Tuesday, August 01, 2006

Hitung

Setiap yang bernyawa
pasti akan mati
dan setiap yang mati
akan diadili

Lalu yang dihitung
membawa seribu erti
dan yang beruntung
menanti ajal berkunjung

Lalu yang digalas
membawa seribu seksa
sedang masih di dunia
terasa panasnya neraka

Sunday, July 16, 2006

Percaya Tanpa Yakin

Ada dosa
tapi tiada gentar
akan azab dan panasnya neraka

Ada pahala
tapi tiada usaha
akan nikmat mahligai di syurga

Ada percaya
tapi tiada yakin
akan kewujudan Yang Maha Esa

Thursday, July 06, 2006

Ada

Ada azan bergema
tatkala aku lena
ada makhluk yang sujud
sedang aku berselimut

Ada insan kebuluran
semasa aku kekenyangan
ada rumah yang roboh
tika aku senang berteduh

Ada tangan meminta
bila aku bermandi harta
dan si yatim piatu
masih meraung dahagakan susu

Thursday, June 22, 2006

Tiada Kompromi

Satu tetap satu
tak mungkin ia tiga
fardu tetap fardu
tak berkurang dari lima

Laut tidak tawar
kerana sungai yang mengalir
fardu tidak luntur
kerana dunia yang memanggil

Taubat?

Manakan ada benci
jika tiada kesal
kesalkah dalam hati
bila yang dibenci diulangi

Bolehkah ada ikhlas
kalau berserah pada serakah
syurgakah kampung halaman
sedang syaitan yang berjiran

Sunday, June 18, 2006

Gunakan Saja...

berus gigiku berwarna ungu
berus giginya juga begitu
yang membezakan antaranya
baki yang tinggal di hujung yang berbulu

tuala mandiku dan tuala mandinya
tidak berbeza tika basah
untuk mengenal aku punya
bilangan lubang di tempat yang tak sepatutnya

apa saja yang aku mahu
masih ada di merata-rata
lalu perlukah aku berbelanja
membeli apa yang sudah ada?

Wednesday, June 07, 2006

Bukan Aku Punya

Apa yang aku ada
bukan aku punya
sekadar hinggap dan kutip
di atas kertas kutitip

Apa yang aku beri
bukan milik abadi
sekadar hinggap dan kutip
di atas kertas kutitip

Umpama lalat yang menghurung
mencari dan menghitung
setiap rugi dan untung
aku yang menanggung

Thursday, May 25, 2006

Panas

Memang sekarang panas
ada bahang yang mengurung
ada api yang membakar
ada abu yang tercemar

Panas yang menyelimuti
walau ke mana pun aku pergi
dari malam ke pagi
senja dan dinihari

Begitu ironik fenomena
kerana panas yang kurasa
akibat dinginnya suasana
dinginnya mesra
dinginnya dia

Monday, May 22, 2006

Setiap Diri Kamu


ada beban yang terpikul
dalam setiap diri kamu
yang bakal menentukan
destinasiku

ada dunia yang menanti
kehadiran setiap kamu
yang bakal mencorakkan
alam kuburku

ada akhirat yang dijanjikan
untuk dihuni setiap kamu
neraka atau syurga
menjadi amanahku

Wednesday, May 17, 2006

Cikgu

Ramainya cikgu yang hadir
di dalam hidupku menyingkapkan tabir
ada yang kekal di dalam hayatku
ada yang sekadar singgah bertamu

Ada yang mengajar untuk pandai
dan mengajar menjadi pandai
juga mengajar menyekat pandai
atau mengajar nak tunjuk pandai

Segelintirnya sungguh berkuasa
sebahagiannya mempersetankan kuasa
ramai lagi yang melemparkan kuasa
tidak seramai yang tak kenal kuasa

Cikgu yang mati kerana aku
sanggup mati selepas aku
rela mati bersama aku
takkan mati selagi ada aku

Cikgu yang hidup kerana aku
mungkin hidup kerana aku
takut mati kerana aku
berani mati tanpa aku

Friday, May 12, 2006

Bahtera Telah Berlayar

Ombak dan pantai tetap berbicara
bulan tetap bersinar di angkasa
bintang tetap memimpin nakhoda
bahtera yang berlabuh sudah tiada

Kerdip sinar di tengah lautan
sesekali melambung perasaan
kadang tenggelam di dasar kenangan
kadang terapung di arus pengalaman

Bahtera sudah berlayar pergi
megah layarnya membawa diri
entah ke mana destinasi
entah siapa yang mengemudi

Kalau nakhoda masih merindu
pelabuhan ini tetap menunggu
pantai ini masih merayu
ombak ini masih berlagu

Wednesday, May 03, 2006

Angkuh

Apakah yang tiada di dunia ini
yang ada di syurga firdausi
sedangkan semuanya dapat kubeli
dengan hartaku yang tetap berbaki?

Yang mana satu perlu kupandu
antara berbelas kereta mewahku
di jalan lurus mahupun yang berliku
untuk ke syurga yang kau sebut-sebut itu?

Sebesar mana tandingannya
antara puluhan mahligai dan singgahsana
yang kumiliki seluas saujana
dapat dibandingkan dengan di syurga?

Sesungguhnya
hartamu bisa membeli dunia
kereta mewahmu bisa menjelajah benua
mahligai dan singgahsanamu bisa mengekang cuaca

Demi sesungguhnya
hartamu tak bisa menebus mati
kereta mewahmu tak bisa membawamu lari
mahligai dan singgahsanamu tak bisa menembok diri
tatkala Izrail bertandang nanti

Sunday, April 30, 2006

Rugi

(ilham daripada Kereta Mayat)

Banyaknya niat yang tersemat
hingga melimpah di kesumat
namun tiada satu pun daripadanya
Nama Allah menjadi kalimat

Banyaknya air mata yang menitis
hingga basah ke bibir yang manis
namun tiada satu pun daripadanya
menyesali pahala yang semakin tipis

Banyaknya kata dan bicara
hingga tuli setiap telinga
namun tiada satu pun daripadanya
menyedarkan insan pada neraka

Banyaknya usia yang terlepas
hingga semakin semput helaan nafas
namun tiada satu pun daripadanya
mengenangkan azab yang ganas

Saturday, April 29, 2006

Bukan Aku

Biarpun subur menghijau
teguh dan tegap antara belantara
memberi teduh pada yang bara
aku bukan antara mereka

Padanya sumber rezeki
dan benih yang membesarkan
lalu kehijauan dihamparkan
aku tak mau jadi sebahagian

Ada sarang di dalamnya
tempat unggas berlindung
mahupun tempat menyuburkan untung
aku tak mau menanggung

Thursday, April 20, 2006

Berikan Aku Tanda

Mengapa kau semakin jauh
sedang aku semakin resah
cemburu yang kian menerjah
membakar semakin parah

Apakah aku umpama lebah
yang menghurung kelopak pagi
masih kuncup bermadi embun
masih redup dan merimbun?

Seandainya aku langau yang bising
aku rela jauh terasing
lalu berikan aku erti
agar persoalan menjadi pasti

Lalu untuk mengundur diri
demimu aku pergi...

Saturday, April 08, 2006

Aku Rindukan Bintang Itu

Aku rindukan bintang itu
yang bersinar di langit rindu
namun yang jernih di telaga cinta
ternyata bukan cahayanya

Aku rindukan bintang itu
yang mengerdip melayan syahdu
namun yang berkilau di laman hati
ternyata bukan diri ini

Aku rindukan bintang itu
kini semakin jauh dariku
dan semakin sepi di jiwa
kerana kau semakin tiada

Wednesday, April 05, 2006

Bukan Berlian Aku

kusangkakan berbaloi
melepaskan dirimu
untuk menggenggam
berlian idaman

rupa-rupanya kilau
yang memancarkan sinar
mencari gagang
yang di seberang pagar

lalu genggaman yang kulepaskan
berganti kekosongan
di tapak tangan

Monday, April 03, 2006

Salah Aku Sendiri

salah aku sendiri
menabur benih
di laman hati

salah aku sendiri
menyiram embun
di tasik madu

salah aku sendiri
lupa menunduk
kembali ke bumi

Apa Yang Aku Dapat?

Jadi apa sebenarnya yang aku dapat?
Dari lima tahun ikatan
bertungkus-lumus tak ingat Tuhan
demi menghasilkan kepuasan
bukan untuk aku
tapi untuk itu

Lalu apa yang aku dapat?
Sesudah mengabaikan keluarga
sesudah melayarkan alpa

Tak Boleh Ke Mana

Aku tak boleh ke mana
terikat sekian lama
jerih payah yang kubayar
demi mengharap yang sekadar

Namun itu pun kecewa
yang dapat hanya hampa
jerih payah tiada harga rupa-rupanya
diikat atau tidak, sama saja


Thursday, March 30, 2006

Pemberi dan Penerima

aku tulis apa yang aku suka
kau tafsir apa yang kau sangka
aku faham apa yang aku rasa
tak semestinya faham kita sama

dia baca apa yang dia suka
dia tafsir apa yang dia sangka
dia faham apa yang dia rasa
tak semestinya faham kalian sama

lalu apa yang kau tulis
adalah apa yang kau baca
tapi apa yang aku ajar
tak semestinya kau belajar

Wednesday, March 22, 2006

Ini Hatiku

Ini hatiku
ambillah dan simpan
semadikan ia di atas kayangan

Ini hatiku
tak ternilai harganya
jangan kau sepahkan merata-rata

Ini hatiku
hanya satu yang aku ada
jangan hancurkan hingga tak bersisa

Ini hatiku
padamu kuserahkan
balutlah ia dengan keikhlasan

Wednesday, March 15, 2006

Jarak

Ada jarak yang dicipta
antara kita berdua
sungguh dapat kurasa
begitu amat ketara

Simbahkan antara jurang ini
minyak yang panas berapi
hingga rentung sekujur jasad
hingga luluh sekeping hati

Puas sudah dalam usaha
ikhtiar sudah tidak bersisa
sudah habis segala upaya
masih berjarak antara kita

Dan titi yang hendak menghubung
tidak pernah dapat disambung...

Tuesday, March 14, 2006

Sebutir Bintang Di Langit Malam

Sebutir bintang di langit malam
bersinar di matamu
kelam

Sebutir bintang di langit malam
terpancar di wajahmu
suram

Sebutir bintang di langit malam
apa rahsiamu
sayang?

Sunday, March 12, 2006

Kau Tak Mengerti

Kau tak mengerti
tentang api yang membara
di dalam hatiku

Kau tak mengerti
tentang cemburu yang menyala
menyelubungi dirimu

Kau tak mengerti
tentang rindu yang berkuasa
menakluk jiwaku

Wednesday, March 08, 2006

Sebenarnya

Sebenarnya
masih ada rasa
yang jauh tertanam
menyemai cinta

Sebenarnya
masih ada rindu
yang subur tersiram
membenih sendu

Sebenarnya
masih ada mahu
yang kembang dan mekar
menanti dirimu

Saturday, February 18, 2006

Titis Air Suci

Titis air suci
bertakung menjadi keji
menghimpun najis dan danur
hingga lewat kubur

Titis air suci
gugur di batas asing
lalu disiram air kencing
hingga berbekas kering

Titis air suci
masih minta berahi
maka biar ia subur
dalam taman yang luhur
mekar lewat kubur

Pasangan

manakan ada hitam
jika tiada putih
manakan ada gembira
jika tiada sedih

tidak akan ada senyum
melainkan dalam gembira
sedang tangisan boleh menitis
dalam ria mahupun duka

jadi masakan ada gembira
jika tiada sedih
titiskan air mata
kerana ia tanda kasih

Wednesday, February 15, 2006

Bebas

Sememangnya
sesuatu yang baik
banyak pantang larangnya
dan yang memuja kebebasan
bakal mencipta kesesatan

Friday, February 10, 2006

Deria Neraka

Lidah ini
melafazkan dusta
sedang sedikit pun tidak
memuji Yang Maha Esa

Mata ini
merenung syahwat
sedang sedikit pun tidak
mengerling ayat dan kalimat

Telinga ini
mendengar caci nista
sedang sedikit pun tidak
menggetarkan ilmu ke dada

Kaki ini
melencong di kegelapan
sedang sedikit pun tidak
menapak ke rumah Tuhan

Tangan ini
membaitkan puisi
dan sepatah perkataan pun tidak
menyebut nama Ilahi

Lalu pada anugerah Allah ini
apa lagi yang bererti
sedang setiap pancaindera
menempah tempat di neraka?

Wednesday, February 08, 2006

Kawan Yang Bermusuh

Tidakkah mereka tahu
apa yang Tuhan firmankan
bahawa sehingga ke akhir waktu
Yahudi dan Nasara terhadap kita menjadi seteru?

Bukankah sudah terbukti
dalam sejarah yang berulang kali
sesunggunya mereka tidak akan berhenti
terhadap kita menghamburkan caci maki?

Lalu apa yang dihairankan
di seberang laut terbiaknya kuman
sedang di tanah ini bermaharajalela syaitan
yang bertopengkan kemuliaan insan?

Pelik dengan musuh yang menyerang
seharusnya tidak sepelik
sahabat yang menikam dari belakang

Wednesday, January 25, 2006

Tahi

Macam nak cair
Tahi telinga aku
Mendengarkan bicara
Yang setinggi angkasa
Sedangkan kaki
Terendam dalam tahi

Sunday, January 15, 2006

Pilih Agama

Agama yang kau anuti
ada dua hala
yang satu akhirat
yang satu dunia
yang satu pahala
yang satu dosa
yang satu janda
yang satu dara
yang satu suci
yang satu keji
yang satu setiap hari
yang satu terhad hari

Saturday, January 14, 2006

Kerana Ayam Tidak Berkokok

Bila aku mahu ke kanan
kau tarik aku ke kiri
dan kalau kumahukan hitam
yang putih pula yang kau beri

Ayam jantan yang ditambat
tidak berkokok sekian lama
lalu subuh berganti senja
hingga padi yang dituai dahulu
masih kering kontang bendangnya

Jadi bila aku mahu ke kanan
aku mahu kau turuti
dan kalau hitam yang aku idamkan
yang sedia putih harus kau cemari

Jangan berdalih lagi
atau akan kubiar pergi
atau kucari ganti

Tuesday, January 10, 2006

Jangan Persiakan Aku

Jangan persiakan aku
kerana setiap titis darah
akan menyuling fitrah

Jangan persiakan aku
ketika nyawaku kau genggam
ujub dan takburmu kau pendam

Jangan persiakan aku
setiap anggotaku yang terbuang
sesuap rezekimu berkurang

Jangan persiakan aku
kerana matiku dengan nama Tuhanmu
maka janganlah matimu lebih hina daripadaku

Jangan persiakan aku
kerana kau harus tahu
yang berkorban itu engkau
bukannya aku!

Thursday, January 05, 2006

Salam Hujan Emas

Salam
Dari benua gersang
Mengharap hujan emas
Menghempap kepala sendiri
Mati

Sunday, January 01, 2006

Hidup Di Dalam Dunia

Hidup di dalam dunia
Penuh dugaan dan cubaan
Dan ujian dari Tuhan
Untuk menguji keimanan

Dari air yang terpancur
Tercipta insan tubuh sekujur
Berusaha menjadi masyhur
Hingga menjadi kufur

Insan lupakan diri
Hilang pegangan hancur peribadi
Umpama haiwan yang tiada bestari
Merosakkan diri sendiri

Penciptanya sudah dilupa
Yakni Tuhan Yang Maha Esa
Sedarlah wahai insan durhaka
Kelak tubuhmu kan binasa

Bertaubatlah sebelum terlambat
Jauhkan diri dari tersesat
Larilah dari dosa dan maksiat
Moga Tuhan memberi rahmat


~Penglipur 1984~

Pokok Kayu Lama

Pokok kayu lama
Akan pergi jua
Ia hilang nyawa
Buat selamanya

Pokok kayu lama
Akan pergi jua
Diganti pokok baru
Yang lebih bermutu

Pokok kayu lama
Sudah tiada guna
Elok ditebang saja
Agar boleh dibuat baja

Pokok kayu lama
Tetap akan pergi
Tetap akan diganti
Satu hari nanti


~~Penglipur 1984~

Saturday, December 31, 2005

Berbuka Puasa di ATDI

Pukul tujuh loceng berbunyi
Bilik kosong bertambah sunyi
Ke dewan makan menyanyi-nyanyi
Melihat juadah tak sabar lagi

Bila azan sudah bergema
Riangnya hati tidak terkira
Baca doa pun laju sahaja
Janji perut penuh belaka

Buah kurma siap terhidang
Kuih-muih membuatkan kenyang
Air sejuk dahaga pun hilang
Terkadang bubur dan pengat pisang

Semasa berbuka (ya Allah!) lajunya!
Orang keliling tak peduli tak kira
Air diteguk bertimba-timba
Panjang bernada bila sendawa

Setelah selesai berbuka puasa
Hendak berdiri pun tidak berdaya
Hendak berjalan jangan dikata
Sebiji seperti orang gila.


~Penglipur 1984~

Pantun Orang Jauh

Dari Tampin ke pekan Rasah
Jangan singgah di batu Dua
Lama sudah kita berpisah
Di dalam warkah bertemu jua

Benang dikait berlembar-lembar
Benang sutera idaman hatinya
Salam dihulur bertanya khabar
Semoga sejahtera selalu hendaknya

Berlayar ke hulu ke muara jangan
Tinggal haluan jangan tak jadi
Kisah lama tinggal kenangan
Satu ingatan kenangan abadi

Tumbuh mawar di tanah rata
Menghias indah tepi perigi
Salam rindu di akhir kata
Dipanjang usia bertemu lagi


~Isi Dunia 1986~

Pantun

Itik berenang di dalam paya
Kain dijemur di atas papan
Jangan dibangga kehidupan kaya
Akhirnya jasad harus dikapan

Terang bulan mengait renda
Orang berlagu sehingga pagi
Jangan pentingkan harta dan benda
Iman itu lebih baik lagi

Ke hulu sudah ke hilir sudah
Buah ketapang masak setangkai
Kutegur sudah kusenyum sudah
Diharap pertalian tidak terungkai

Sayang isteri ditinggalkan pergi
Sayang anak ditangan-tangankan
Jangan dikenang orang yang pergi
Kelak meracun diri dan badan


~Penglipur 1984~

Ketenangan Hati

Sudah berbatu aku berlari
untuk mencari ketenangan hati
kutempuh gunung bukit kudaki
lautan dalam telah kurenangi
tapi sayang
hati tidak menjadi tenang
apakah salah apakah silap
hati gelap sentiasa malap
adakah kerana rindu memendap
atau hati sememangnya risau
namun jawapan masih melilau
fikiran buntu bertambah kacau
hati yang tenang tidak menjelma
cetusan hati cebisan rasa
oh Tuhan katakanlah mengapa
apa sebabnya
adakah kerana
dosaku lebih banyak daripada pahala?
Oh jauhkanlah segala bahaya......
aku tetap berlari lagi.... lagi.... lagi.....


~Pengliur 1984~

Friday, December 30, 2005

Datang Lagi Waktu Ini

Datang lagi waktu ini
pabila tahun melangkah pergi
dan zaman bertukar ganti
namun noda dan dosa masih di sini

Datang lagi waktu ini
detik yang bakal menukar hari
pemuda bertenggek bersama pemudi
dan antara mereka iblis berdiri

Datang lagi waktu ini
yang sebelumnya dilanda tsunami
sungguh pun masih ada anak saudara syaitan
yang menganggap ia bukan amaran Tuhan

Datang lagi waktu ini
saban tahun semakin berani
kulihat pakaian semakin kurang
kulihat mabuk semakin panjang

Datang lagikah waktu ini
atau sempatkah kusaksikan lagi
pengajarankah yang dihidang padaku
atau bakal kehidupan di alam baru?

Monday, December 26, 2005

Siapakah Mereka Ini?

siapakah mereka ini?
bersila meriba kitab suci
dan melafaz ayat mengaji
sambil mata sesekali menjeling ke mari

siapakah mereka ini?
yang menyapu air mata
atau yang teresak-esak hiba
dan juga yang sinis dalam senyumannya

siapakah mereka ini?
yang berbisik di telingaku
mengucapkan kata yang tidak berlagu
sambil bersungguh-sungguh menyeru aku

siapakah kamu?
yang hadir tiba-tiba
begitu bengis air muka
tiada adab untuk menyapa
lalu mengikutmu aku dipaksa

hentikan kesakitan ini
sebegitu pedih sekali
berikan aku mati!
agar kesakitan ini berhenti!

Saturday, December 24, 2005

Walimatulurus


Yang ditunggu dah pun tiba
Kedua mempelai kacak dan jelita
Merakam riwayat di hari bahagia
Menghikayatkan ceria abadi selamanya

Manis sungguh kedua pengantin
Duduk tersenyum di pelamin
Moga kekal ke akhir hayat
Moga damai dunia akhirat

Bersanding sudah
Menepung tawar pun sudah
Makan saja yang belum lagi
Lalu jadah terhidang sudah
Mempelai dijemput untuk santapan tengah hari

Hari ini makan di hidang
Hari esok masak sendiri
Walau sibuk pagi dan petang
Jangan lupa balik masak untuk suami

Bila suami duduk di pejabat
Cari duit menambah rezeki
Kalau boleh pulanglah cepat
Makan malam bersama isteri

Wednesday, November 30, 2005

Duhai...

duhai waktu
yang mempertemukan
dan yang memisahkan
yang memulakan
dan mengakhirkan

duhai malam
yang melenakan
lalu menghiaskan mimpi
atau igauan yang ngeri

duhai angin
yang membelai dan menyapa
lalu membawa berita
dalam gembira dan duka

Monday, November 28, 2005

Petanda atau Ujian?

Besar benar halangan kini
entah apa yang terjadi
petandakah yang diberi
ataukah ujian yang menguji?

Masih bisa kutahan
semua ledakan perasaan
dan masih bisa kuhalang
air jernih yang bergenang

Berikan kekuatan ini
untuk aku berdiri
memilih antara kanan dan kiri
hanya satu - itu pasti!

Petandakah yang diberi
ataukah ujian yang menguji
akan kutahu dengan pasti
suatu hari nanti

Friday, October 14, 2005

Sepuluh Pertama Ramdhan

Semakin terang sinar rembulan
berlalu sepuluh pertama Ramadhan
sudah berlalukah keberkatan
kepada rahmat memberi laluan?

Sudahkah amalan mempelawa
menjemput al-Qadar bertandang tiba
atau sekadar merenung angkasa
mengira bintang di buana?

Sudahkah lengkap dihitung
zakat diri yang diuntung
sedang fakir masih termenung
bermimpikan aidil fitri yang murung?

Ada yang masih mengais di jalanan
dan menghirup air di perparitan
sedang kami berlazatan
dengan iftar yang dikurniakan

Ampunilah kami Ya Rahman Ya Rahim
kerana masih gelap di perjalanan
untuk sampai ke hujung jalan.

Thursday, October 06, 2005

Siapa

Sudah dibuka luas pintu syurga
dan ditutup rapat pintu neraka
lalu iblis tidak lagi beraja
dan syaitan tidak lagi merdeka
dibelenggu rantai yang membara

Lantas siapakah gerangan
yang kembali dengan kebiadapan
lalu membuka lebar pintu neraka
hingga terkunci ketat pintu syurga

Sujudkan kepala ini ke bumi
sentuhkan hidung ke telapak kaki
bekas-bekas dosa bertaburan
jangan sekali-kali dikutip kembali....

Perjuangan Yang Berulang

Sungguh tidakkan berakhir
Perjuangan yang semakin hampir
Berperisaikan jariah dan zikir

Sukarkah mengamalkannya
Sekadar berdiri mengadap Yang Esa
Di samping menahan lapar dan dahaga?

Tidak adakah kesal di hati
Saban tahun dalam perjuangan ini
Tidak pernah menang walau sekali?

Apakah kepuasan menjadi wajar
Menyangka kemenangan sudah tegar
Sedang usia masih menjalar?

Perjuangan ini tetap akan berulang
Selagi roh dan jasad belum pulang
Ke pangkuan Yang Maha Penyayang

Bukan kita yang menentukan peluang
Untuk menempuh Ramadhan yang mendatang
Dan suatu hari nanti kita pasti akan pulang
Sama ada dalam menang atau kecundang

Ramadhan Telah Kembali

Titiskan air mata
Sebagai tanda kesyukuran
Kerana usia masih bersisa

Tebus segunung dosa
Sedang dirantai iblis dan syaitan
Yang tinggal nafsu semata

Ramadhan telah kembali
Dengan ganjaran seribu bulan
Jangan persiakan ia lagi

Monday, October 03, 2005

Lautan Cinta Kita

Maafkan aku
kerana tidak hebat
mengucup bibirmu

Sungguh aku kepingin
bersamamu sekali lagi
mendakap malam dingin

Mentari masih lena
sedang kita asyik hanyut
dibuai cinta

Kau dan aku
di dasar lautan ini
masih lemas lesu

Thursday, September 29, 2005

Asyik

Hangat genggaman tanganmu
meresap di telapak tanganku
lalu mengalir di darah merah
dan di hatiku mencipta resah

Rebahkan tubuhmu di dadaku
kerana ingin kudakap dirimu
dalam rangkulan kasih dan sayang
dalam cumbuan pagi dan petang

Pejamkan rapat matamu
kerana ingin kukucup bibirmu
biar kurasa manis cintamu
biar tersiram nikmat kasihmu

Tuesday, September 20, 2005

Pergi

Jangan dipinta keizinanku
andai kau ingin beredar
kerana takkan kuberikan padamu

Langkahkan kakimu pergi
sebelum matamu memandang
titis air yang mengalir di pipi ini

Andai bagimu menjadi beban
menggalas sepanjang perjalanmu pergi
maka hatiku itu pulangkan

Namun andai ia menjadi teman
lantas menghiburmu di kala duka
maka hatiku itu simpankan

Mungkin suatu hari nanti
hakikat yang masih impian
zahir menjadi kenyataan

Namun andai ia tinggal mimpi
selimutkanlah aku dengan igauan
hingga jasadku dicandikan nesan

Thursday, September 15, 2005

Malam

Mentari sudah pergi
namun bahang panasnya
masih di sini

Berkerdipan neon merata-rata
namun cuaca malam
tetap gelita

Kegelapan menyelimut alam
namun dalam setiap siang
tetap mendambakan malam

Sunday, September 11, 2005

Yang Kusimpan...

Ada rasa
Yang jauh lebih baik
Jika tidak diluahkan

Ada cinta
Yang jauh lebih indah
Jika terus disimpan

Ada sedih
Yang jauh lebih bernilai
Jika tidak dizahirkan

Dan aku rela
Memendam derita dan azab
Demi mengharap kau tersenyum

Tuesday, September 06, 2005

Hujan Di Lautan Masih Menangis

Air matamu jangan dititiskan
kesal hatimu jangan berterusan
belum terlihatkah di hati dan perasaan
bagiku dirmu umpama berlian?

Tangisan hujan di lautan ini
untuk teman yang dicintai
untuk sahabat yang tiada ganti
dalam seribu hanya kau di hati

Maka air matamu jangan dititiskan
kesal hatimu jangan berterusan
kuturut mahumu dengan keperitan
maka berjanjilah
air matamu dititiskan jangan…

Friday, September 02, 2005

Tangisan Hujan di Lautan

Semaikan benih kasih dan cinta
di tanah gersang yang penuh sengketa
lalu dibajakan dengan mesra
lalu dipagari dengan setia

Lautan ini pernah bertaufan
tiada sunyi dari ujian
dan setiap bahtera yang dilayarkan
gelombang pasti menjadi teman

Bukankah pada setiap yang terjadi
telah tersurat dari azali
yang patah tumbuh yang hilang berganti
dan setiap yang datang pasti pergi?

Air matamu jangan dititiskan
kesal hatimu jangan berterusan
belum terlihatkah di hati dan perasaan
bagiku dirmu umpama berlian?

Tergamakkah aku mengesat pipimu
dengan tanganku yang kotor berdebu
lalu memalit jutaan keji
di sinar wajahmu yang penuh suci?

Mahligai permata bukan hakiki
sekadar lamunan di alam mimpi
sedang dirimu laksana taman
yang padat kusemai benih harapan

Hujan menangis di lautan dalam
sekadar membasahkan bahtera yang suram
tidak mungkin menyebabkan karam
sekujur jasad yang sedia tenggelam

Kembalikanlah kasih dan cintamu
yang kau simpan dalam hatimu
sanggupkah aku kau biarkan sengsara
menggapai tangan di tengah samudera?

Jika ada bintang menyinar
kepadaku berikan setitis sinar
dan hikayat bahtera, lautan dan hujan
untuk kau dan aku menjadi pedoman

Lautan gelora yang mendakap bahtera
masih setia bertemankan cinta
maka pulanglah ke dermaga hati ini
wahai teman yang kukasihi……

Thursday, August 25, 2005

Selamat Datang Cinta


Selamat datang wahai cinta
ke alam khayal sang pujangga
yang setiap langkahnya ada kisah
untuk dihikayat menjadi warkah

Selamat bersama wahai cinta
mencari erti di alam nyata
meneroka fantasi di dalam mimpi
mencipta hakikat di alam realiti

Selamat datang wahai cinta
sebarkan sayang di seluruh buana
semoga insan mendakap kasih
umpama bidara dilurut selasih

Friday, August 19, 2005

Walaupun Masih Di Dunia

Walaupun aku masih di dunia
aku ingin sekali melihat syurga
yang padanya ada limpahan bahagia
yang padanya tiada secalit nestapa

Walaupun aku masih di dunia
seakan sudah kurasai neraka
yang padanya penuh azab siksa
yang padanya penuh duka sengsara

Sudah lenyapkah timbang rasa
ditelan tamak dan haloba
dan sudah pudarkah kasih cinta
yang menyelimuti teruna dan dara?

Betapa rahmat telah pupus
dibakar serakah yang rakus
lalu terdampar setiap jiwa
terperangkap di jurang neraka

Dan walaupun aku masih di dunia
keindahan ini bukan syurga
kecelakaan ini bukan neraka
sedang setiap detik yang pergi
membawa aku ke liang pusara...

Friday, August 12, 2005

Bunga Itu

Harum kelopakmu
Membenihkan rindu
Di kalbu

Tegap tangkainya
menjunjung mahkota
yang berduri noda

luka yang terpahat
terus diingat
terus terlihat

Sunday, August 07, 2005

Haruskah Diampuni?

Haruskah diampuni
sedang hati sudah berdarah
berkudis dan bernanah?

Ringan tangan ini
mujur lagi nafsu mengalah
dan akal memerintah

Nyaris lagi
hendak mencampakkan amanah
ke lubuk yang berdarah

Ya Ilahi Robbi
berikan hidayah
kurniakan hikmah

Cabul

Kata-kata
Tidak bertempat
Mulutnya cabul

Anak-anak
Dibiarkan melarat
Itu dusta

Akal singkat
Bicara nafsu
Itu derhaka

Saturday, August 06, 2005

Kenapa Tak Dibicarakan?

Bara api yang digenggam
akhirnya terlepas lalu tenggelam
di dasar lubuk yang paling dalam
menggelapkan apa yang sedia malam

Lalu haruskah dibicarakan
tentang apa yang kau makan
sedang aku yang kelaparan
sudah kenyang dengan minuman?

Atau molekkah ditanya
tentang jujur dan dusta
sedang setiap kali berbicara
hati dan lidah menyemai nista

Halaukan merpati itu
racuni makanannya
bersihkan kawasan ini

Semaikan pujian
dibajakan ikhlas
dituaikan nilai.

Perasan

Apa sebenarnya yang mereka mahu?
Bila diri dihias sebegitu
sedang pabila mata lelaki bertamu
ke atas kulit terdedah antara bukaan baju
mereka seakan mencemuh dan ingin berlalu
justeru senyuman menjadi seteru
dan yang ikhlas dianggap tipu

Lalu apa sebenarnya yang mereka mahu?
Memanggil perhatian yang tidakkan datang
atau sekadar berlagak jalang?

Terkadang ada yang perasan
bahawa pada setiap senyuman
kononnya ada kejahatan…

Saturday, July 23, 2005

Keliru

Siapakah yang keliru
melayan cinta dengan cemburu
melayan kasih dengan rindu
sedangkan diri ini seteru?

Siapakah diri ini
antara sayang dan benci
antara puji dan caci
di mana aku berdiri?

Siapakah kau pula
sahabat yang melemparkan cinta
atau kekasih yang menembok rasa
sedang dengan dirinya
aku seakan tak berbeda?

Siapakah yang keliru
sudah kudapat jawapan itu
setelah duri dan onak menyiat dagingku
setelah hancur luluh cinta dan rindu
sudah kudapat jawapan itu

Thursday, July 21, 2005

Ada Bara Yang Membakar

Ada bara yang membakar
bila mengetahui dalam hatimu
masih ada cinta kepada dia

Bara ini memijarkan
seakan dapat kurasakan
apinya menjilat seluruh badan

Api yang menjilat emosi
tertanya-tanya kenapa ada benci
bila kau gagal kumiliki

Tidakkah kau tahu
betapa aku cemburu
kerana padanya kau cinta dan rindu

Tapi aku sedar pada hakikat
kau takkan dapat kupikat
maka pergilah kau kepadanya
dan memberi kau bahagia
yang itu pasti kuteruskan jua

Lambaian tangan ini
buat terakhir kali
seikhlas hati
tulus dan suci
melihatmu pergi

Saturday, July 16, 2005

Bertepuk Sebelah Tangan

Sudah lama memendam rindu
sekian lama tidak ketemu
ada rasa yang pernah bertamu
hingga kini menjadi tugu

Seakan mendesak perasaan di kalbu
hendak mendakap erat dirimu
hendak mencium mesra rambutmu
hendak membelai lembut kulitmu

Sering tertanya di dalam jiwa
samakah rasa antara kita
samakah rindu saling menyapa
samakah kasih saling berdua

Atau hanya sekadar sendirian
melemparkan cinta tanpa balasan
sekadar mengemis di tepi jalanan
mengharap cinta beradu di tangan

Barangkali tasik yang bertakung ini
sekadar menadah kebodohan sendiri
dan kolam yang membasahkan hati
sekadar lumpur yang menjadi nadi...

Aku Tak Percaya

Aku tak percaya
pabila orang berkata
kau hanya berdusta

Aku tak percaya
bahawa kau sekadar memperguna
mengambil kesempatan dari cinta

Aku tak percaya
yang aku kau perguna
sebagai teman sunyi sekadar sementara

Namun aku lebih tak percaya
kalau keluhuran yang kubaja
akan kaubalas dengan tuba

Aku tak percaya
yang kau akan sanggup mempersenda
apa yang kurasa

Thursday, July 14, 2005

Yang Pertama

Yang pertama
masih ada
dalam jiwa

Yang pertama
belum hilang
membelai sayang

Yang pertama
tiada luahan
pada rasa

Yang pertama
masih pijar
api membara

Rasa

Ada hirisan di keranda memori
yang nyaris membongkah pusara hati
hingga rasa yang berabad bersemadi
seakan bangkit dari mati

Getar jiwa yang hadir dulu
yang telah mati di halaman waktu
yang dalam diam mengukir rindu
yang membenih rasa di dalam bisu

Ada bimbang yang masih abadi
masih terpahat di dinding hati
kini berperang di dunia emosi
saling berdebat mencari hakiki

Masih mekarkah kelopak cinta
yang tanpa sedar sering dibaja
lalu subur menghias rasa
hingga menyendatkan ruang jiwa?

Apa yang disangkakan mati
rupa-rupanya masih bersemi
sudah butakah mata hati
sudah tulikah kewarasan diri?

Mana mungkin rasa yang pertama
bisa goyah ditelan masa
sedang masih pijar apinya
sedang masih membakar baranya

Wednesday, July 13, 2005

Izinkan Aku Cium

Izinkan aku mencium pipimu
tanda kasih bersulam rindu
izinkan aku mengucup bibirmu
tanda cinta bersulam nafsu

Izinkan aku mencium lehermu
tanda berahi menjemput restu
izinkan aku merangkul tubuhmu
tanda rela menjadi satu

Izinkan aku membaringkan tubuhmu
bersebelahan dengan jasadku
izinkan kehangatan saling bertemu
dalam sentuhan berselimut cumbu

Tika ini resam berpaling
keizinan tak lagi penting
hilang sudah kewarasan akal
hanya nikmat zahir yang tinggal
saling berlumba menggapai khayal
sebelum nikmat berganti sesal

Dan semua ini berlaku
dari keizinan mencium pipimu

Monday, July 11, 2005

Antara Gadis Jelita

Antara dua gadis jelita
sama menepati citarasa
sama melayan penuh mesra
sama mencurah kasih dan cinta

Antara dua gadis ayu
sama memikat setiap satu
sama memberahikan setiap nafsu
sama mengghairahkan setiap perilaku

Antara kau dan dia
siapakah lelaki yang dicinta
apakah jejaka yang sama
atau kalian saling berahsia?

Antara gadis berdua
cinta berbalas sesama mereka
berahi dan ghairah dikongsi bersama
mandi, tidur malah bersenggama

Lelaki tiada di hati mereka
cinta disemai di pinggir pusara
kasih dicurah di jurang neraka
zuriat ditanam di gelanggang siksa

Sayang seribu kali sayang
wajahnya cantik nafsunya jalang
berinsan di rupa berhaiwan di hati
menjilat cinta mengubur suci

Thursday, July 07, 2005

Puteri Siang dan Malam

Berbisik nasihat menyuruh tenang
tatkala mentari memancarkan siang
meredupkan mimpi setiap kali dipandang
mendamaikan hati setiap kali bertandang

Umpama lorong yang semakin sepi
menyambut laluan sang puteri
permata hatikah yang telah pergi
atau sekadar permainan mimpi?

Sang puterikah yang menjunjung mahkota
menjadi rebutan setiap raja
menjadi sebutan setiap perwira
menjadi umpatan gadis-gadis di dunia?

Dan yang datang menghunus pedang
diakah perwira yang dinantikan menjelang
atau diakah sebenarnya si petualang
sedang dialah yang sentiasa menang?

Sembunyikan mentari di ufuk sana
hembuskan kabus mengabui dunia
lindungilah bumi dan tumbuhan melata
sewajarnyakah sang puteri dilarikan sama?

Di antara hembusan kabus malam
ada tangisan di langit kelam
ada hati yang remuk-redam
ada sendu yang tak pernah padam

Pernah

Pernah aku cuba
memberikan kau sekuntum bunga
namun katamu tiada pasu
yang cukup indah untuk menghiasnya

Pernah aku cuba
memberikan kau sekuntum cinta
namun katamu tiada jiwa
yang cukup mulia untuk meraganya

Pernah aku cuba
membawamu ke alam kasih
namun katamu tiada indah
yang cukup luhur untuk merasanya

Dan pernah aku lari
membawa diri ke sudut dunia
namun aku harus kembali
kerana padamu hatiku bersemi

Akan kau kembalikankah
hatiku yang lekat terpateri?
Atau akan kontangkah
lautan cinta yang tidak bertepi?

Monday, July 04, 2005

Titi Cahaya Gelita

titian ini
seakan reput
dimamah usia tua

kemilau syurga
seakan malap
disebalik dosa dan noda

gelap-gelita
menyelimut diri
sedang kaki berpijak kemewahan

ajal yang tiba
tanpa sempat ditebus
kaki yang merantai neraka

Thursday, June 30, 2005

Bila Salji Berlalu

bila salji berlalu
meninggalkan musim beku
meninggalkan kau dan aku

dingin salji itu
tidak sedingin hatimu
membekukan emosiku

tebar dedaunan
tidak setegar perasaan
yang menembok penghayatan

biru langit siang
tidak secerah kasih sayang
yang diselindung bebayang

liku perjalanan
tidak sebengkok pengharapan
yang berjemala kebodohan

Tuesday, June 28, 2005

Berikan Aku

Berikan aku secebis kasih
dari carik permaidani putih
akan kulembar dengan jerih
hingga ia suci bersih

Berikan aku setitis rasa
yang bertakung di dasar jiwa
akan kurungkai menjadi cinta
lalu kurangkai bersama bahagia

Berikan aku sepalit mimpi
yang bertandang di malam hari
akan kuanyam menjadi realiti
hingga dirimu menjadi permaisuri

Thursday, June 23, 2005

Purnama

Ada purnama di atasmu,
yang menyinarkan cahaya rindu,
pabila kita tak lagi ketemu,
sinar itu kan jadi sendu.

Ada purnama di atas sana,
yang bersinar untuk kita berdua,
walau di mana pun kau berada,
sang purnama akan menjalin kita.

Ada purnama di langit malam,
seakan tersenyum menghulur salam,
dan kita berdua menyulam janji,
bahawa purnama di langit tinggi,
antara kita menjadi saksi,
yang kita berdua akan kembali,
melunaskan rahsia janji...

Tuesday, June 21, 2005

Umpama Lautan


Aku bukan paus yang perkasa
di dasar lautan menawan samudera
sesekali timbul menggegar dunia
akhirnya berajal di pinggan manusia

Bukan juga jerung yang garang
diserang menangkis ditangkis menyerang
seluruh dunia membina sarang
mengisi gentar yang bukan sebarang

Bukan pula udang dan ketam
menghias lautan di iklim malam
menyusur dasar di cahaya kelam
membina kuasa di bahtera yang karam

Sekadar menumpang di pinggir dunia
sambil menghitung dosa pahala
ibarat kuda laut sebesar hama
mengikut arus di lautan gelora

Ada kalanya hilang di pandangan
bersembunyi diam di karang-karangan
bersemadi kekal di dasar lautan
kepada takdir diserahkan kehidupan

Saturday, June 18, 2005

Hanya Serangga

Hanya setitis antara berjuta
bintang yang bertaburan di angkasa
dan aku di dalamnya
lebih halus dari serangga

Sebesar mana pun pangkat dan kuasa
walau mampu menguasai cakerawala
masih setitis antara berjuta
bintang yang bertaburan di angkasa

Menjerit hingga ke hujung suara
ingin menggegar benua
sekadar beralun di telinga
lebih halus dari serangga

Saturday, June 11, 2005

Mulanya Di Sini

Mulanya di sini
kau melangkahkan kaki
bertandang di halaman sebuah famili
yang kau bakal nanti menjadi ahli

Mulanya di sini
dirimu dan mereka saling mengenali
dan semakin hebat debaran di hati
menunggu ketibaan kau nanti
Mulanya di sini
perjalanan ini tiada kembali
kau bakal menjadi puteri
untuk ibuku tuanku permaisuri

Mulanya di sini
bermulanya haluan yang dulunya mimpi
kini terbit menjadi realiti
dan seharusnya bersama kita tempuhi

Mulanya di sini
hidup kita saling menemani
semoga perjalanan ini tidak akan berhenti
selagi syurga belum menjadi destinasi...

Mulanya di sini
dan tidak mungkin akan berhenti lagi....

Kecundang

...untuk isteriku yang dikasihi...

Aku kecundang denganmu dewi
tidak berdaya lagi menipu diri
tewas berperang dengan emosi
bahawa padamu ada cinta di hati

Setiap langkahmu mendebarkan dadaku
setiap kerlinganmu menusuk jiwaku
setiap bicaramu melemaskan perasaanku
dan setiap senyummu menyungkurkan diriku

Kau mengajar erti cinta
yang selama ini kufikir sekadar rasa
sekadar mengisi di mana tiada
sekadar mengabui hakikat manusia

Namun hadirmu membangkitkan realiti
sesungguhnya cinta bukan ilusi
bagaimana engkau menggetarkan naluri
sehingga lelah setiap mimpi

Aku kecundang di tanganmu
dan aku tewas dengan diriku
namun kekalahan ini menjadi bukti
bahawa aku telah menang dalam hidup ini

Terima kasih sayang
Cinta hatiku...

Friday, June 10, 2005

Permaisuri Permata Hati

...untuk isteriku yang dikasihi...

Duhai Permaisuri Permata Hatiku
telah terbeban di atas bahuku
tatkala dirimu menjadi milikku
segala amalanmu menjadi amanatku

Duhai Permaisuri permata cinta
hidup yang satu menjadi dua
yang nyata dahulu kini rahsia
yang rahsia dahulu kini nyata

Duhai Permaisuri permata rindu
setiap anggota kuserahkan padamu
dari hujung rambut ke hujung kuku
cantik hodohnya terpulang padamu

Duhai Permaisuri permata sayang
susah hidupku mencari senang
ibarat buku dibongkah terbentang
maka bacalah apa saja yang dikarang

Duhai Permaisuri permata kanda
seluruh jiwaku milik adinda
gelap lakumu maka gelaplah ia
maka sinarkanlah dengan setia

Duhai Permaisuri Permata Hati
bukan dunia yang kuukirkan janji
tetapi kebahagiaan putera dan puteri
andai kekanda yang dahulu pergi

Thursday, June 09, 2005

Kadangkala

Kadangkala
terasa ingin kembali muda
meniti zaman remaja

Kadangkala
cebisan memori menjelma
mengingatkan setiap peristiwa

Kadangkala
ingatan bersulam mesra
menyuburkan kelopak cinta

Kadangkala
tersungkur di dunia realiti
setiap detik menghitung diri

Tuesday, June 07, 2005

Umpama Sungai Di Muara

Aku berbohong
kalau kukatakan
tiada sepi di hati

Aku berbohong
kalau kukatakan
tiada rindu mencengkam

Umpama sungai di muara
tenang permukaannya
sedang dasarnya bergelora
ada perang antara mereka
antara bahagia dan derita

Bila surut meninggalkan aur
terserlah dasar yang berlumpur
sebahagiannya jijik berdanur
sebahagiannya bakau menyubur
mendamparkan perahu nelayan
terbaring kesepian

Monday, June 06, 2005

Akan Kautahu

Akan kau tahu
bila takdir menjadi nyata
dan hakikat menampakkan rupa

Akan kau tahu
bila nasib kedinginan
dan setiap langkah
menuntut pengorbanan

Akan kau tahu
bila realiti kembali
di dalam jaga dan mimpi
setiap belok menjadi pasti

Akan kau tahu
bila sampai waktu
kau harus sabar menunggu
pasrah dengan takdir Tuhanmu

Laluan

Mewah laluanku
gemerlap disinar cahaya
berderap dilapis mutiara
bersinar dipancar permata
menuju entah ke mana

Di hujung sana
tersergam apa yang tiada
tegap tanpa nyawa
sedang bukan itu yang kucita

Lalu kembali di sini
menyusur laluan mewah sepi
bersinar berderap memancar tanpa seri
tiada makna lagi

Sunday, May 29, 2005

Puteriku Sayang

Puteriku sayang bidadariku
jangan kau anggap lelaki seteru
sesungguhnya mereka pelindung dirimu
asal kau pandai memilih yang mana satu

Puteriku sayang permata hati
jangan samakan semua lelaki
dan bukannya abah tidak mengasihi
yang penting wahai puteriku, kesejahteraan ummi

Puteriku sayang penyinar bahagia
demimu kan kugadaikan nyawa
setiap yang ada kukorbankan segala
walau dituntut dari jurang pusara

Puteriku sayang kasih abadi
kau kan jadi ibu nanti di suatu hari
pastilah kau juga kan jadi isteri
ingatlah, syurgamu di tangan suami

Puteriku sayang seri kehidupan
pilihlah lelaki yang menggenggam iman
pastinya dia sangat berlainan
di dalam dunia menongkah zaman

Puteriku sayang jangan keliru
sudah lenyap agama di zamanmu
dalam berjuta hanya ada satu
itulah lelaki yang menjadi pelindungmu

Puteriku sayang cinta hatiku
jangan tersesat jalan hidupmu
ingatlah bahawa mati tetap mencarimu
ingatlah kepada Tuhan kembali setiap anggotamu

Puteriku sayang pelita hati
sejahterakan ummi sampai ke mati
jangan derhaka kepada suami
maafkan ayahanda wahai puteri...

Saturday, May 28, 2005

Kepada Puteraku Yang Dikasihi

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
hadirmu satu kejutan
walaupun sudah dijangkakan
seakan lazim dalam sebutan
lalu kunamakan dirimu Aiman

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
dewasamu pantas mealpakan waktu
tanpa sedar aku tak larat lagi mendukungmu
namun abah dan ummi tak selamanya di sisimu
kelak kamikan pergi jua selama-lamanya meninggalkanmu

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
andai terpisah abah dan ummi
jangan gelisah bertanya hati
ingatlah puteraku sematkan di hati
sesungguhnya kasih ibu kasih abadi

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
sebagai putera sulung yang dewasa
sejahterakanlah ummi hingga ke akhir hayatnya
maafkanlah kami akan kepahitan yang kau rasa
realiti ini wahai puteraku, bukan dipinta

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
panas api tak semestinya bernyala
dingin air tak semestinya gelora
hembusan angin takkan selamanya menyapa
dan duniamu itu takkan abadi selamanya

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
adik-adikmu amanat kami
sekiranya kami melangkah pergi
lalu beban dirimu dan adik-adik selagi di sini
untuk memanjangkan rahmat Tuhan ke pusara kami

Bukan mudah hidup ini
membezakan khayalan dan realiti
memberilah engkau pada yang sudi
menerimalah engkau seikhlas hati
jadikan sabar pedoman diri
jadikan Islam pegangan yang abadi

Sesungguhnya
bukan mudah putera yang kukasihi
membezakan khayalan dan realiti
dalam kehidupan yang sementara ini...

Thursday, May 26, 2005

Ada Ketikanya

Ada ketikanya
air mataku menitis
kerana sakit hati
akan gurauan jahatmu

Ada ketikanya
air mataku menitis
kerana teramat benci
akan sindir cacimu

Ada ketikanya
air mataku menitis
kerana marah yang membara
akan perlakuan layananmu

Namun setiap ketika
air mataku menitis
bila terkenangkan tentang kita
dan setiap yang telah kulalui bersamamu....

Wednesday, May 25, 2005

Mahligai Yang Runtuh Akhirnya

Mahligai yang bertahun dibina
yang disemai dengan kasih dan cinta
lalu disiram dengan keringat derita
dan dipagari dengan tembok setia
ada retak rupa-rupanya

Yang telah dihalalkan dengan kebencian
akan menjadi kenyataan memeritkan
bukan sengaja jadi pilihan
tapi atas dasar perikemanusiaan

Inilah kebangsatan ketamadunan insan
yang mengembalikan kesedaran
kepada syaitan
lalu bermastautin menjadi rakan....

Friday, April 29, 2005

Pantun

Asap api embun berderai,
Patah galah haluan perahu;
Niat hati tidak mahu bercerai,
Kuasa Allah siapalah yang tahu

Menebar tabir kain berkirai
Jarum peniti memimpin tuju
Marah di zahir harap dilerai
Simpan di hati siapa yang tahu

Saturday, April 16, 2005

Ibu Mithali

Susah payah bersabung nyawa
Raung tangisan bukannya pilu
Tiga ayah berkorban nyawa
Tiada tandingan seorang ibu

Derhaka ayah berjanji neraka
Derhaka ibu mengharamkan syurga
Payahnya ayah mewarnakan dunia
Payahnya ibu mengundang syurga

Ibu yang mulia menyemai teladan
Ikrar sabdanya jadi pedoman
Langkah lambainya jadi ikutan
Ibu mithali penghias zaman

Ibu

Tersemai benih zuriat
Lalu bertunasnya hikayat
Penderitaan yang mula sarat
Bakal ditanggung sepanjang hayat

Didik dan besarkan menjadi pusaka
Yang bercambah subur menjemput syurga
Yang layu terkubur mengundang neraka
Yang pasti ibu diheret sama

Justeru tiadakah pengorbanan
Yang lebih agung dari kematian
Selain bagi seorang ibu yang melahirkan
Zuriat yang dididik menjadi berlian
Lalu berkilau di langit zaman
Hingga ynag hitam bisa bergemerlapan
Dengan keringat ibu yang kebanjiran

Kepada ibu yang mewarnai dunia
Dengan kemilau zuriat yang berjasa
Di akhirat syurgamu sudah tersedia
Apatah lagi ganjaran di dunia

Tuesday, April 12, 2005

Sudah Kumengerti

Sudah kau mengerti
yang tersirat di hati
menerima apa yang diberi
tidak mungkin lagi
kerana aku beristeri

Sudah kau mengerti
yang menjadi idaman
namun besarnya halangan
lalu di dalam kenangan
akan terus tersimpan

Sudah kau mengerti
yang takkan dilupa
seabad berganti masa
hingga uzur usia dunia
kau tak mungkin menerima

Sudah kau mengerti
dan sudah kau hindari
yang tinggal hanya sepi
kecewa yang bersebati
sampai mati

Hujan Kemarau

Ada hujan di puncak gunung
tanpa kilat sabung menyabung
sesekejap ia mencurah lebat
sesekali ia seriat

Ada kemarau di lembah hijau
panasnya umpama besi di relau
setitis air umpama berlian
antara hidupan menjadi rebutan

Hujan di sana sekadar dilihat
kemarau di sini semakin menghangat
kering lidah
kering bibir
kering hati
menanti bakti

Reput sudah dinding rumbia
beratap nipah bertiang saga
angin meniup khabar berita
runtuh pondok di bumi melata
sujud menyembah takdir menimpa

Wednesday, March 30, 2005

Sehari

Sehari demi sehari
aku masih di sini
harap-harapnya nanti
janganlah sampai ke mati
aku kekal menjadi abdi
atau pengalas kaki

Thursday, March 10, 2005

Derhaka

Seribu tahun takkan mungkin
menjelmakan di dalam diri secebis keinsafan
bahawa dia hanya manusia biasa yang tidak berbeda
sekiranya selama bertahun ini dia menyangka
hanya dengan ketinggian pangkat dan limpahan harta
bahawa dia adalah Buddha yang Berkuasa....

Tuesday, March 01, 2005

Hari Yang Berseri

Pagi indah yang berseri
kicau burung kembali menyanyi
senyum terukir membelah pipi
hari ini sudah ada gaji!

Bibir tak lekang dengan siulan
fikiran merangka berbagai rancangan
ke arah mana harus dibelanjakan
duit yang sudah terkepuk di simpanan

Haruskah ditabur kepada perempuan
yang sudi memperaga badan
atau dibeli segala pakaian
kerana sudah buruk baju di badan

Ataukah menyendiri di pawagam
menonton aksi lawak dan seram
sambil-sambil tangan menggenggam
perawan jelita yang pehanya mengancam

Atau haruskah dibiarkan sahaja
duit berkepuk mencipta bunga
ratus ribu menjadi berjuta
hendak merasa menjadi kaya

Biarlah masjid tidak berlampu
sejadah terhampar terus berbau
air di kolah berwarna kelabu
bukannya aku bermastautin di situ

Biarlah pusara terus bersamun
ular dan biawak saling menyamun
najis dan sampah makin bertimbun
mereka di sana tak mungkin kan bangun

Zakat?
Sedekah?
Apakah itu?
Akan bercambahkah wang di saku?
Mungkin tiada jaminan begitu..
tapi tanpanya, dijamin neraka bagimu.....