Monday, July 04, 2005

Titi Cahaya Gelita

titian ini
seakan reput
dimamah usia tua

kemilau syurga
seakan malap
disebalik dosa dan noda

gelap-gelita
menyelimut diri
sedang kaki berpijak kemewahan

ajal yang tiba
tanpa sempat ditebus
kaki yang merantai neraka

Thursday, June 30, 2005

Bila Salji Berlalu

bila salji berlalu
meninggalkan musim beku
meninggalkan kau dan aku

dingin salji itu
tidak sedingin hatimu
membekukan emosiku

tebar dedaunan
tidak setegar perasaan
yang menembok penghayatan

biru langit siang
tidak secerah kasih sayang
yang diselindung bebayang

liku perjalanan
tidak sebengkok pengharapan
yang berjemala kebodohan

Tuesday, June 28, 2005

Berikan Aku

Berikan aku secebis kasih
dari carik permaidani putih
akan kulembar dengan jerih
hingga ia suci bersih

Berikan aku setitis rasa
yang bertakung di dasar jiwa
akan kurungkai menjadi cinta
lalu kurangkai bersama bahagia

Berikan aku sepalit mimpi
yang bertandang di malam hari
akan kuanyam menjadi realiti
hingga dirimu menjadi permaisuri

Thursday, June 23, 2005

Purnama

Ada purnama di atasmu,
yang menyinarkan cahaya rindu,
pabila kita tak lagi ketemu,
sinar itu kan jadi sendu.

Ada purnama di atas sana,
yang bersinar untuk kita berdua,
walau di mana pun kau berada,
sang purnama akan menjalin kita.

Ada purnama di langit malam,
seakan tersenyum menghulur salam,
dan kita berdua menyulam janji,
bahawa purnama di langit tinggi,
antara kita menjadi saksi,
yang kita berdua akan kembali,
melunaskan rahsia janji...

Tuesday, June 21, 2005

Umpama Lautan


Aku bukan paus yang perkasa
di dasar lautan menawan samudera
sesekali timbul menggegar dunia
akhirnya berajal di pinggan manusia

Bukan juga jerung yang garang
diserang menangkis ditangkis menyerang
seluruh dunia membina sarang
mengisi gentar yang bukan sebarang

Bukan pula udang dan ketam
menghias lautan di iklim malam
menyusur dasar di cahaya kelam
membina kuasa di bahtera yang karam

Sekadar menumpang di pinggir dunia
sambil menghitung dosa pahala
ibarat kuda laut sebesar hama
mengikut arus di lautan gelora

Ada kalanya hilang di pandangan
bersembunyi diam di karang-karangan
bersemadi kekal di dasar lautan
kepada takdir diserahkan kehidupan

Saturday, June 18, 2005

Hanya Serangga

Hanya setitis antara berjuta
bintang yang bertaburan di angkasa
dan aku di dalamnya
lebih halus dari serangga

Sebesar mana pun pangkat dan kuasa
walau mampu menguasai cakerawala
masih setitis antara berjuta
bintang yang bertaburan di angkasa

Menjerit hingga ke hujung suara
ingin menggegar benua
sekadar beralun di telinga
lebih halus dari serangga

Saturday, June 11, 2005

Mulanya Di Sini

Mulanya di sini
kau melangkahkan kaki
bertandang di halaman sebuah famili
yang kau bakal nanti menjadi ahli

Mulanya di sini
dirimu dan mereka saling mengenali
dan semakin hebat debaran di hati
menunggu ketibaan kau nanti
Mulanya di sini
perjalanan ini tiada kembali
kau bakal menjadi puteri
untuk ibuku tuanku permaisuri

Mulanya di sini
bermulanya haluan yang dulunya mimpi
kini terbit menjadi realiti
dan seharusnya bersama kita tempuhi

Mulanya di sini
hidup kita saling menemani
semoga perjalanan ini tidak akan berhenti
selagi syurga belum menjadi destinasi...

Mulanya di sini
dan tidak mungkin akan berhenti lagi....

Kecundang

...untuk isteriku yang dikasihi...

Aku kecundang denganmu dewi
tidak berdaya lagi menipu diri
tewas berperang dengan emosi
bahawa padamu ada cinta di hati

Setiap langkahmu mendebarkan dadaku
setiap kerlinganmu menusuk jiwaku
setiap bicaramu melemaskan perasaanku
dan setiap senyummu menyungkurkan diriku

Kau mengajar erti cinta
yang selama ini kufikir sekadar rasa
sekadar mengisi di mana tiada
sekadar mengabui hakikat manusia

Namun hadirmu membangkitkan realiti
sesungguhnya cinta bukan ilusi
bagaimana engkau menggetarkan naluri
sehingga lelah setiap mimpi

Aku kecundang di tanganmu
dan aku tewas dengan diriku
namun kekalahan ini menjadi bukti
bahawa aku telah menang dalam hidup ini

Terima kasih sayang
Cinta hatiku...

Friday, June 10, 2005

Permaisuri Permata Hati

...untuk isteriku yang dikasihi...

Duhai Permaisuri Permata Hatiku
telah terbeban di atas bahuku
tatkala dirimu menjadi milikku
segala amalanmu menjadi amanatku

Duhai Permaisuri permata cinta
hidup yang satu menjadi dua
yang nyata dahulu kini rahsia
yang rahsia dahulu kini nyata

Duhai Permaisuri permata rindu
setiap anggota kuserahkan padamu
dari hujung rambut ke hujung kuku
cantik hodohnya terpulang padamu

Duhai Permaisuri permata sayang
susah hidupku mencari senang
ibarat buku dibongkah terbentang
maka bacalah apa saja yang dikarang

Duhai Permaisuri permata kanda
seluruh jiwaku milik adinda
gelap lakumu maka gelaplah ia
maka sinarkanlah dengan setia

Duhai Permaisuri Permata Hati
bukan dunia yang kuukirkan janji
tetapi kebahagiaan putera dan puteri
andai kekanda yang dahulu pergi

Thursday, June 09, 2005

Kadangkala

Kadangkala
terasa ingin kembali muda
meniti zaman remaja

Kadangkala
cebisan memori menjelma
mengingatkan setiap peristiwa

Kadangkala
ingatan bersulam mesra
menyuburkan kelopak cinta

Kadangkala
tersungkur di dunia realiti
setiap detik menghitung diri

Tuesday, June 07, 2005

Umpama Sungai Di Muara

Aku berbohong
kalau kukatakan
tiada sepi di hati

Aku berbohong
kalau kukatakan
tiada rindu mencengkam

Umpama sungai di muara
tenang permukaannya
sedang dasarnya bergelora
ada perang antara mereka
antara bahagia dan derita

Bila surut meninggalkan aur
terserlah dasar yang berlumpur
sebahagiannya jijik berdanur
sebahagiannya bakau menyubur
mendamparkan perahu nelayan
terbaring kesepian

Monday, June 06, 2005

Akan Kautahu

Akan kau tahu
bila takdir menjadi nyata
dan hakikat menampakkan rupa

Akan kau tahu
bila nasib kedinginan
dan setiap langkah
menuntut pengorbanan

Akan kau tahu
bila realiti kembali
di dalam jaga dan mimpi
setiap belok menjadi pasti

Akan kau tahu
bila sampai waktu
kau harus sabar menunggu
pasrah dengan takdir Tuhanmu

Laluan

Mewah laluanku
gemerlap disinar cahaya
berderap dilapis mutiara
bersinar dipancar permata
menuju entah ke mana

Di hujung sana
tersergam apa yang tiada
tegap tanpa nyawa
sedang bukan itu yang kucita

Lalu kembali di sini
menyusur laluan mewah sepi
bersinar berderap memancar tanpa seri
tiada makna lagi

Sunday, May 29, 2005

Puteriku Sayang

Puteriku sayang bidadariku
jangan kau anggap lelaki seteru
sesungguhnya mereka pelindung dirimu
asal kau pandai memilih yang mana satu

Puteriku sayang permata hati
jangan samakan semua lelaki
dan bukannya abah tidak mengasihi
yang penting wahai puteriku, kesejahteraan ummi

Puteriku sayang penyinar bahagia
demimu kan kugadaikan nyawa
setiap yang ada kukorbankan segala
walau dituntut dari jurang pusara

Puteriku sayang kasih abadi
kau kan jadi ibu nanti di suatu hari
pastilah kau juga kan jadi isteri
ingatlah, syurgamu di tangan suami

Puteriku sayang seri kehidupan
pilihlah lelaki yang menggenggam iman
pastinya dia sangat berlainan
di dalam dunia menongkah zaman

Puteriku sayang jangan keliru
sudah lenyap agama di zamanmu
dalam berjuta hanya ada satu
itulah lelaki yang menjadi pelindungmu

Puteriku sayang cinta hatiku
jangan tersesat jalan hidupmu
ingatlah bahawa mati tetap mencarimu
ingatlah kepada Tuhan kembali setiap anggotamu

Puteriku sayang pelita hati
sejahterakan ummi sampai ke mati
jangan derhaka kepada suami
maafkan ayahanda wahai puteri...

Saturday, May 28, 2005

Kepada Puteraku Yang Dikasihi

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
hadirmu satu kejutan
walaupun sudah dijangkakan
seakan lazim dalam sebutan
lalu kunamakan dirimu Aiman

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
dewasamu pantas mealpakan waktu
tanpa sedar aku tak larat lagi mendukungmu
namun abah dan ummi tak selamanya di sisimu
kelak kamikan pergi jua selama-lamanya meninggalkanmu

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
andai terpisah abah dan ummi
jangan gelisah bertanya hati
ingatlah puteraku sematkan di hati
sesungguhnya kasih ibu kasih abadi

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
sebagai putera sulung yang dewasa
sejahterakanlah ummi hingga ke akhir hayatnya
maafkanlah kami akan kepahitan yang kau rasa
realiti ini wahai puteraku, bukan dipinta

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
panas api tak semestinya bernyala
dingin air tak semestinya gelora
hembusan angin takkan selamanya menyapa
dan duniamu itu takkan abadi selamanya

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
adik-adikmu amanat kami
sekiranya kami melangkah pergi
lalu beban dirimu dan adik-adik selagi di sini
untuk memanjangkan rahmat Tuhan ke pusara kami

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
memberilah engkau pada yang sudi
menerimalah engkau seikhlas hati
jadikan sabar pedoman diri
jadikan Islam pegangan yang abadi

Sesungguhnya
bukan mudah putera yang kukasihi
membezakan khayalan dan realiti
dalam kehidupan yang sementara ini...

Thursday, May 26, 2005

Ada Ketikanya

Ada ketikanya
air mataku menitis
kerana sakit hati
akan gurauan jahatmu

Ada ketikanya
air mataku menitis
kerana teramat benci
akan sindir cacimu

Ada ketikanya
air mataku menitis
kerana marah yang membara
akan perlakuan layananmu

Namun setiap ketika
air mataku menitis
bila terkenangkan tentang kita
dan setiap yang telah kulalui bersamamu....

Wednesday, May 25, 2005

Mahligai Yang Runtuh Akhirnya

Mahligai yang bertahun dibina
yang disemai dengan kasih dan cinta
lalu disiram dengan keringat derita
dan dipagari dengan tembok setia
ada retak rupa-rupanya

Yang telah dihalalkan dengan kebencian
akan menjadi kenyataan memeritkan
bukan sengaja jadi pilihan
tapi atas dasar perikemanusiaan

Inilah kebangsatan ketamadunan insan
yang mengembalikan kesedaran
kepada syaitan
lalu bermastautin menjadi rakan....

Friday, April 29, 2005

Pantun

Asap api embun berderai,
Patah galah haluan perahu;
Niat hati tidak mahu bercerai,
Kuasa Allah siapalah yang tahu

Menebar tabir kain berkirai
Jarum peniti memimpin tuju
Marah di zahir harap dilerai
Simpan di hati siapa yang tahu

Saturday, April 16, 2005

Ibu Mithali

Susah payah bersabung nyawa
Raung tangisan bukannya pilu
Tiga ayah berkorban nyawa
Tiada tandingan seorang ibu

Derhaka ayah berjanji neraka
Derhaka ibu mengharamkan syurga
Payahnya ayah mewarnakan dunia
Payahnya ibu mengundang syurga

Ibu yang mulia menyemai teladan
Ikrar sabdanya jadi pedoman
Langkah lambainya jadi ikutan
Ibu mithali penghias zaman

Ibu

Tersemai benih zuriat
Lalu bertunasnya hikayat
Penderitaan yang mula sarat
Bakal ditanggung sepanjang hayat

Didik dan besarkan menjadi pusaka
Yang bercambah subur menjemput syurga
Yang layu terkubur mengundang neraka
Yang pasti ibu diheret sama

Justeru tiadakah pengorbanan
Yang lebih agung dari kematian
Selain bagi seorang ibu yang melahirkan
Zuriat yang dididik menjadi berlian
Lalu berkilau di langit zaman
Hingga ynag hitam bisa bergemerlapan
Dengan keringat ibu yang kebanjiran

Kepada ibu yang mewarnai dunia
Dengan kemilau zuriat yang berjasa
Di akhirat syurgamu sudah tersedia
Apatah lagi ganjaran di dunia