Monday, July 26, 2004

Semakin Jauh

Tanyakan dalam tidur dan jaga
masihkah ada kasih dan rindu
biarpun setitis cuma

Ada bisikan menyapa hati
semakin sayup kedengarannya
semakin jauh langkahnya
bakal hilangkah di sebalik mimpi?

Derap langkah ini
semakin perlahan menyarut bumi
mungkin akan menghempaskan tubuh
di tanah gersang yang berdebu

Tatkala mentari masih menyinar
mimpi terus berligar
menghias lena yang takkan sedar

Saturday, July 24, 2004

Perjalanan

Sedang dalam perjalanan
mencari perhentian
hanya sendirian

Mungkin bermusafir
sampai titis akhir
dalam kemarau dan banjir

Mungkinkah akhirnya ketemu
permata nikmat di tasik madu
yang kian dirindu?

Masihkah Seperti Dulu

Masihkah seperti dulu
bila tempoh memisahkan
dalam jarak yang keterlaluan

Masihkah seperti dulu
bila bicara menjadi singkat
salam dan khabar tidak berikat

Masihkah seperti dulu
bila yang lain mengisi hati
menghibur duka meneman diri

Masihkan ada aku
di cebisan kecil hatimu
pabila hadir rindu?

Thursday, July 22, 2004

Dari Jauh

Jauhnya perjalanan ini
tak sejauh yang kurasakan
rindu di hati

Panjangnya masa penantian
tak sepanjang yang kupanjatkan
doa dan harapan

Sepinya malam mengganti hari
tak sesepi yang kupasrahkan
Tanpamu di sisi

Agungnya cinta Uda dan Dara
tak seagung yang kukorbankan
Cintaku padanya

Wednesday, July 21, 2004

Aku Rindu Teramat Padamu

Ingin kukhabarkan kepadamu bisikan ini
Yang semakin subur disiram rindu
Sungguh pada kejauhan yang memeritkan
Aku rindu teramat padamu

Lagukan melodi yang mengalun di hati
Dalam irama yang menyentuh hatimu
Mengiringi sendu dan sebak bersebati
Aku rindu teramat padamu

Sambutlah sentuhan yang dihulur ikhlas
Untuk menghangatkan kasih yang membakar
Agar bersemadi setiap cebis kenangan
Yang ingin kurangkai menjadi rantai
Lalu kusarungkan ke lehermu
Biar kemilau kasih dan rindu
Abadi ke akhir waktu

Sungguh
Aku rindu teramat padamu...

Monday, July 19, 2004

Malamku Kini

Gelap yang menyelimuti buana
Tiada bezanya di sana mahupun di sini
Kecuali engkau

Dering dan getar telefon di meja
Di saat ini seakan sudah terkubur mati
Tiada pesanan yang dihantar mahupun diterima
Seperti kau sudah tiada lagi di sisi

Lunak suaramu yang berbisik di telingaku
Setiap kali kau berbicara di talian
Melafazkan rindu dan sayangmu
Sehingga aku terlena kesiangan
Kini tidak lagi kedengaran

Malam yang sering ditemani belaianmu
Biar sekadar dalam pesanan
Seakan dapat kurasakan

Masih dalam rindu dan rasa
Halus jemarimu di dadaku
Lembut usapanmu di rambutku
Basah bibirmu di bibirku
Kedap rangkulanmu di leherku
Hangat tubuhmu menyelimut tubuhku
Lena tidurmu di sisi tidurku
Jauh mimpimu menemani mimpiku
Gelap malammu digenggam malamku...

Bisakah aku bayangkan
Dan sudikah kau merelakan
Seakannya kau masih di sisiku
Dan kita saling rindu berpelukan...?

Monday, June 21, 2004

Merpati Yang Dipuja

Sayap suteramu masih bertebar
Di langit biru mengejar pelangi
Dan beras yang kugenggam
Kini hampir menjadi nasi

Sesekali kau menjunam ke bumi
Lalu naik semula semakin tinggi
Sebentar tadi kau nyaris hinggap
Dan dalam sedetik kehidupan terhenti

Merpati yang di hati tetap dipuja
Terbanglah kau bebas di angkasa
Sarang bertatah permata yang kubina
Tetap menantimu di sini penuh setia

Tiada siapa yang mengetahui
Sangkar di hati ini telah kau isi
Walau kau tetap terbang bebas saujana
Di sangkar ini kau sentuh dengan cinta

Tuesday, June 15, 2004

Kau Gadisku

Kirimkan hati ini
Antara jalan berduri
Utusan sepi

Gagahi semangatku
Astana mimpi berdebu
Debar di kalbu
Impian bertemu
Suci sebersih salju
Kepada fantasi dirimu
Untuk kenangan abadiku

Tuesday, June 08, 2004

Aspirasi

Perlukah jasad disentuh jejari
Untuk mengenal hati dan budi
Perahu nelayan dilepas tali
Masin laut hendak diuji?

Mungkin sekadar bertukar bicara
Di alam maya yang tanpa rupa
Sekadar wajah yang dibayangi kata
Siratan makna sekadar diteka

Pastinya hasrat tidakkan sampai
Impian masih sekadar digapai
Selangkah lagi tak mungkin dicapai
Harus disandung onak dan denai

Tegar semangatku masih perkasa
Tersandung kaki melangkah juga
Biar berkirai bebat bahtera
Tidakkan hanyut tanpa samudera

Andai takdir menentukan
Samudera bertandang dijemput taufan
Bahtera hanyut ditelan lautan
Di pantai melandai tersungkurlah nelayan

Hanya pada ketika itu
Baru berakhirnya langkahku

Tuesday, June 01, 2004

Merpati Bersayap Sutera

Merpati yang menggapai pelangi impian
Menyusur angin melebarkan sayap
Walau di telapak tangan dihampar kayangan
Ditabur beras segenggam dikedap
Sedetik pun jua tidak dihinggap

Gunung yang didaki mencari sarang
Semakin payah hendak didakap
Hampir pasti bertemu kecundang
Hampir yakin menelan azab
Dan sudah pasti menjadi sejarah
Bakal hitam dibakar air mata berdarah

Gugurlah kelopak yang baru disemai
Nyaris bertunas belum tercapai
Mati dilanda kemarau yang tegar
Kering kontang hancur terdampar
Di pantai emosi yang semakin menggusar

Suara yang ingin dihamburkan ke buana
Seringkali tersandung di lipatan jiwa
Terlambat sedetik seumur hidup menderita

Itulah takdir yang telah tersurat
Merpati di langit sekadar dilihat
Dipuja umpama melepas bidadari syurga
Terus menebar sayap sutera

Terbanglah pergi ke syurgamu
Sesungguhnya diredai pemergianmu

Friday, May 28, 2004

Pelawaan Hati

Mahukah kau menjadi purnama
Di langit malam menyinar cahaya
Memimpin haluan pada yang gelita
Menyemai rindu di hati yang kelana

Atau kau sudi menjadi mentari
Membangunkan insan dari igauan dan mimpi
Membanjirkan laman dengan selaut rezeki
Menyemarakkan hangat yang berselimut api

Mungkin kau rela menjadi samudera
Menghanyutkan rasa yang pijar membara
Mendamparkan kecewa di pantai melata
Sehingga kontang kederat upaya

Tidakkah mahu menjadi puteri
Bertakhta utuh di singgahsana hati
Dibaluti sutera dipagari duri
Di mahligai permata menjadi nurani

Perkhabaran untuk hati
Bahagiakan sanubari

Monday, February 16, 2004

Bila Rindu

Bila rindu
Kupejam mata mengenangmu
Membayangkan kau di sisiku
Terubatlah rindu di kalbu

Bila rindu
Kuhulur tangan menyambutmu
Membayangkan kau datang padaku
Mengusir rindu di kalbu

Malam-malam
Mimpi menghiasi
Dirimu dalam imaginasi
Biar impi dan realiti mengisi
Khayal
Lamunan
Dan angan-angan
Dirimu

Thursday, April 26, 2001

Percayalah

Percayalah
Walau sezarah pun tidak terlintas
Untuk mencambahkan rasa
Sebuana kasih bersaudara
Bukan itu yang dipinta

Percayalah
Mengukir luka berdarah di hati
Disimpang jauh sekali
Berhembus khabar perihal hati
Bukan dari mulut ini

Percayalah
Meracun mati kelopak rasa
Hampir kontang kudrat upaya
Bergadai jiwa bercincang raga
Demi menghantar rasa ke pusara

Percayalah
Luluh sutera berganti kertas
Mengurung rasa menampan bebas
Pecah ruyung bertabur sagunya
Namun kering kudrat bergadai noda

Percayalah…

Sunday, April 22, 2001

Luntur

Kuning tugu itu luntur dimamah hujan
Ternampak lapis karatnya
Berserpih danur berdebu dugal

Pagar yang makan padi bersemai
Ditempel serindit pulang senja
Mati dihempap rezeki terlarangnya

Jijiknya hati nurani ini
Memincang senyum berpancing senyum
Mencantas tawa berumpan tawa
Memancung peri berjoran peri

Sementelah dikenali
Dipancung mati tidak
Dicincang azab tidak
Dipijak-pijak tidak sekali-kali

Bagai diri ini
Umpama najis khinzir segumpal di kaki
Justeru sebegitu hina sekali

Saturday, April 21, 2001

Kesali Pertemuan Ini

Kesali pertemuan ini
Kerana bersamanya datang hakisan
Yang melunturkan tugu kesetiaan
Terbina begitu lama dari jerih kepedihan

Kesali pertemuan ini
Datang menyemai benih kasih dan cinta
Lalu di hati melakar torehan luka
Tiap kali di hamparan sua dan bicara

Kesali pertemuan ini
Di paksaan rela menurut ke mana pun pergi
Mencuri cebisan babak mimpi-mimpi
Merobohkan setia berderai menjadi candi

Runtunan kasih murni yang terbit tulus
Bercambah menyuburi taman kudus
Fahamilah peri ini yang kian pupus
Demi meracun kelopak yang mulus

Tiada kebencian pada pertemuan ini
Sekadar sesalan tidak bersudi
Kekosongan itu isikanlah
Untuk mendidik erti pasrah
Agar dirimu dan hatiku tidak berdarah

Fahamilah
Takdir ini bukan kemahuan

Friday, December 17, 1999

Perjuangan Yang Belum Terlerai

Perjuangan yang belum terlerai
Diiringi darah dan air mata berderai
Mengiringi mujahid yang mengukir senyum damai
Ummah yang bercerai dicantum serangkai

Kalimat tauhid yang berkumandang
menggetus tangkai hati kecundang
menyemarakkan jiwa yang menang
menjadi panji ummat yang berjuang

Kecundang mustahil bagi perjuangan ini
Dalam menuntut janji yang tidakkan dimungkiri
Kalau pulangnya hidup maka tertegaklah panji-panji
Kalau pulangnya mati
Akan disambut dakapan Ilahi

Tiada manusia akan membalas jasamu
Tiada makhluk yang mengenang baktimu
Sekadar Allah menyanjung pundakmu
Jawablah… tidak memadaikah itu?

Pulangmu bersambut syariat yang megah
Gugurmu diiring kalimat berdarah
Yang tinggal kami yang masih gagah
Menyambut senjatamu dengan nama Allah!

Allaahu akbar!

Saturday, January 30, 1999

Hidup Yang Mati

Barangkali
Kejahilan budaya
Telah menghakis budi

Barangkali
Kejahilan bahasa
Telah memudar pekerti

Barangkali
Kejahilan timbangrasa
Telah menggentas hemah

Yang pasti
Kejahilan agama
Telah menjadikan yang hidup mati

Friday, January 08, 1999

Kecundang

Barangkali dunia telah berputar songsang
bila kupenuhi 1 hari bertadarus mengaji
sedang 364 hari lagi menyanyi menari
insan-insan dijunjung mulia kerana dosa
dan dipijak terhina kerana pahala
anjing kucing berpayung di mahligai impian
dan pengemis beradu di tepian longkang jalanan
baju si anak bertompok dengan corak gincu si jalang
dan ibunya membongkok menyental ditemani sepak terajang

Wednesday, December 23, 1998

Kecundang

Sinar panjut hilang ke mana
Sorak sorai lenyap mengapa
Tawa riang bergema tiada
Aidilfitri seolah tidak bernyawa

Sudah hilangkah kemeriahan
Ghaib di perahu kesempitan
Sudah pudarkah kepuasan
Padam di layar zaman

Manakan ada kemeriahan
Sedang tiada kemenangan
Manakan ada kepuasan
Sedang tiada kesedaran

Sunday, December 13, 1998

Syura

Apakah terlaksana perbuatan
Yang padanya dimaktubkan kewajipan
Oleh orang yang tiada kemampuan?

Apakah dikenalpasti orangnya
Pada kemampuannya ada atau tiada
Jika tuanpunya diri tidak ditanya?

Kalau hampas dibuangkan pergi
Mengapa disimpan tanpa tujuan?