Friday, December 03, 2004

Kain Basah

Basahnya kain itu
hingga menitis-nitis ke sepatu
membasahkan bumi yang tadi layu
hingga kembali menyuburkan setiap helaian semalu

Dihulurkan tangan perkasa
kain diperah sekudrat tenaga
hingga banjir rumput dan lalang melata
lalu tenggelam hingga kempunan lembu dan kuda

Kain kini kering-kontang
tersidai di terik mentari berbahang
semakin keras merekah diratah mentari yang garang
sedang bumi yang banjir semakin tenggelam hilang
lalu menjadi paya yang gersang
keruh airnya terhidang
selut dasarnya maut bersarang
dan kain yg kering semakin reput terbuang....

Sabtu

Hari ini hari Sabtu
Orang lain belum buka pintu
Aku dah ada kat opis mati kutu

Sabtu depan macam mana
Kalau aku tak datang pun siapa yang nak tanya
Kalau aku datang pun bukan buat apa-apa

Jadi aku nekad buat keputusan
Selangor sambut bedey Sultan Sabtu depan
Aku nak ikut sambut bedey Sultan

Sabtu depan aku diam-diam aja
Tak payah cuti tapi aku tak datang kerja
Lantak koranglah nak kata aku ponteng ke hape
Kalau ada peluang, mesti korang pun buat juga!!!

Kiranya

Kiranya kukorbankan masa
sehingga terkorbannya agama
lalu dilaknat di neraka
semuanya kerana kerja
masihkah berbaloi jika gaji tiada?

Kiranya berkhidmat setia
menurut perintah ibarat hamba raja
disuruh kubuat semuanya rela
hingga sanggup menyabung harta dan nyawa
masihkah berbaloi jika gaji tiada?

Kiranya isteri semakin jemu berkata-kata
anak-anak di rumah ibarat yatim nestapa
makanan dihidang dijamu tanpa kehadiran bapa
sekadar bersembang sepi antara anak-anak dan bondanya
masihkah berbaloi jika gaji tiada?

Seandainya tiba ketika yg keji
Apabila aku hidup atas ehsan isteri
makan dan minum atas tanggungannya
duit public toilet pun atas belanjanya
dan gaji masih tiada
apa ke bodoh sangat tak cari aje lain kerja??????