Wednesday, May 28, 2008

Tepi! Tepi!

Berikan aku jalan
kerana laluan ini sempit
untuk mengisi badanmu

Berikan aku ruang
kerana bangku ini kecil
untuk menampung punggungmu

Berikan aku cangkat
supaya mereka dapat melihat
rias wajahku

Dan akan kuberikan engkau
tilam empuk dan bantal gebu
supaya kau tidak terus lena
di tengah-tengah laluanku
takut nanti kurempuh
dan kau tergolek
macam anjing
yang tak ada gigi
atau macam kera
yang baru belajar menaip.

Tepi!
Tepi!
Duduk di tepi!
Tidur di tepi!
Mati di tepi!
Mati!

Friday, May 16, 2008

Kepada Guru-Guru


Kepada guru-guru
yang dikasihi dan dihormati

Sungguh aku amat merindui
kaliber dan kebijaksanaanmu
kepimpinan dan bimbinganmu
ketegasan dan kelembutanmu
wawasan dan impianmu
pendirian dan ketulusanmu

Andai dibebani ke atas aku
apa yang dibebani ke atasmu
nescaya aku kan punah ranap
tenggelam meninggalkan debu

Andai ditimbang di dadaku ini
apa yang ada di dalam dadamu
nescaya aku kan terbang hilang
sedang kau membuahkan ladang

Kepada guru
yang dikasihi dan dihormati
ampunilah diriku ini
pada setiap lisan yang mencaci
pada setiap tulisan yang mengeji
sungguh kegagalanku memahami
adalah kegagalanku mempelajari
setiap titis ilmu yang kau beri.

Tuesday, May 13, 2008

Hari Ini

Hari ini
tiga puluh sembilan tahun dulu
Melayu dan Cina saling berseteru
dan darah tumpah
hingga bumi lencun basah

Hari ini
selepas tiga puluh sembilan tahun
aku masih panggil dia Cina
dia masih panggil aku Melayu
aku masih bercakap pelat dia
dia masih tak lancar berbahasa aku

Hari ini
selama tiga puluh sembilan tahun
sejarah hari ini
masih belum boleh dirai
dan antara kita
masih membara api

Monday, April 21, 2008

Peredaran


Suatu ketika dulu
Yap Ah Loy mendarat di sini
tatkala Melayu meneroka hutan belantara
Yap Ah Loy menerjah lumpur di muara

Terbina atas kasiterit mineral
dan kebanjiran peneroka harta
Kuala Lumpur yang berselut lumpur
berkembang menjadi lubuk harta
satu per satu jiwa dirantai
satu per satu gadis digapai
satu per satu teruna lalai
satu per satu iman terlerai

Di sini bermastautinnya
katak, cacing, siput dan kerang
dan procambarus clarkii
yang paling lasak antara cengkerang
berkongsi hidup dengan insan
berkongsi hidup dengan bangsawan
berkongsi hidup dengan hartawan
sama-sama didakap syaitan

Kalau di Haiti menjamah lumpur
Kuala Lumpur menyalut lumpur
makan hati sampai ke kubur
dalam kubur masih menggelupur
dalam tidur bising berdengkur
dalam longkang jiwa ditabur
dalam hotel kehormatan dilabur

Betapa sukarnya
di Kuala Lumpur
menyemai iman yang subur

Tuesday, April 08, 2008

Ipoh Mali

baru saja kembali
dari Ipoh
Ipoh mali?
Tidak lagi

masih penat
bukan melayan syahwat
jauh memandu
laju

penat bersemangat
bila aku tahu
semasa Pesta Buku
duit masuk lebat

so Bos?
aku tengah senyum ni
tolonglah suapkan nasi
ke perut kami

Friday, April 04, 2008

Budimu

Pertama
Kau buat aku kenal
tentang seorang anak Rembau
yang sebelum ini
kusangkakan orang pulau

Kedua
Kau membuka pintu
yang selama ini tertutup rapat
baru aku tahu
harta negara siapa yang dapat

Ketiga
Kau mencuci bersih
namanya yang dulu cemar
kini aku fikir
Dr. M sentiasa benar

Keempat
Kau jadikan bahasa
alat kedaulatan memujuk Melayu
kini anak-anak kita
masih tak faham makna “Thank You”

Kelima
Rembau ada jutawan Melayu
Hartaku adalah hartamu
Dr. M masih tetap nombor satu
Dan aku tak reti nak cakap “Thank you” untukmu

Thursday, April 03, 2008

Yang Seorang Di Sana

Ribuan kilometer
kau seorang
mendustakan harapan

Yang dekat di mata
ribuan perempuan
mengharapkan noda

Ratusan insan
berlumba-lumba ke sana
demimu seorang

Sedang di sini
ribuan perempuan
kunjung bertandang
di celah kangkang


Website Yusof Family.

Saturday, March 29, 2008

Pintu Besi Yang Berkarat

Pintu ini daripada besi
berat beban hendak membukanya
ketat pekat dengan karat
dinding seakan disadur melekat

Tapi kutolak terbuka dengan gagah
dengan jerih susah payah
dengan kudrat penat lelah
lalu semakin lama semakin ia terdedah

Tatkala ia hampir luas terbuka
telah melangkah pergi pula
tetamu yang menanti sekian lama
lalu karat sendi yang berkecai
sekadar habuk besi tak bernilai

Masih belum kukatup pintu ini
sedang dari jauh masih terlihat
langkah kaki yang pergi
semakin jauh ke kaki pelangi
mencari erti


p/s: Banyak kisah dan gambar yang menarik tentang pintu kat sini.

Sunday, March 23, 2008

Kau

Hadirlah ke mahligaiku
dengan kasih dan cinta
berhias senyuman mesra
dan tenungan yang menggoda
akan kuhidangkan buatmu
setia
buat bekal rasa
dan bahagia
buat penawar dahaga

Kau bukan puteri kayangan
yang bertakhta di awan
sekadar gadis idaman
yang pergi jauh
dan mewasiatkan kenangan

Tuesday, March 18, 2008

Khabar

Seiring kicauaun burung pagi
yang menyambut kehadiran mentari
ada khabar mengetuk pintu
membenihkan sendu yang ditenggelami rindu

Sekadar mengukirkan kembali
senyuman yang sudah lama mati
cukuplah buat perhiasan
hari-hari yang kepanasan

Bila mentari terbenam di tirai petang
rasa ini sudah bertunjang
cukuplah buat teman yang hilang
mengukir bahagia yang tetap dikenang...

Saturday, February 23, 2008

Aku Tahu Kau Tak Percaya

Aku tahu kau tak percaya
kalau kukatakan
sungguh aku masih ada rindu
dan masih ada cinta

Aku tahu kau tak percaya
walau dada ini setelus kaca
dan terlihat hatiku sendat
dengan wajah-wajahmu

Aku tahu kau tak percaya
dan aku sama sekali
takkan memaksa

Monday, January 21, 2008

Sinar Permata Merah

Permata merah
yang selama ini kelam
digenggam pekat malam
sepi kemilaunya
pudar serinya

Permata merah
yang terlepas dari genggaman
menempuh siang di awal zaman
bersinar cahayanya
berkilau pancarannya

Permata merah
kembali menghias alam maya
membelit jari manis teruna
yang kaya cinta
yang kaya bahagia

Monday, January 14, 2008

Hadiah

Tatkala kegembiraanmu menyerlah
mengimpikan nikmat sebagai hadiah
berkilauan seketul permata merah

Namun takdir menetapkan tulah
sesungguhnya permata yang beracun
amat manis perisanya
sentuhannya yang pertama
akan abadi mengalirkan bisa
menikam setiap rasa dengan seksa
menggigit luluh setiap saraf dengan azab
sedang kau masih bernafas tercungap-cungap
sinar cahayamu kan semakin malap
dan pintu liang lahadmu
semakin hampir mendakap

Sungguh
bagimu kala itu
sudah tiada jalan kembali
tatkala berlian yang di tangan
membakar jemarimu hingga melecurkan
permata merah yang kau sangka damai
adalah syaitan yang kau sangka tuhan
dan iblis yang dipujanya
adalah neraka bagi kalian!

Selamat hari jadi

Pengkhianat

Sebutir berlian biru
sekian lama kugenggam
cahayanya tak pernah kelam
sinarnya tak pernah kusam

Nyaris terlepas dari genggaman
tatkala mengejar pelangi
yang menyinar di titisan hujan
menyilaukan pandangan

Sebutir jed merah
kemilau menyinarkan seri
yang membawa setiap mimpi
hidup di dunia realiti
dan rupa-rupanya seri tu
masih sekadar pelangi

Dan sebutir jed merah
di sebalik seri zamrud
diam dalam sepi
memperkosa budi
meranapkan mimpi
berkecai menjadi candi
lalu membentuk nisan
sebagai hadiah hari jadi
sambil ketawa
ia menguburkan bahagia
abadi dalam derita

Dan sebutir berlian biru
masih belum menjadi cincin
membalut jemari
menyentuh di hati

Friday, January 11, 2008

Cemburuku

Tidakkah kau tahu
bahawa cemburuku
tanda sayang padamu?

Tidakkah kau tahu
bahawa aku mahu
kau hanya untukku?

Tidakkah kau tahu
bahawa telah sarat hatiku
dengan cinta kepadamu?

Atau mungkin sekali
yang lebih kau ingini
supaya aku tidak peduli
kepada siapa
kau serahkan hati
dan diri?

Sunday, January 06, 2008

Oh Bulan

Oh bulan
di pucuk kayu
purnama yang dirindu
menyemai sendu

Oh bulan
yang purnama
andai kau sudi
jatuh ke riba

Oh bulan
dari sini
kaulah cahaya
bukan mentari

Tuesday, December 18, 2007

Terlupa Agaknya?

Selamat pagi!
Dah gosok gigi?
Mari join aku kat sini
minum kopi
makan roti
sambil sembang-sembang
tentang yang akan datang
jangan pula kau jemu
kerana aku amat rindu

Yang aku dengar-dengar
di TV dan akhbar
kau dah jadi orang besar
kau yang sampai dulu
masa banjir di situ
dan kau yang balik dulu
semasa mereka berpusu-pusu
mencari tapak tinggi
selepas kau pergi

Kopi ni aku belanja
roti ni pun aku sponsor
sama macam kereta kau juga
malah gaji dan elaun bulanan
termasuk kau punya cukai pintu dan cukai jalan
semua tu aku yang bayarkan
sampai anak bini aku kebuluran
kau tak percaya?
Pergilah tanya pejabat LHDN berdekatan

Masa kau papa kedana
tapi nak berbini tiga
aku bagi pinjam sepuluh ribu
dan sekarang
perempuan tu pun dah kembali janda
duit aku mana?

Taat Setia

Selamat pagi!
Dah gosok gigi?
Mari join aku kat sini
minum kopi
makan roti
sambil sembang-sembang
tentang yang akan datang
jangan pula kau jemu
kerana aku amat rindu

Oleh sejarah telah disurat
Taat dan setia dianggap azimat
Oleh lumrah menjadi adat
Hanya yang setia menjadi sahabat

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau berlumur lumpur di bendang
Sahabat setia jadi tak sudi.

Thursday, December 13, 2007

Sesat Hanyut

Sebenarnya
kita sudah tersesat
walau masih belum jauh
tapi kita masih hanyut
peta yang semakin kusam
terus reput di dalam peti
walau tangan terus mendayung
arus dan ombak yang mengemudi
tanpa tahu apa yang dicari

Monday, December 03, 2007

Kepada

Kepada mereka yang sedang berdengkur
jangan sampai mimpi indah
menjadi igauan hingga ke kubur

Kepada mereka yang berangan-angan
jangan sampai cita-cita
menjadi impian yang bertaburan

Kepada mereka yang gelak ketawa
jangan sampai kisah sedih
menjadi komedi si penglipur lara

Kepada mereka yang pekak dan buta
jangan sampai anak cucu
menjadi hamba di tanah merdeka

Kepada mereka yang lantang menggegar
jangan sampai tahi sendiri
tersangkut di celah gelegar

Dan kepada dewa-dewa
yang melihat makhluk sambil menunduk
jangan sampai beku membatu
hingga berubah menjadi berhala