolah dah start cuti seminggu
bapak dan mak dah siapkan kain baju
kereta di luar dah sedia menunggu
"Honey, it's time for our bulan madu!"
Tapi camne?

"Anak-anak yang buas tu semua
kita export dia orang balik ke desa
biar di sana dia orang panjat pokok
biar di sungai dia orang terjun tiruk
biar dia orang kejar lembu dan kambing
biar dia orang main di bendang berguling-guling
biar atok dan tok wan jadi cikgu disiplin

"Kita berdua balik ke Kuala Lumpur
sekarang baru kita boleh nyenyak tidur
dan rumah kita yang macam pasar ikan dulu
sekarang aman damai sejahtera seminggu!"

Horey...! Sekolah dah cuti...!!!
Mak bapak pula yang terover happy...!!!

Monday, March 09, 2009

Pagi Ini Hujan Turun


Pagi ini hujan turun rebas
tanda pintu langit terbuka luas
ada rahmat yang diturunkan
ada nikmat yang dikurniakan

Bahawa agar alam semesta ini sempurna
Allah menghantarmu untuk isi dunia
ada khabar yang gembira
ada khabar yang nestapa

12 Rabi’ul Awwal ini kembali
Subuh Isnin ini juga kembali
kejahilan ini juga kembali
tapi kau tetap pergi

Ya Rasulullah yang ke atasmu kesejahteraan
ke atas dirimu salawat dan rahmat Tuhan
titis air matamu membanjiri bumi
nasib umatmu hangus dijilat api

Dari singgahsanamu ya Rasulullah
perhatikanlah aku yang kian resah
inikah sunnahmu yang benar
itukah ajaranmu yang sebenar?

Pada manusia inikah ilmumu diperturunkan
atau insan itukah yang menyambung lisan
dan diakah yang harus kutaat
dan merekakah yang kuanggap sesat?

Yang bersalawat kepadamu di pagi hari
dan memaki hamun insan di petang hari
menjunjungmu di mata pedang
menjunjungmu di dalam perang

Yang tampak menafikanmu saban masa
tampak asuhanmu dalam amal dan bicara
tunduk pada yang memusuhi
tegar pada yang menyebelahi

Salawat dan salam kepadamu Ya Nabi
perhatikanlah aku yang menghampiri mati
aku mahu ikut jalanmu
aku mahu tuntut ilmumu

Salawat dan salam Ya Rasulullah
temanilah aku nanti di hadapan Allah
begitu banyak jalan kembali
semoga benar jalan yang ini.

~12 Rabi'ul Awwal 1430~

Wednesday, February 18, 2009

Purnama Baru Dua Kali


Tahun ni
baru dua kali bulan purnama
tapi purnama sudah gerhana
macam poket aku juga

Negeri Perak bertukar MB
artis lelaki bertukar bini
artis perempuan kahwin lari
artis janda masih mencari

ADUN Selangor heboh telanjang
Dewan Rakyat yang lintang-pukang
rakyat Selangor tercengang-cengang
SYABAS juga yang terus kenyang

Harga petrol dok naik turun
harga barang tak turun-turun
harga perempuan dok makin turun
anu jantan dah tak boleh turun

IJN nak kena beli
airport nak tambah lagi
bisnes minyak dok tambah rugi
sakit jantung orang kat Sime Darby

Tahun ni
baru dua kali bulan purnama
nanti purnama kali ke tiga
Malaysia tukar ketua negara

Monday, February 16, 2009

Tuhan Tidak Mungkir Janji



Setiap jalan ini
walau ke mana beloknya
walau di mana simpangnya
pasti menemui mati

Bukankah yang terbaik itu
adalah yang paling pasti?
Lalu yang sebaik-baik insan
adalah yang bersedia untuk mati

Lantas insan yang bahagia teruja
tidak sabar hendak bertemu Tuhannya
janganlah dihalang dia pergi
kerana di sanalah kebahagiaan abadi

Atas nama Tuhan
yang kepadaNya kita kembali
jika demikian telah disuratkan
sungguh Tuhan tidak memungkiri janji

Friday, February 13, 2009

My Angel Valentine

zwani.com myspace graphic comments


Oh my Angel how so I wish
that I could ask from you a gift
and that such gift in my heart shall shine
for you in my lifetime to be my Valentine
and unto me you give your love
and unto you by me be loved
but of such am I a person
who could not endure rejection
for I know that none shall share
and to none such love shall you spare
of the one love to him you give
and only from him the only love you live
so shall I foresake the beautiful dream
and let all your dreams flourished by him

Sayonara my Angel Valentine...

Saturday, January 10, 2009

Siapa Yang Diperangi?

Atas nama ketakutan
kita semai keberanian
dan atas keberanian
kita melunaskan dendam

Lalu dendam menjadi manisan
buat menawar dahaga
darah pekat yang membasah bumi
menjadi pembuka selera

Takutlah akan ketentuan Tuhan
apabila kita saling membunuh
Islamkah yang menjadi musuh
atau bangsa yang mereka cemuh?

Friday, January 02, 2009

Yang Pergi, Yang Menanti


Siapa sebenarnya
yang menghitung hari
yang akan pergi
atau yang menanti?

Satu kerusi
dah pasti kosong
yang satu lagi
belum tentu lopong

Bulan tiga
dah makin dekat
tiga bulan
dah rasa lambat

Selagi boleh
ambil segalanya
selagi boleh
samun semuanya

Kali Ini Kita Berjalan Gelap

Perjalanan kali ini
meniti malam pekat
berbekal cahaya pelita
berteman ribut gelora

Biar ke mana dipandang
legat jauh ke hadapan
toleh ke kiri dan kanan
entah apa yang bergentayangan

Kalau yang di hadapan itu menanti
aku usul bila tiba
kalau yang di hadapan itu merempuh
aku tahan selagi berdaya

Dan kalau yang di hadapan itu jurang
langkah ini biar perlahan
tapi yang pasti bukan cahaya
kerana sebegitu ia gelap-gelita