Sunday, July 14, 2013

Kurniakanlah

Ya Allah ya Rahmaan
Demi rahmat Ramadan ini maka kurniakanlah aku
MATA yang hanya melihat KEINDAHAN insan
HATI yang memaafkan segala PENGANIAYAAN
FIKIRAN yang melupakan segala KEJAHATAN
dan JIWA yang tetap atas KEIMANAN kepadaMu

Ya Allah ya Rahmaan
jangan izinkan aku mati sebegini
dalam kesesatan yang abadi
cabutlah nyawaku sedang aku beriman
dan kutinggalkan dalam jagaanMu Ilahi

mereka yang comel yang amat kukasihi

Saturday, June 22, 2013

Purnama Sepi 2

Ada purnama malam ini
yang menyinarkan cahaya seri
namun tidak seperti selalu
malam ini purnama sendu

Ada purnama di langit malam
di mata ini sinarnya kelam
tiada lagi bintang menemani
purnama kini sepi sendiri

Ada purnama di atas sana
yang bersinar untuk dunia
untuk dia menikmati bahagia
supaya aku ditenggelami derita
dan hasrat hatiku yang mengukir janji
dibunuh mati tanpa peduli
demi pelangi yang telah ditemui
buat dirinya sendiri...

Purnama Sepi

Ada purnama malam ini
yang menyinarkan cahaya seri
namun tidak seperti selalu
malam ini purnama sendu

Ada purnama di langit malam
di mata ini sinarnya kelam
tiada bintang yang menemani
malam ini purnama sepi

Ada purnama di atas sana
yang bersinar untuk dunia
untuk dia menjadi bahagia
untuk aku menjadi derita

Friday, June 21, 2013

Patutlah...

Patutlah...
dibuang aku umpama sampah
demi kembalinya bahagia
dan perginya derita

Patutlah...
sibuk benar menjelang malam
demi di sisinya ada bahagia
walaupun tahu aku derita

Patutlah...
tiada kisah tiada peduli
tak perlu mengadu hati
kerana tiada derita lagi

Patutlah...
setiap keikhlasan yang ingin kuhulur
di matamu amat jijik berdanur
dibuang mentah bak bangkai tak berkubur

Patutlah...
berkerat rotan berpatah arang
walau kumati terbongkang
atau tersadai di dasar jurang
takkan ada padanya derita
kerana sudah kembalinya bahagia

Patutlah...
empat purnama sakit bertandang
empat purnama tak bisa tidur
empat purnama gelisah menghimpit
empat purnama mengharap mati

Patutlah...
konon lega meluah penghargaan
pada insan yang berbudi dan berkorban
mungkin mengharap ungkapan indahnya
boleh menawar bisa racunnya

Terima kasih...
atas penghargaan dan balasan sucimu
dan kebahagiaan yang disembunyikan
doakan saja untukku kematian
sebagaimana yang sangat kau harapkan
mudah-mudahan aman hidupmu
mudah-mudahan bahagia hatimu
mudah-mudahan tenteram jiwamu
mudah-mudahan makbul doamu
maka doakanlah mati untukku
Demi Tuhan itulah yang terbaik
buat kau dan aku...

Monday, June 17, 2013

Nyata

Pernah ada harapan
ikhlas melepasi awan
kehadiran insan baru
daripada aku
untuk aku

Namun hadirnya
bukan daripada aku
bukan untuk aku

Masih doaku
segunung bahagia
sedunia sejahtera
buat mereka

Monday, May 20, 2013

Reda

Lena tidurmu kini
didakap cinta dan mimpi
sedang aku resah berjaga
ditemani sepi dan igauan ngeri

Bahagia hidupmu kini
dibelai impian kasihmu
sedang aku terus terbuang
mencari pelangi yang kian hilang

Demi Tuhan aku reda
atas sabar dan air mata
dan demi Tuhan aku rela
atas kurnia bahagia kepadanya...

Thursday, May 16, 2013

Jangan Ganggu Dia Lagi

Dulu
wajah paginya berukir sepi
pulang petangnya menadah lelah
lena malamnya sunyi berkisah

Kini
wajah paginya berhias seri
pulang petangnya dinanti indah
lena malamnya mencipta resah

Namun selamanya
selain dia yang dirias pelangi
masih ada yang lemas di taufan
sepi...
azab...
sengsara...
derita...
hidup bernafas kesal
lena sendirian kosong
mengidamkan mati dalam pilu
aku...

Tuesday, May 14, 2013

Duhai Sahabat


Duhai sahabat
betapa aku berharap
kau ada di sisiku
tatkala aku ketawa dan menangis pilu

Duhai sahabat
betapa aku mengimpikan
kau menyulam nada tawaku
dan menyapu titisan air mataku

Duhai sahabat
betapa aku dambakan
tanganku kau genggam
ketika aku hampir jatuh menjunam

Maafkan aku duhai sahabat
kerana aku tak pernah berkorban
untuk membayar keagungan dan pengorbanan
harga dan nilai persahabatan

Monday, May 13, 2013

Tidak Mungkin

Tidak mungkin
kutolak mentah kemaafan
andai ikhlas disulami keinsafan

Tidak mungkin
kubiarkan terus retak
jalinan suci kasih ibu dan anak

Dan takkan mungkin
kumampu mencipta alasan
untuk hidup dan mati sendirian

Sunday, April 07, 2013

Mengapa?

Apakah...
dosaku padamu
lantas kau toreh hatiku
hingga berdarah pilu?

Salahkah...
menghalang dirimu
dari terus hidup sengsara
agar kau boleh bahagia?

Mengapa...
kau kisar hidupku
semata-mata agar kau boleh
meneguhkan keras hatimu...?

Sunday, March 24, 2013

Hati

Aku tahu
telah hancur hatimu
sebagaimana hancurnya hatiku

Izinkan kukutip
setiap keping hatimu
untuk kubasuh luka yang beku

Biar kucantum
setiap keping hatimu
biarpun masanya menelan usiaku

Agar kutahu
akan kembalilah bahagia
di dalam hatimu ia bertakhta
selamanya...

Sunday, March 10, 2013

Untukmu Cinta Luar Biasa

Aku...
hanya manusia biasa
yang tak jemu berusaha
memberimu cinta
yang luar biasa

Namun aku...
memang manusia biasa
yang amat tak sempurna
dan seringkali terlupa
betapa aku ini hina

Sungguh...
ini bukan mudah
nyata teramat payah
hanya kepadaMu ya Allah
aku pasrah berserah...

Monday, February 25, 2013

Jangan Putus Asa Dengan Cinta

Tiada dosanya cinta
bagi mereka yang tahu
erti sepi dan rindu
yang sanggup berkorban
tanpa penat dan jemu
biarpun tidak dipandang
biarpun hina terbuang

Lantas...
jangan berputus asa
kerana tiada hidup
jika tiada cinta
dan tiadalah bahagia
jika tiada duka...

Sunday, February 24, 2013

Penghinaan

Sungguh diri amat hina
mengharap pada yang tak sudi
hingga hilang segalanya

Sungguh terasa amat sedih
tak dilayan dan dipeduli
sedang amat membara cinta

Sungguh diri amat keji
menanam harapan yang gelita
pada yang makin membenci

Dan aku tidak membencimu
namun aku amat benci diriku
kerana masih menyintaimu...

Tuesday, February 12, 2013

Ujian

Dan sungguh ujian yang hebat
pabila Tuhan membuka ruang
untuk sebebas-bebasnya memilih
tanpa larangan dan halangan
sedang ketika itu
hati sudah bertaut kasih
walau bebas membuat pilihan
antara yang benci dan berkenan
tiada batasan
sungguh amat hebatnya ujian...

Tuesday, January 22, 2013

Kenyataan Terindah

"Bila yang tertulis untukku
adalah yang terbaik untukmu
"
namun takkan kumahu sama sekali
sekadar menjadikan itu semua
hanya sebagai kenangan terindah
kerana aku lebih mahu
"bila yang tertulis untukku
adalah yang terbaik untukmu
"
untuk kujadikan itu semua
realiti yang indah
kebenaran yang nyata
kebahagiaan yang abadi
kenikmatan yang suci
tertulis bagi diriku dan zuriatku
terbaik bagi dirimu dan zuriatmu
abadi selama-lamanya...

Thursday, January 17, 2013

Sampai Masa

Sedang...
Kau dibebani ribuan masalah
dan sebahagiannya adalah aku

Lalu...
Sampai masanya aku melangkah
buat mengurangi bebananmu

Moga...
Tiadanya aku sebagai musibah
bahagia kan menyerikan seluruh hidupmu

Monday, January 07, 2013

Yang Berhak dan Layak...

Sesungguhnya...
pabila dia yang layak kecundang
kau mudah biarkan menang
sedang kau yang berhak menang
kau mengalah dengan senang

Ketika itu...
nilai diriku ini bagimu
seakan tiada harga dan maruah
biarpun hanya sebesar zarah
bahkan dibuang umpama sampah

Tidakkah kau tahu...
yang berhak itu adalah kamu
yang layak itu adalah kamu
sedang dia tidak berhak
sedang dia tak lagi layak

Kupertaruhkan kepadamu...
harapanku yang menggunung
azab keperitan yang kuharung
sedang aku tercungap mendaki
kau hancurkan impianku di telapak kaki...

Friday, December 07, 2012

Tanda-Tanda

Perlukah begitu saja dipersiakan
segala kepahitan yang telah ditelan
segala keperitan yang ditempuh badan
segala azab yang menghiris perasaan
segala seksa yang menoreh fikiran
seakan semua yang dilalui itu
tiada harga walau sekecil debu?

Sungguh sangat mustahil
runtuhan deras titis hujan
atau pukulan hebat ribut dan taufan
boleh menerbitkan sinar pelangi
di langit malam yang kian sepi

Itulah ketentuanNya
khabar berita yang disampaikanNya
dalam pahit manis peristiwa
sebagai tanda-tanda amat bererti
untuk dimengerti dan difahami...

Monday, November 05, 2012

Rindu Kamu

Dan aku rindukan...
kenakalan gayamu
kepetahan bicaramu
tawa jenakamu
dan apa jua
tentang kamu
sungguh aku rindu
teramat rindu padamu

Dan aku paling rindu
pada ungkapan cinta
dan kata-kata sayang
daripada kamu
untuk aku...