Thursday, April 22, 1993

Siratan Hati

Kau yang sudah sepuluh tahun kukejar
Kini menjelma di pandangan nurani
Ketibaan warkah mengejutmu tempoh hari
Benar-benar membungakan kembali
Kelopak cinta yang tanah tumbuhnya
Dibajai oleh imaginasi rindu

Adakah kau tidak mengerti
Sesungguhnya kasihku umpama bahtera usang
Di dermaga asing yang kering-kontang
Maka curahilah hujan cintamu
Banjiri dermaga ini
Walaupun aku akan karam kerananya

Tetapi suratan hati sekadar tersirat di bibir
Menyatakan ungkapan ini aku tidak bisa
Aku perlu waktu
Tetapi waktu itu merugikan
Lalu aku terus terdampar.


~Nostalgia Seberang~

Tuesday, February 16, 1993

Mawar dan Mentari

Tatkala matahari senja hampir tenggelam
Sementara malam menyelimut mega
Mimpi indah menjadi igauan
Sepanjang malam

Pada hari esoknya musim bunga mendatang
Bersamanya keharuman dan keindahan saujana
Sebutir benih mawar merah disemai
Tidak tersemai

Mentari dinihari yang ingin menyinar
Mewarnakan bumi dengan cahaya benderang
Menyuburkan setiap benih tersemai
Menumbuhkan mawar merah mekar
Tidak mekar

Malam mendatang seolah terkejut
Benih mawar hanyut ditelan bumi
Mentari senja tenggelam ditelan malam hari…


~Nostalgia Seberang~

Wednesday, May 13, 1992

Aku Ingin Jadi Seketul Batu

Aku ingin jadi seketul batu
Di dasar sungai dingin membeku
Dibelai arus sungai berlalu
Lembut seakan membelai diriku

Di dasar sungai ini aku akan bersendirian
Tidak disakiti dan tidak menyakitkan
Dan aku gembira sendiri melayarkan angan-angan
Kononnya aku seketul berlian

Di sinilah aku bermastautin selamanya
Saban hari arus mesra sungai ini menyapa
Sambil mengulitiku penuh manja
Seolah didakap belaian kasih dan cinta

Dasar sungai ini adalah duniaku
Arus sungai ini adalah kekasihku
Biarpun tiada ikan berenang menemaniku
Aku tidak sunyi kerana kesunyian itu duniaku

Biar begini selama-lamanya
Menjadi seketul batu yang kaku di dasar sungai ini... aku rela
Bagiku duniaku penuh cinta
Yang tidak berhenti walau seketika

Wahai arus sungai berlalu
Berjanjilah yang kau akan setia padaku
Dan akan membelai diriku setiap waktu
Kerana aku tahu padamu aku tidak ragu-ragu

Aku ingin jadi seketul batu
Oleh arus sungai ditemani selalu
Dibelai dimanja dinyanyikan merdu
Lalu terukirlah gembira ditubuhku

Semoga kemarau panjang tidak tiba
Bersama cemburunya menghancurkan cinta kita
Seandainya kemarau tiba jua
Aku akan terdampar kontang
Dalam penantianku untuk kau kembali datang

Thursday, October 31, 1991

Antara Abjad

Apakah tidak bulan mengerti
Kala bintang-bintang menyinar seri
Ufuk timur di sebalik kejora bersembunyi?

Seandai engkau bisa nampak dan mengerti
Antara ikrar dan sabda dari naluri
Yang terukir di ambang penglihatanmu kini
Ada azimat yang berkalimat penuh erti
Naluri datang asalnya ikhlas dan murni
Gegar dan gempita akibatnya bagi setiap hati

Pada ikrar sabda kata-kata
Ada terselit jutaan rahsia
Di celahan abjad dan huruf yang melata
Ada tersimpan maknanya
Maka terokailah
Untuk terakhir kalinya…


~Nostalgia Seberang~

Tuesday, October 29, 1991

Aku Rindu

Bergetaran naluri menggetar jiwa
Dan luruhlah perasaan pecah bertaburan
Hendak kukutip teramat payah
Tiap kepingan itu akan bercantum nanti
Dan selamanya boleh….
Aku rindu

Bisikan halus itu kudengar pilu
Dan tertusuk alunan menyiat hati
Dan meredah ke rongga dada yang sesak
Dan terkadang seolah kosong
Seolah kumahu lepaskan pendaman
Tapi tidak boleh….
Aku rindu

Aku hempaskan devosi ini ke emosi
Dan emosi ini kuhancurkan
Dan bertakhtalah bisikan itu
Sayup kedengaran…
Aku rindu


~Nostalgia Seberang~

Wednesday, October 23, 1991

Pantun Mantoi II

Dulang tembaga berlapis utera
Berisi permata kilauan berseri
Kasih dahaga cinta membara
Menumpang hamba belas saudari

Bunga melati kembang setangkai
Harum baunya serata negeri
Hatiku ini kosong terlandai
Penawar kasih cinta saudari

Mekar seroja di tepi permatang
Mekar kemboja di atas pusara
Mekar cinta di hati berkembang
Mekar rindu jauh di mata

Kenari berlagu di awan larat
Irama perindu menggusar jiwa
Jauh diriku di rantau melarat
Namun cintaku di hati beraja

Bunga selasih harum bermadu
Jatuh melata terbelah dua
Adat berkasih biar merindu
Pantang bercinta jangan mendua


~Nostalgia Seberang~

Thursday, October 17, 1991

Pantun Mantoi

Buah duku buah kedondong
Masak ranum di dahan rapuh
Kasih kubelai cinta kugendong
Walau payah dihamun runtuh

Angin semalam membawa khabar
Di lautan madu terdampar berita
Biar musnah bumi bergegar
Tidakkan retak si bunga cinta

Bunga kemboja jatuh bertindan
Semarak haruman memagar seri
Cinta kubaja kasih kutandan
Rindu kupancang di taman hati

Tangkai selasih jatuh beradu
Kembang melata menghias cemara
Haruman kasih kusiramkan madu
Mekarnya cinta kubajakan mesra


~Nostalgia Seberang~

Kau Adalah Mawar

Jadilah kau sekuntum mawar
Aku akan menjadi tangkainya
Menampung dan menjunjungmu kukuh
Dan kupastikan kau suci terpelihara
Dengan deduri tubuhku yang bisa
Dari tangan-tangan hitam
Yang diselaputi noda dan dosa

Tenteramlah kau hai mawarku
Kerana kan kupanggilkan
Dedaunan hijau sebagai tenteraku
Yang memayungimu dari terikan mentari
Dan runtuhan air hujan

Dan aku akan terus menjunjungmu
Laksana hamba sahaya
Menjunjung puterinya di panca persada
Kerana kau adalah mawar
Dan aku tangkainya…


~Nostalgia Seberang~